Percubaan SPM 2014 – 12(Kuantan/1)
Sambutan Hari Ibu diadakan pada setiap tahun demi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
Sebagai anak yang penyayang, jelaskan usaha-usaha
yang anda lakukan untuk menzahirkan
rasa kasih sayang tersebut..
Tema : Kasih sayang
Isu : sambutan Hari Ibu menghargai jasa dan pengrbanan ibu
Kunci soalan: usaha-usaha anda menzahirkan kasih sayang kepada ibu
“ibu di hati, syurga menanti”
Slogan di atas telah dipilih
oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebagai tema Hari Ibu Kebangsaan 2014
kerana setiap agama di dunia amat memuliakan kedudukan seorang insan yang
bergelar ibu. Seyogianya, tanggungjawab mutlak seorang anak adalah untuk
memastikan keperluan ibu sama ada fizikal, mental dan emosi berada dalam
kesejahteraan.Tema ini dipilih dengan tujuan mengingatkan anak-anak agar
sentiasa menghormati ibu mereka dengan penuh kasih sayang serta menghargai
pengorbanan mereka membesarkan anak dari kecil sehingga dewasa. Selaras dengan pendekatan Strategi
Lautan Biru (NBOS), Lembaga Penduduk
dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menjadi penggerak utama
aktiviti kekeluargaan supaya menanam kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk
menghargai, mengiktiraf dan berterima kasih atas pengorbanan ibu, dan sekali
gus dapat memupuk nilai kasih sayang dalam kalangan suami isteri, anak-anak dan
menggalakkan pengukuhan ikatan kekeluargaan yang tiada galang ganti. Anak-anak
ibarat harta, bak kata gurindam:
Anak itu umpama sepohon yang rendang,
Lebat daun tumpang teduhannya,
Berbatang sasa teguh teras kayuannya,
Berakar serat berkhasiat majorabat,
Berbuah lebat manis madu aromanya,
Ibarat benih yang baik,
Sebiji jatuh ke laut menjadi pulau,
Sebiji terlontar ke udara menjadi kejora,
Sebiji jatuh ke darat menggunung sasa.
Sebagai anak penyayang, saya
mestilah menyelami isi tersirat di sebalik mutiara kata, syurga di bawah
telapak kaki ibu atau tangan kiri yang menggoyang buaian juga menggegarkan
dunia dengan tangan kanan.Dalam proses melahirkan kita, ibulah yang paling
tinggi pengorbanannya. Sembilan bulan sepuluh hari ibu menanggung derita dan
sengsara mengandungkan kita. Pada saat getir seperti itu, ibu terpaksa
melupakan keperitan sakit yang berbaur antara darah, peluh, dan air mata untuk
melahirkan kita ke dunia ini. Seterusnya, ibu dan bapa akan menjaga kita bak
menatang minyak yang penuh dan membentuk anak menjadi insan yang mulia. Sebagai
kesinambungan nilai kasih sayang yang disifatkan sebagai limpahan rahmat
daripada Tuhan, saya mestilah membalas
jasa ibu dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Setinggi jasa ibu,
setinggilah tanggungjawab saya untuk memperhambakan diri kepada jasa ibu agar
menyerikan dan membahagiakan usia senja mereka dengan penuh erti kesyukuran yang
tidak ternilai.
Falsafah pernah menyebut,
“jika benih yang baik jatuh ke dalam laut, maka benih itu akan menjadi pulau”.
Falsafah ini memanifestasikan bahawa luhurnya akal budi anak-anak yang dibentuk
adalah ekoran daripada komitmen yang dibajai oleh ibu bapa. Sebagai balasan kepada
jasa asuhan ibu, saya mestilah berusaha melengkapkan
diri menjadi insan yang berilmu sebagai satu penghargaan kepada ibu yang
telah menaruh harapan yang setinggi gunung kepada anak sejak kecil lagi. Dengan ilmu penuh di dada, setiap individu
mampu mengubah nasib keluarga. Memetik
sepotong hadis, “ sesiapa yang menuntut ilmu, pintu syurga akan terbuka
untuknya.”. Sesungguhnya, tanpa ilmu, hidup keluarga akan terus berada kejumudan
bagai cacing di perlimbahan. Kejayaan anak semasa menggenggam segulung ijazah
atau kecemerlangan prestasi akademik adalah terselit dengan keringat dan air
jernih kesyukuran daripada insan yang bergelar sebagai ibu.
Pesan
orang tua-tua yang berbunyi, “Mengaji dari alif, membilang dari esa,
hujan berpokok, dan kata berpangkal” jelas menunjukkan bahawa segala-galanya
perlu melalui suatu sistem tatacara yang betul untuk meraih kejayaan kerana
yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang.
Seyogianya, sebagai anak penyayag, saya
mestilah menghargai masa muda sebelum menjangkau masa tua, menikmati kesihataan
sebelum jatuh sakit. Tentulah ibu bapa sudah menjangkau waktu senja
selepas kita menamatkan pengajian, inilah waktu ibu bapa memerlukan penjagaan
yang rapi. Dalam konteks penjagaan
kebajikan ibu, nafkah amatlah diperlukan untuk memastikan ibu bapa hidup tanpa
sebarang keresahan dan bukan bagai melukut di tepi gantang. Pendek kata, masa
itu ibarat mata pedang, jika kita tidak memancungnya, masa akan memancung kita.
Saya mestilah berusaha gigih bagai
hilang kapak ganti beliung untuk memastikan segala impian menjadi realiti
sebelum masa itu berlalu. Jikalau tiada disiplin diri, segala pembalasan jasa hanya
akan terpahat dalam kekesalan.
Anak ialah sumber penyeri
ibu bapa. Sebagai anak soleh atau solehah, saya hendaklah menjadi seorang insan
yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan yang Maha Esa. Hal ini demikian kerana sikap
tersebut amat dituntut sama ada di sisi agama mahu pun budaya. Ingatlah dengan
bersungguh-sungguh bahawa anak-anak adalah sebagai penawar hati dan pelunak perasaan kepada ibu bapa. Membalas jasa
ibu bapa merupakan tuntutan semua agama dan merupakan amalan ibadat
yang akan direstu dan dilimpahi rahmat oleh Tuhan pada hari duniawi atau
akhirat. Seyogianya, saya mestilah
memanjatkan doa kepada Tuhan agar kebahagiaan dan kesejahteraan ibu direda oleh
Tuhan. Sesungguhnya, ibu tidak pernah meminta apa-apa balasan dalam bentuk
fizikal daripada anak, tetapi hanyalah segala ketaatan yang mampu meredakan nafsu
amarah yang tidak terhingga. Sifat istiqamah dengan akal budi akan menjadi
resipi lengkap untuk mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga selaras dengan
slogan “Baiti Jannati”.
Akhir sekali dan tidak
kurang pentingnya, saya mestilah menghayati isi tersirat dalam peribahasa berat
mata memandang, berat lagi bahu memikul atau memiat daging, sama sakit sama
rasa. Perkongsian jerih perih atau pahit maung ahli keluarga akan melestarikan
warna-warni keharmonian sesebuah rumah tangga. Sebagai anak penyayang, saya
mestilah berusaha untuk meringankan bebanan ibu. Sudah sewajarnya, anak-anak mencerminkan diri dengan
akhlak dan sopan santun, bak kata Imam al Ghazali, “Hendak mengenal diri lihatlah pada
cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu, saya
akan mempunyai hati pemurah untuk menghulurkan bantuan berupa fizikal, masa,
kudrat atau kewangan kepada ibu seperti membantu ibu mengendalikan bahtera
rumah tangga. Saya juga akan menghormatilah setiap ahli keluarga dengan yang tua dihormati, manakala yang muda
disayangi supaya tidak menimbulkan pertelingkahan antara adik-beradik. Seandainya,
karekter seperti ini kekal diperkasakan, nescaya lahirlah sebuah keluarga yang
harmoni, ibarat di air yang bening
terpancar bayang yang jernih.
Sebagai penghias penutup bicara, kasih sayang dan hubungan umpama
lagu dan melodi yang saling bergantungan demi membentuk suatu tempo yang
artistik serta estetik. Dalam
apa-apa jua situasi, hubungan kasih sayang menjadi pengikat hubungan darah daging dan kekeluargaan. Tanpa nilai kasih sayang, fenomena seperti salah
faham, cemburu, dan dendam kesumat
yang berpaksikan hukum beraja di mata
dan bersultan di hati akan mengaburi minda dan emosi. Jasa ibu saya kekal
tersemat dalam hati selagi hayat masih terkandung dalam tanah, ibu permata hati
saya, umpama lirik lagu di bawah
Ibu, ibu,
Engkaulah ratu hatiku.
No comments:
Post a Comment