Monday, October 20, 2014

percubaan 2o14 - 15



Percubaan Kedah 2o14
Anak-anak boleh membantu ibu bapa dalam usaha mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga. Selaku pengerusi kelab pengguna di sekolah, anda diminta menyampaikan ucapan tentang langkah-langkah hemat berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak. Tuliskan ucapan anda selengkapnya
Tema – hemat berbelanja
Persoalan - membantu ibu bapa dalam usaha mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga.
Fokus soalan-langkah2 oleh anak2
Format – ucapan - pengerusi kelab pengguna di sekolah
Isi
1.   Mendisiplinkan diri – perancangan perbelanjaan kewangan – tidak mengikut hawa nafsu – elakkan hutang sekeliling pinggang – kurangkan guna kad kredit
2.   Menerapkan didikan agama
3.   Ilmu kewangan – pengguna bijak – tidak dieksploitasi
4.   Ikon – menyertai program kitar semula
5.   Bekerja sambilan – menamun sayur yang mesra alam
Burung-burung berwarna-warni,
Menjamu selera si anak ikan;
Bismillah pembuka bicara ini,
Salam sejahtera saya ucapkan.
Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepnggunaan dan Koperasi , Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK BM, dif-dif jemputan, guru-guru, dan seterusnya saudara-saudari, rakan-rakan seperjuangan.
Hadirin sekalian,
          Terlebih dahulu saya ingin bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita sempat berkumpul di dewan pada pagi yang nirmala ini. Kita menyambut Hari Pengguna Malaysia pada tarikh 26 Julai setiap tahun iaitu tarikh sempena Akta Perlindungan Pengguna diluluskan di Parlimen pada tahun 1999 yang lebih bersifat nasional selaras dengan aspirasi kerajaan dan hasrat rakyat. Sesungguhnya, manusia sejagat berada pada zaman krisis ekonomi yang semakin gawat, kos sara hidup dan kadar inflasi yang meningkat berikutan dengan kenaikan harga petroleum dan sumber bahan makanan yang semakin mengurang dalam pasaran global. Pada masa ini, penggemblengan kudrat dan minda antara ahli keluarga amatlah penting untuk merungkaikan tekanan bebanan kewangan yang dihadapi oleh ahli keluarga, bak kata pepatah muafakat membawa berkat. ‘Hemat’ bermaksud ‘berhati-hati, cermat, dengan teliti, jimat, dan tidak boros ataupun membazir dari segi penggunaan wang atau menggunakan sesuatu’. Pendek kata, Hemat pangkal kaya, sia-sia hutang tambah. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Hendak kaya berdikit-dikit, hendak tuah bertabur urai, hendak berani berlawan ramai.
          Ibu bapa merupakan pelindung untuk anak secara fitrahnya. Namun, kehidupan kini yang semakin dilanda krisis kenaikan harga, setiap keluarga tidak terlepas daripada bebanan atau tekanan yang tidak ternilai. Oleh itu, anak mestilah menyumbang sedikit banyak bantuan untuk meringankan beban ibu bapa. Dari segi pendidikan, sudah menjadi trend hidup baharu bahawa setiap anak dihantar ke pusat tuisyen untuk mendapat bimbingan yang lebih daripada guru pakar dan berpengalaman. Kadangkala, ibu bapa terpaksa mengikat perut semata-mata ingin menampung kos pendidikan yang tinggi selain memenuhi keperluan asas anak. Sebagai contoh, latihan yang mencungkil bakat dan potensi anak dalam pelbagai bidang biasanya memerlukan kos tambahan yang membebankan. Keperluan ini semata-mata ingin menghadapi tuntutan perkembangan pasaran global yang mencabar. Seyogianya, anak mestilah memahami kasih sayang ibu bapa yang lahirnya secara fitrah. Sebagai anak soleh atau solehah, langkah hemat berbelanja yang pertama ialah mendisiplinkan diri dalam perbelanjaan harian. Sebagai balasan kepada kasih sayang ibu bapa yang tidak berbelah bahagi, anak mestilah membuat perancangan dalam perbelanjaan kewagan sejak kecil lagi, yakni berbelanja tanpa mengikut hawa nafsu dan meminta-minta sesuatu yang  di luar keperluan asas seperti telefon pintar, makanan mewah dan pakaian berjenama. Penggunaan kad kredit yang berlebihan akan menambah sikap yang suka berhutang. Kadangkala kealpaan dalam sekelip mata akan menatijahkan hutang sekeliling pinggang dan kebankrapan pada usia remaja yang berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

          Dari segi keagamaan, keimanan dan ketakwaan yang tinggi memanglah penting untuk membentuk keperibadian yang menuntut kehidupan yang sederhana dan rasional. Tuntutan agama sememangnya melarang penganutnya berbelanja mengikut hawa nafsu tanpa batasan. Rasullulah pernah bersabda, “ Memboros ialah kawan syaitan.” Sememangnya, sesiapa yang memboros dalam penggunaan harian akan menuju ke arah neraka yang bakal menerima azab dan sengsara. Sebagai anak soleh atau solehah, amalan ibadat seperti bersyukur kepada limpahan rahmat-Nya dan bertaubat kepada setiap pembaziran akan menambah kerestuan dan keredaan daripada Tuhan kepada keluarga tersebut. Pendek kata, keimanan akan mentarbiah anak supaya menjadi insan yang menerapkan nilai kesederhanaan untuk menjauhi sikap tamak haloba yang mengagung-agungkan kemewahan dalam alam fana ini. Pendek kata, selain menjadi pelindung dan penaung kepada anak, ibu bapa perlulah menerapkan didikan agama kepada anak supaya berhemat dalam perbelanjaan harian.
          Selain sebagai mursyid, ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak. Tamsilannya, dalam perbelanjaan harian, pembaziran pada musim perayaan amatlah dilarang sama sekali. Ilmu perancangan kewangan akan menuntut kita menjadi pengguna yang bijak. Pengguna bijak bercirikan nilai-nilai kebijaksanaan seperti membuat perbandingan harga sebelum membeli, membeli barangan yang berkualiti sahaja kerana alah membeli menang memakai. Selain itu, pengguna bijak akan memahami  bahawa penindasan oleh peniaga yang menangguk ikan di air keruh perlu dikenal pasti dan mengadukan perbuatan manipulasi ini kepada pihak tertentu seperti Tribunal Pengguna Malaysia. Oleh itu, anak yang berilmu pastilah akan menjadi pengguna yang bijak dan hemat berbelanja agar tidak terpedaya oleh jualan mega oleh pusat beli-belah. Pendek kata, kebijaksanaan akan menentukan gaya seseorang berbelanja.

Para hadirin yang dikasihi,
          Selain mendoakan limpahan rahmat-Nya dan dilengkapi dengan ilmu kewangan, anak-anak mestilah membiasakan diri dalam program kitar semula yang mengundang banyak hikmat kepada nusa dan bangsa. Aktiviti kitar semula dapat menjimatkan kos perbelanjaan isi rumah tangga. Sebagai contoh, bahan buangan dapat diasingkan mengikut tong pelupusan sampah yang berwarna perang, biru dan oren. Anak boleh berjinak-jinak dengan pengumpulan bahan buangan ini untuk menjana pendapatan kepada isi rumah tangga. Kertas terpakai, tin aluminium, kaca, dan plastik yang dikitar semula bukan sahaja merupakan amalan mesra alam malah melestarikan alam sekitar yang semakin tergugat ekoran sikap manusia yang bernafsi-nafsi. Ijmalnya, hidup manusia dengan alam sekitar adalah umpama lagu dengan melodi yang saling bergantungan dan hidup secara simbiosis demi membentuk tempo yang estetika dan artistik.Anak yang dididik mencintai alam sekitar akan memahami bahawa tanpa bumi, di manalah keluarga?

          Selain mendisiplinkan diri dalam perbelanjaan, anak digalakkan menentukan kerjaya sejak kecil lagi. Oleh itu, anak digalakkan bekerja secara sambilan pada waktu cuti sekolah. Sesungguhnya, kerja pada waktu cuti sekolah akan menambah pengalaman anak dan lebih memahami pahit maung ibu bapa untuk menyara keluarga, bak kata pepatah memiat daging, sama sakit sama terasa atau ibarat cubit paha kanan, paha kiri sakit juga. Pendek kata, anak mesti memanfaatkan masa dengan melibatkan diri dalam kerja rumah tangga atau mengusahakan sesuatu perniagaan seperti menanam sayur-sayuran di tepi kawasan kediaman atau bekerja sebagai pembantu kedai untuk mengurangkan bebanan kewangan keluarga. Sikap berdikari dan kegigihan mengusahakan sesuatu menentukan keperibadian seseorang anak yang ibarat kain putih suci kudsi.
          Sebagai penutup penghias bicara, saya berdiri di sini laksana seorang pendeta untuk menguar-uarkan suatu wacana yang menegaskan bahawa anak-anak mestilah membantu mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga. Ibarat kuah sama dihirup, sambal sama dicolek, atau ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, hidup berkeluarga memerlukan komitmen dan integriti yang kukuh daripada semua ahli keluarga. Sememangnya, setiap sumbangan daripada anak secara ikhlas merupakan pelunak perasaan kepada ibu bapa.  Sebelum saya mengundurkan diri, terimalah serangkap pantun daripada saya yang berbunyi,
Burung kelicap terbang sekawan,
Terbang segera dari pohon berduri,
Salah dan silap harap maafkan,
Izinkan saya bermohon diri.
Sekian, terima kasih.


Sunday, October 19, 2014

BM A+ is not just a dream

Calon-calon SPM..sila refleksi kelemahan semasa menjawab soalan percubaan Bahasa Melayu. Sebagai panduan cikgu perincikan markah yang sepatutnya calon perlu capai untuk mendapat A+.
BM 1
Gambar rangsangan 27/30
Respon bebas 90/100

BM 2
Rumusan 30/30 -lubuk markah

Pemahaman & KOMSAS - 30/35
Tatabahasa 25/30
Novel 15/15.

Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Usaha tangga kejayaan.

Hendak seribu daya tak nak seribu dalih.

Saturday, October 18, 2014

formula


Politik
ICT Sebagai agen penyampai maklumat kepada semua masyarakat.
Aspirasi kerajaan disampaikan kepada rakyat
Penggemblengan kudrat dan minda semua komuniti
Menyatupadukan negara
Laman blog pemimpin
Ekonomi
e-dagang
e-teknologi
e-perbankan
semua urusan perniagaan menjadi rancak
Pendidikan
e-pendidikan
pendidikan jarak jauh
kualiti taraf hidup meningkat
Sosial
Medium inovasi sosial
Komunikasi dan interaksi

Imej - industri
Industri teknolgi – Korea – Samsung – menyumbang 25% kepada KDKN
Mempromosikan barangan melalui laman
Barangan buatan Malaysia- sejak 1984, melonjak perkembangan IKS
Pengusaha industri kecil dan sederhana berpeluang untuk menempa jenama Malaysia di peringkat global

 soalan  - kepentingan ICT untuk negara
formula - PEPSI


 soalan - kepentingan ICT untuk pelajar
formula - KIS U NI MA
KIS
Kenalan
Komunikasi
Inovasi sosial
·       Media massa ialah apilikasi inovasi sosial. Berperanan untuk menghubungkan semua manusia melalui talian dan jalur lebar.
·       Dunia maya yang mencetuskan evolusi untuk merapatkan hubungan manusia secara percuma dan pantas
·       Dapat berkomunikasi dan berinteraksi tanpa bersemuka melalui laman sembang, laman sosial melalui aplikasi atau perisian dalam peranti mewah seperti telefon bimbit, tablet, computer riba
·       Dengan sklip ikon pada paparan sahaja, kenalan baharu atau lama akan berhubung
·       KS merupakan pengikat darah daging dan hubungan kekeluargaan atau masyarakat
·       Komunikasi dalam bentuk revolusi teknologi merapatkan hubungan silaturahim
·       Wasilah mesra akan mengikis dendam kesumat, curiga dan prasangka dengan perkongsian suka duka dan berceloteh dalam laman sembang seperti wechat, whatsap, facebook dll
·       Hubungan mesra bagai kuah sama dihirup, sambal sama dicolek penting dalam kehidupan kita, hubungan dan kasih sayang bagai lagu dan irama yang saling bergantungan untuk membentuk tempo yang artistik dan estetika.
·       Namun, alat yang membantu kita juga akan memusnahkan kita, celoteh dalam laman sosial mestilah dikawal dengan budi pekerti dan nilai akidah
Urusan
·       Media massa sebagai medium perbankan.
·       Urusan harian yang memerlukan masa yang panjang dapat diselesaikan dengan seklip ikon sahaja
·       Urusan seperti pembayaran bil elektrik, Internet dilakukan melalui perbankan Internet
·       Permohonan jawatan pekerjaan atau kemasukan IPTA atau kolej swasta juga dijalankan melalui talian
·       Urusan rutin harian telah dijalankan dengan senang tanpa bersesakan dengan orang ramai, berbaris panjang, justeru menjimatkan kos perjalanan seperti petrol, bayaran parkir, dan masa.
·       Kesesakan lalu lintas merupakan penghalang untuk melunaskan rutin harian kerana manusia sibuk dengan profesion
·       Urusan diselesaikan sambil menonton televisyen atau mendengar lagu
Hiburan
·       Media messa sebagai sumber hiburan.
·       Permainan maya , lagu, filem disebar luas tanpa sempadan
·       Hidup dalam kampung globalisasi, perkembangan budaya dan fahaman secara meluas dari negara barat ke seluruh dunia
·       Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan
·       Mesti berhemah dan bijak mengasimilasi dan mengakultasi pertembungan budaya
·       Kekangan masa dan tekanan untuk berjaya dalam semua segi, baik kerjaya mahupun pelajaran telah menimbulkan tekanan kepada pelajar kontemporari, khasnya masyarakat kosmopolitan
·       Kos sara hidup yang tinggi menyebabkan pelajar tidak mampu menonton wayang di pawagam
·       Tekanan dapat dirungkaikan melalui laman sosial dengan memuat turun perisian dalam peranti mewah
·       Walau bagaimanapun, sikap berwaspada dan perasaan patriotik penting untuk ambil jernih buang keruh.
·       Mempertahankan kedaulatan dan kelestarian budaya tanpa dijajah lagi oleh negara Barat
·       Situasi ini bagai ditelan mati emak diluahkan mati bapa, aplikasi sains dan teknologi mesti dimanfaatkan dan bukan dieksploitasikan oleh peranti ini
Maklumat
·       Media massa sebagai medium penyampai maklumat
·       Transformasi pendidikan penting untuk menyamaratakan perkembangan arus perdana di peringkat global
·       Situasi bagai sepuluh jong masuk ke pelabuhan, anjing masih bercawat ekor akan memundurkan ekonomi negara kita dan ketinggalan di belakang arus modenisasi bagai katak di bawah tempurung
·       Pendidikan maya memerlukan komitmen yang menyeluruh daripada semua komuniti seperti Rakan Kongsi Sekolah
·       Warga pendidik mempelbagaikan corak pengajaran mereka  dalam bentuk yang bersifat interaktif, animasi dan grafik yang menarik perhatian pelajar
·       Penyampaian maklumat melalui laman web telah menyenangkan pelajar untuk mendapat informasi dan maklumat yang terkini
·       Penyediaan folio dan kerja rumah akan dipercepat
·       Pelbagai soalan dan teknik menjawab didapat dengan senang
·       Pembelajaran maya melepasi sempadan, kursus jarak jauh meluaskan peluang melanjutkan pelajaran di peringkat antarabangsa
·       Maklumat di hujung jari
ekonomi
·       Media massa sebagai medium penjana pendapatan
·       Perniagaan dalam talian semakin popular
·       Mempromosikan bahan dalam talian memudahkan pelajar menjana pendapatan
·       tanpa melalaikan pelajaran

Percubaan SPM 15



Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
1.   KS – cinta akan negara/ sokong barangan / jaga persekitaran
2.   BB – KKH-imej-perpaduan
3.   Ilmu – sejarah jasa tokoh pejuang
4.   Iman – mendoakan kesejahteraan
5.   Ikon – suri teladan/ melawat ke muzium/hari kebangsaan

Semangat patriotik merupakan nilai mahmudah yang lahir daripada hati nurani supaya berbakti dan berkhidmat kepada negara dan bangsa. Kejayaan negara Jepun selepas peristiwa pengeboman atom di Hirohisma dan Nagasaki tidak melunturkan semangat rakyat negara Jepun untuk terus berjaya dan mekar di persada global, ironisnya dalam masa yang singkat, negara ini telah berjaya dan menggembleng kudrat seluruh rakyat untuk membuktikan keagungan mereka dalam bidang sains dan teknologi. Dasar Pandang Ke Timur yang dipelopori oleh mantan Perdana Menteri telah mengingatkan rakyat Malaysia supaya buang keruh ambil jernih. Kejayaan sesebuah negara bukan berasaskan sumber asli yang dikurniai rahmat oleh Pencipta Alam, tetapi berdasarkan penggemblengan kudrat dan minda daripada seantero strata komuniti yang cinta akan negara, bak kata hujan emas di negara lain, hujan batu di negara sendiri. Anak merupakan kain putih yang suci kudsi, keperibadian dan hati budi anak dicorakkan oleh peranan ibu bapa. Sebagai pelindung dan pembina karakter anak, ibu bapa menggalas obligasi mutlak untuk menerapan semangat patriotik dalam jiwa raga anak mereka sejak azali lagi.
        Sesungguhnya, kasih sayang merupakan cinta yang mendalam dan lahir daripada hati yang tulus ikhlas. Sudah menjadi fitrah kepada manusia bahawa perasaan kasih sayang sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada mereka.  Ibu bapa yang memberikan kasih sayang kepada anak akan mendidik anak supaya mengasihi orang lain di sekelilingnya. Sememangnya, kasih sayang ialah sifat tuhan yang menjadi anutan manusia supaya meluaskan kasih sayang kepada semua makhluk di buana ini. Secara implisitnya, anak yang penyayang akan memahami perasaan cinta akan negara dan kasih sayang kepada keluarga adalah umpama lagu dan melodi yang saling bergantungan untuk membentuk suatu tempo yang artistik serta estetik. Oleh itu, ibu bapa mestilah menunjukkan sikap yang menyokong barangan buatan tempatan dan menyokong setiap dasar yang dirangka oleh pihak kerajaan. Sejak kecil lagi, prinsip Rukun Negara, kesetiaan kepada raja dan negara mestilah diselami dalam akal budi dan lubuk kalbu anak supaya menzahirkan perasaan yang ikhlas terhadap pembangunan negara. Contohnya, kritikan terhadap pemimpin negara dan pertikaian Perlembagaan Persekutuan antara hak asasi bangsa berlainan tidak wajar wujud dalam pertuturan seharian. Ijmalnya, Iman Al-Ghazali pernah mengatakan bahawa anak yang dididik nilai kasih sayang akan belajar mencintai orang lain. Tanpa struktur keluarga yang penyayang, perasaan cinta akan negara yang kental tidak akan terwujud dalam sanubari setiap anak.
        Dari dimensi lain, ibu bapa mestilah menerapkan kepentingan budi pekerti dan nilai moral dalam diri anak sejak kecil lagi. Sebagai masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan kepercayaan, perasaan saling memerlukan, membantu dan merasai adalah penting supaya semangat patriotik yang disemarakkan dapat menangani sebarang masalah dalam masyarakat kita. Oleh itu, ibu bapa mestilah mengingatkan anak bahawa budi pekerti pakaian keperibadian dan akal fikiran pakaian insani. Memetik kata Imam Al-Ghazali, ‘mengenal diri lihat pada cermin, mengenal peribadi lihat pada wajah.’ Maka, ibu bapa mestilah menzahirkan hati yang bermurah untuk bertegur sapa sesama bangsa yang berbeza dan sudi meluangkan masa untuk menyambut hari perayaan kebangsaan yang tertentu. Ibu bapa boleh membawa anak menghadiri aktiviti gotong-royong, kunjung-mengunjung jiran tetangga yang berbilang etnik dan rumah terbuka supaya memahami nilai kerjasama, kasih sayang, hormat-menghormati dan bantu-membantu supaya mengeratkan perpaduan kaum dalam masyarakat kontemporari ini. Izharnya, perasaan cinta akan negara terzahir daripada perpaduan teguh supaya memastikan kesinambungan tamadun manusia di negara kita.
        Dari segi pendidikan, ibu bapa merupakan guru terdekat kepada anak sejak dilahirkan. Ibu bapa mestilah mementingkan pendidikan informal di rumah tangga, perkongsian cerita tentang kisah perjuangan tokoh-tokoh pada zaman penjajahan selama 446 tahun amatlah penting untuk mengingatkan anak watan tentang penghinaan yang pernah dialami oleh rakyat negara kita. Ilmu memerlukan santapan jiwa untuk menjanakan kelangsungan bangsa dan nusa. Anak yang dididik untuk mencintai negara tidak sanggup mengkhianati pentadbiran negara seperti memfitnah, merosakkan harta benda awam, menyebarkan isu kontrovesi dan provokasi yang akan menghuru-harakan negara. Peristiwa darurat pada 13 Mei 1969 perlulah dijadikan iktibar dan meniti dari bibir ke bibir ahli keluarga tentang betapa pahit maung yang ditempuhi. Jelaslah bahawa, kekuatan sesebuah ikatan keluarga merupakan asas perpaduan dan kejayaan struktur sesebuah negara supaya terus cemerlang, gemilang dan terbilang di persada antaranagsa dengan identiti nasional yang tersendiri.
Selain sebagai pendidik, ibu bapa juga berperanan sebagai mursyid yang pertama kepada anak. Sejak kecil, anak mestilah dididik supaya menjadi insan yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan. Segala tuntutan agama telah mentarbiah penganut supaya mewujudkan perasaan cinta akan negara dan pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat jelata. Taat kepada negara merupakan amalan ibadat yang amat dituntutkan dalam taufik dan hidayah-Nya. Sebagai ibu bapa yang bertakwa, setiap solat jemaah mestilah mengumpulkan anak dan bermusywarah selepas menunaikan solat jemaah. Semasa bermusyawarah, ahli keluarga mestilah mendoakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara di bawah rahmat Tuhan yang Maha Esa. Sebagai rakyat Malaysia, kita telah dilimpahi rahmat yang menjauhi segala bencana alam dan peperangan yang akan meranapkan sesebuah negara. Tanpa negara, di manalah kita? Oleh itu, amalan bersyukur dan bertaubat amatlah penting supaya kita terus dikurniai restu dan keredaan daripada Tuhan, seperti yang termaktub dalam prinsip Rukun Negara, kepercayaan kepada Tuhan. Lirik lagu Negaraku jelas menunjukkan bahawa sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah bersyukur dan terus berbangga dengan keamanan negara.
        Akhirnya, ibu bapa juga berperanan sebagai uswah hasanah dan rakan terdekat kepada anak. Jurang generasi antara ibu bapa dengan anak mestilah dirapatkan melalui aktiviti kekeluargaan dan perkongsian bersama. Tamsilannya, pada waktu cuti sekolah, pengunjungan ke muzium negara, monumen yang termaktub nilai sejarah, gelanggang perjuangan kemerdekaan, bangunan bersejarah perlulah dijadikan satu aktiviti yang biasa dijalankan. Yang pentingnya, penjagaan kebersihan di sekeliling kawasan bersejarah ini perlulah diamalkan kerana kebersihan sebahagian daripada keimanan. Ibu bapa juga perlu menyambut hari kemerdekaan dan hari tokoh perjuangan bersama dengan memberikan sumbangan kepada negara. Sesungguhnya, jalur gemilang bukan sekadar kain yang berwarna-warni, tetapi satu lambing kecintaan yang mendalam terhadap keamanan dan kemakmuran yang dijalani oelh negara kita selama 56 tahun ini. Sekiranya perasaan patriotik telah lenyap ditelan arus perdana, bayangkanlah segala usaha untuk memelihara kedaulatan negara akan menjadi sia-sia bagai mencurahkan air ke daun keladi. Sikap bagai kacang lupakan kulit perlulah dikikis tetapi sikap yang integriti dan etika perlulah ditanam dalam sanubari anak sejak kecil lagi agar negara kita akan bebeas daripada segala penjajahan baik dari segi penjajahan fizikal atau penjajahan minda yang makin ternampak melalui arus perdana yang melanda minda generasi kita. Mukthasarnya, ibu bapa pencorak masa depan anak, bahkan penentu masa depan sesebuah negara yang terus megah di persada dunia atau bankrap dari segi kewangan atau akhlak.
Keranamu kami mendakap tuah
Keranamu kami bangsa berjaya
Keranamu kami hidup selesa
Limpah budi kemakmuran negara

Keranamu kami bebas merdeka
Keranamu myawa dipertaruhkan
Keranamu rela kami berjuang
Demi bangsa kedaulatan negara
        Lirik lagu KeranaMu mestilah didendangkan dalam sesebuah keluarga. Perasaan cinta akan negara susahlah dizahir tanpa inisiatif dan kefahaman ibu bapa tentang erti sumbangan negara kepada kita. Memetik kata Johny Kennedy, “ jangan Tanya apa yang diberi oleh negara, tetapi tanyalah apakah sunbnagan yang boleh kita berikan kepada negara.”