Gejala gengsterisme semakin menjadi-jadi pada masa
ini. Keadaan ini amat membimbangkan masyarakat keseluruhannya. Bincangkan
langkah-langkah yang boleh diambil untuk membendung gejala ini daripada terus
menular.
Sejak kebelakangan ini, gejala gangsterisme
semakin menjadi-jadi di negara kita. Perkara ini tidak akan ada penamatnya jika
tidak dipandang berat oleh semua pihak. Gejala ini dapat dilihat dengan jelas
apabila berlakunya peningkatan mengenai kes ini dalam dada-dada akhbar dan
perkara sebegini telah membimbangkan masyarakat kita. Tegasnya, pelbagai langkah
yang proaktif dan konkrit sewajarnya diambil bagi menangani
masalah ini.
Antara langkah yang boleh diambil bagi
mengurangkan masalah ini ialah ibu bapa mestilah memantau dan mengambil
berat dengan setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak. Hal ini demikian
kerana pada masa ini ibu bapa lebih banyak mementingkan kerjaya dan wang
berbanding meluangkan waktu bersama-sama anak-anak di rumah bak kata
pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.
Lantaran itu, anak-anak akan mudah untuk melakukan perkara-perkara yang tidak
baik. Selagi ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada anak-anak, selagi
itulah perkara ini tidak boleh diselesaikan.
Selain itu, setiap individu mestilah
pandai dalam memilih rakan. Hal ini demikian kerana remaja pada masa ini lebih
banyak membazirkan waktu mereka bersama-sama rakan-rakan sebaya hanya untuk
menginginkan kebebasan. Implikasinya, remaja-remaja akan terjerumus dalam
melakukan aktiviti yang tidak sihat. Tamsilnya, mereka akan mengikut
kumpulan-kumpulan gangster dan sebagainya. Jika perkara sebegini masih
berleluasa maka kes-kes seperti ini tidak akan berkurangan.
Di samping itu, pihak kaunselor
sekolah juga perlulah mengambil inisiatif dalam membendung masalah ini
dengan cara mengadakan program yang berkaitan dengan masalah pelajar di
sekolah. Hal ini disebabkan kerana remaja sekarang lebih suka membuang masa
dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah berbanding menyertai
program yang memberi keinsafan dan pengajaran. Dengan ini, pelajar yang
bermasalah akan berminat untuk menyertai program yang diadakan ini. Sebagai
contoh, guru kaunselor mestilah dapat menarik minat pelajar-pelajar tersebut
dengan cara berjumpa dan memberi nasihat kepada pelajar itu. Dengan adanya cara
sebegini, remaja-remaja akan berubah dan insaf jika mengikuti program tersebut.
Konklusinya, kita seharusnya mengambil
langkah-langkah di atas bagi mengurangkan berlakunya gejala gangsterisme ini.
Oleh itu, masyarakat juga mestilah prihatin terhadap setiap aktiviti yang
dilakukan oleh remaja. Sekiranya perkara ini diambil berat, gejala ini dapat
diatasi dengan mudah. Jelaslah bahawa peranan dan tanggungjawab semua pihak
sangat penting bagi mengurangkan berlakunya gejala gangsterisme bak kata
peribahasa ‘tepuk sebelah tangan tidak berbunyi’.
Benteng utama untuk menghadapi
pelbagai gejala sosial dewasa ini terletak pada pengukuhan institusi
keluarga. Berikan komen anda berkaitan dengan pandangan ini.
Institusi keluarga biasanya terbentuk
daripada kelompok yang paling asas, iaitu ayah, ibu, dan anak-anak.
Sementara itu, gejala sosial merujuk kepada perkara-perkara negatif yang
dilakukan oleh sesiapa saja. Gejala sosial yang melanda masyarakat kita hari
ini berkait rapat dengan nilai kehidupan dalam institusi keluarga. Banyak
pihak yang berpendapat bahawa kanak-kanak yang dididik dengan baik dapat
meryerapkan nilai-nilai murni sebagai persiapan untuk menghadapi pelbagai
cabaran kehidupan.
Salah
satu usaha pengukuhan institusi keluarga terletak pada usaha
pemupukan semangat yang kental. Melalui cara ini, benteng bagi menangkis sebarang masalah sosial yang
melanda masyarakat kita dewasa ini akan wujud. Antara masalah
sosial itu termasuklah masalah penyalahgunaan dadah, perlakuan sumbang mahram,
kes pembuangan bayi, jenayah perogolan yang membabitkan pelajar, dan gejala
laku musnah. Oleh itu, setiap anggota keluarga perlulah berganding
bahu untuk memastikan bahawa semangat yang kental terjelma dalam kalangan anggota
keluarga dan akhirnya dapat mengelak daripada gejala-gejala
sosial.
Selain itu, melalui usaha pengukuhan
institusi keluarga, ibu bapa perlu diberi pendedahan tentang kemahiran
keibubapaan. Hal ini demikian kerana kemahiran keibubapaan bagi
sesesetengah ibu bapa amat terhad. Antara kemahiran yang dapat diterapkan
termasuklah komunikasi efektif, mesra keluarga, nilai kekeluargaan, toleransi,
keibubapaan cemerlang, dan kasih sayang. Penerapan ciri-ciri tersebut
dalam kehidupan alam rumah tangga dapat membentuk keluarga bahagia. Oleh yang demikian, dengan sendirinya anak-anak remaja tidak akan
terdorong untuk keluar rumah mencari keseronokan yang berkemungkibnan
mendedahkan gejala-gejala negatif kepada mereka.
Selanjutnya, pemupukan nilai-nilai murni
mampu mengukuhkan institusi keluarga. Dengan berlandaskan anggapan bahawa daya
kekuatan sesebuah keluarga itu bermula dari rumah, yang penting kini ialah
usaha mencurahkan segala tenaga kita untuk mengukuhkan institusi
tersebut. Dalam konteks ini, ibu bapa yang berjaya ialah ibu bapa yang
dapat menerapkan nilai-nilai murni sosial dan kekeluargaan di kalangan anak
mereka. Lantaran itu, saranan agar ibu bapa memberikan perhatian
yang sewajarnya untuk mengawasi segala tindak-tanduk anak-anak mereka perlu
disambut oleh semua ibu bapa agar anak-anak mereka tidak terperangkap dalam
gejala penyalahgunaan dadah dan keruntuhan moral.
Kesimpulannya, masalah
sosial perlu ditangani segera. Jika tidak ditangani segera, masalah ini
pasti akan menggugat kestabilan masyarakat dan negara. Peranan ibu bapa
dan anggota keluarga amat penting untuk melahirkan anak yang mampu menangani
segala dugaan dan cabaran ini. Tegasnya, pengukuhan institusi keluarga
tetap menjadi benteng utama demi menghadapi pelbagai masalah sosial dewasa ini.
Perkembangan Sains dan Teknologi menyebabkan ramai
dalam kalangan kita mencari maklumat melalui internet. Jelaskan kelebihan yang
diperoleh apabila kita menggunakan internet.
Marcapada, manusia tidak dapat
dipisahkan dengan pelbagai kemudahan teknologi komunikasi yang canggih dalam
kehidupan seharian mereka. Kemudahan internet merupakan salah satu ciptaan
manusia yang telah menjadi suatu kemestian dalam urusan kehidupan kini.
Internet telah digunakan oleh jutaan manusia tanpa mengira faktor jantina dan
juga usia. Pelbagai faedah yang dapat diperoleh sekiranya kita tahu menggunakan
aplikasi ini dengan sebaik-baiknya.
Antara faedah apabila kita menggunakan
internet ialah kita mudah mendapat informasi melalui laman-laman sesawang
yang disediakan oleh pelbagai pihak. Sebelum adanya internet kita terpaksa
menghabiskan banyak masa untuk mencari sesuatu maklumat yang hanya terdapat
dalam buku-buku atau media cetak yang lain. Oleh itu, kita boleh mendapatkan
sebarang maklumat dengan cepat tanpa perlu menghabiskan terlalu banyak masa
untuk mencarinya. Sebagai contoh, kita boleh mendapatkan maklumat mengenai
sesuatu perkara dengan hanya menaip kata kunci di bahagian kotak pencarian dan
maklumat tersebut siap untuk digunakan. Sememangnya, internet memudahkan kita
mendapat maklumat yang diperlukan menggunakan hanya hujung jari kita.
Selain itu, internet juga memudahkan
kita berhubung dengan orang lain sama ada melalui e-mel ataupun ruang sembang.
Sebelum ini kita hanya bergantung kepada surat yang mengambil masa yang agak
lama untuk sampai kepada penerimanya ataupun telefon untuk berhubung dengan
orang yang jauh daripada kita. Dengan internet, kita dapat berutus surat secara
elektronik dan bersembang dalam alam maya dengan suasana yang lebih
kondusif dan pantas. Misalnya, terdapat pelbagai penyedia platformuntuk
kita mengutus surat dan bersembang seperti “Yahoo Messenger” dan “Gmail”.
Internet sememangnya telah sedikit sebanyak telah mendominasi penghantaran
surat pada hari ini.
Seterusnya,internet juga memudahkan
kita untuk mendapatkan hiburan, sama ada lagu ataupun filem dari dalam dan luar
negara. Sebelum ini kita hanya bergantung kepada media elektronik seperti
televisyen dan radio untuk mendapatkan hiburan. Dengan ini, kita boleh mendengar
dan menonton secara ‘online’ sesuatu program hiburan yang kita inginkan.
Tamsilnya, terdapat pelbagai perisian seperti ‘Ares’ yang membolehkan kita
memuat turun sesuatu bahan hiburan dengan hanya menaip di ruangan pencarian
yang disediakan. Hal ini jelas menunjukkan betapa internet telah memudahkan
kita semua untuk mendapatkan pelbagai bentuk jenis hiburan dalam sekelip mata
sahaja.
Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa
terdapat banyak faedah yang kita peroleh sekiranya menggunakan kemudahan ini. Dengan
demikian, kita hendaklah menguasai teknologi ini dengan sebaik mungkin.
Sekiranya kita menguasai teknologi ini, sudah tentu kita tidak akan ketinggalan
dalam menguasai ilmu yang semakin berkembang pesat ini. Jelaslah bahawa
internet telah membantu kita dalam banyak aspek kehidupan kita pada masa ini.
Telefon bimbit sudah menjadi kemestian kepada setiap
golongan masyarakat. Lebih-lebih lagi, golongan remaja pada masa ini yang
begitu ghairah menggunakan telefon bimbit. Huraikan pendapat anda tentang kesan
negatif penggunaan telefon bimbit kepada mereka.
Kebelakangan
ini, isu penggunaan telefon bimbit merupakan suatu perkara yang tidak asing
lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Perkara yang menimbulkan pertanyaan
kepada kita adalah mengapakah telefon bimbit yang sepatutnya digunakan bagi
menyenangkan pengguna berubah menjadi suatu barang yang boleh memberikan unsur
negatif kepada mereka? Siapakah yang bertanggungjawab dalam menangani masalah
ini daripada terus berlaku? Segala persoalan ini kerap kali menerjah minda kita
namun penyelesaiannya masih belum ditemui. Adakah kerjasama yang diberikan oleh
beberapa pihak dalam membendung isu ini seperti ibu bapa, pihak sekolah serta
masyarakat sekeliling masih tidak mencukupi? Apakah kesan negatif yang akan
timbul sekiranya golongan remaja tersebut begitu ghairah menggunakan telefon
bimbit?
Antara kesan negatif yang akan diperoleh
sekiranya para remaja begitu ghairah sewaktu menggunakan telefon bimbit ialah
berlakunya kerosakan bahasa Melayu. Hal ini berlaku demikian kerana golongan
remaja ini gemar meringkaskan perkataan semasa menggunakan Sistem Khidmat
Pesanan (SMS) dengan alasan menjimatkan ruang pesanan. Lantaran itu, golongan
remaja yang sudah terbiasa menggunakan perkataan singkatan ini akan turut menggunakan
perkataan singkatan tersebut sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran(P&P)
di sekolah terutamanya dalam subjek-subjek yang memerlukan mereka menulis atau
mengarang. Tamsilnya, golongan remaja yang begitu ghairah menggunakan telefon
bimbit ini akan terbawa-bawa menggunakan perkataan singkatan tersebut semasa
mengarang essei sekaligus menjadikan bahasa Melayu terjejas. Oleh itu,
keghairahan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan muda-mudi jelas merosakkan
bahasa Melayu sekiranya tidak digunakan dengan sebaik-baiknya.
Selain itu, kesan negatif yang akan
diperoleh jika para remaja begitu ghairah sewaktu meggunakan telefon bimbit
ialah mereka akan kurang memberi tumpuan sewaktu menelaah pelajaran di sekolah
dan hilang minat untuk mengulang kaji pelajaran di rumah. Hal ini berlaku
bemikian kerana mereka terlalu taksub menikmati kecanggihan telefon bimbit
sehingga hilang fokus untuk belajar. Lantaran itu, prestasi akademik remaja
tersebut akan merosot dan keinginan mereka untuk terus belajar akan mula
terhakis. Tamsilnya,kemudahan-kemudahan yang di sediakan dalam telefon bimbit
tersebut seperti permainan, Sistem Khidmat Pesanan(SMS) dan sebagainya telah
menjadikan mereka menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut tanpa batasan. Oleh
itu, penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan jelas menghilangkan minat golongan
remaja untuk memberi tumpuan kepada pelajaran mereka.
Penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan
juga akan mendatangkan kesan negatif kepada remaja tersebut seperti berhadapan
risiko menerima maklumat palsu atau gambar yang mencolok mata. Hal ini berlaku
demikian kerana terdapat sebilangan individu yang gemar menangguk di air keruh
untuk kesenangan mereka sendiri. Justeru, remaja tersebut akan berasa seronok
tanpa menyedari pada hakikatnya mereka ditipu oleh individu yang tidak
bertanggungjawab. Tamsilnya, remaja tersebut akan berhabisan wang semata-mata
ingin menikmati tawaran-tawaran yang disediakan seperti gambar-gambar lucah
yang kerap menerjah dunia moden ini. Oleh itu, penggunaan telefon bimbit tanpa
kawalan jelas memberikan kesan negatif kepada minda generasi muda hari ini.
Natijahnya, jelaslah bahawa keghairahan
muda-mudi masa ini menggunakan telefon bimbit banyak mendatangkan impak negatif
dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, pemantauan daripada pihak yang
terlibat haruslah segera dilakukan sebelum perkara ini menjadi barah dalam
masyarakat Malaysia. Sekiranya semua pihak bekerjasama dalam menangani isu ini,
sudah pasti isu ini akan dapat ditangani dengan mudah. Jelaslah isu penggunaan
telefon bimbit tanpa kawalan terutamanya dalam golongan remaja perlulah
diselesaikan bersama-sama dan tidak hanya menuding jari kepada sebelah pihak
sahaja. Bak kata pepatah, berat sama di pikul, ringan sama dijinjing.
No comments:
Post a Comment