Tuesday, October 6, 2015

countdown SPm 2015 6 - 5E1 salin n pass up the next monday



Kepentingan mengamalkan semangat kejiranan.

Bukanlah orang yang beriman
Jika sendiri kekenyangan
Sedangkan jiran menangis kelaparan
            Sepotong hadis di atas memanifestasikan kepentingan untuk menjalin hubungan ukhuwah sesama jiran tetangga tanpa mengira latar belakang yang berbeza. Dalam konteks Islam, jiran merujuki deretan rumah ke-40 yang melangkau rumah di sebelah kiri dan kanan, rumah di belakang dan di depan, rumah di tingkat atas dan bawah dari rumah kita. Sabda Nabi Muhammad yang bermaksud, “ jiran tetangga ada tiga jenis, yakni jiran yang terdiri daripada kaum keluarga, kaum muslim dan kaum kafir.” Manakala aktivis terkenal negara Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkali-kali menegaskan kepentingan semangat kejiranan untuk membangunkan tamadun bangsa negara kita. Izharnya, semangat kejiranan yang telah lama mendarah daging dan sebati dalam tradisi kehidupan leluhur telah menunjangkan norma masyarakat majmuk di Malaysia. Kini, sampailah masa untuk kita membenamkan kotak minda menelusuri kepentingan semangat ini. Apakah kepentingan semangat kejiranan kepada nusa dan bangsa?Tepuk dada tanya selera.

            Afdalnya, semangat kejiranan merupakan pangkal pokok untuk membentuk masyarakat yang sakinat dan madani. Secara fitrahnya, manusia tidak dapat hidup bersendirian kerana nilai kasih sayang merupakan sebahagian daripada kehidupan hakiki manusia. Nilai kemanusiaan ini ternyata dalam hadis yang berbunyi, “barang siapa yang beriman kepada hari kianat, maka berbaik-baiklah kepada jiran tetangga dan tetamu.” Dengan jelasnya, manusia yang menerapkan nilai kasih sayang dalam kehidupan akan memahami sifat kasih sayang ialah sifat Tuhan yang patut menjadi anutan manusia supaya meluaskan nilai kemanusiaan ini kepada semua makhluk di buana ini. Kempen Budi Bahasa dan Budaya Kita yang diuar-uarkan oleh Datuk Seri Rais Yatim menekankan jiran tetangga ialah saudara kita yang terdekat. Walhal, segala perbalahan dan konflik berakar umbi daripada sikap individualistik yang bercanggah dengan agama dan nilai murni masyarakat timur. Bolehlah dibayangkan bahawa masyarakat kontemporari yang bersikap evasif lantaran terlalu mengejar kemewahan dalam hidup. Maka, nilai ketimuran ini wajarlah disuburkan kembali demi memugarkan nilai kasih sayang, toleransi dan ikatan silaturahim sesama manusia, khasnya jiran tetangga yang paling berhampiran dengan kita.

            Selain pembentukan masyarakat yang bertunjangkan nilai ketimuran, semangat kejiranan juga merupakan pemangkin untuk meningkatkan imej negara yang terdiri daripada masyarakat yang multiagama, multibudaya dan multietnik. Sesungguhnya, banyak kajian barat telah dijalankan untuk menilai nilai perpaduan yang berjaya dijanakan oleh pemimpin negara kita. Sebagai analoginya, setiausaha PBB semasa sambutan Hari ASEAN 2015 mengagumi kejayaan Gagasan 1M sebagai payung untuk memupuk perpaduan dalam masyarakat yang terdiri daripada kepelbagaian kebudayaan. David Cameron, mantap Perdana Menteri British pada tahun 2012 pernah melaporkan kegagalan negara British untuk mewujudkan pendidikan yang multikebudayaan. Begitulah juga yang berlaku di Jerman, Amerika Syarikat dan negara maju lain yang menyuarakan kebimbangan untuk mewujudkan masyarakat yang multibudaya. Namun, sudah banyak kali negara kita dijadikan peran contoh untuk pakar penyelidik menelusuri semangat perpaduan dan kejiranan di negara kita. Pendek kata, jiran tetangga yang berbeza kaum dan kepercayaan bukan menjadi penghalang untuk hidup bermasyarakat kerana budaya bertoleransi dan saling memahami telah lama menjadi nilai tradisi negara kita.

            Walhal,bukan merupakan kes keterasingan lagi jika kita melihat jiran tetangga yang berbilang bangsa menghulurkan bantuan untuk menjayakan sesuatu agensi nasional. Di bawah kepemimpinan YAB Najib Tun Razak, Dasar Ekonomi Baru dan NKRA( Bidang Keberhasilan Utama Negara) telah menekankan kesejahteraan dan keadilan untuk menyelaraskan perkongsian harta khazanah di bumi yang bertuah ini. Sesungguhnya, selepas menghela nafas 58 tahun, masyarakat majmuk di negara ini sudah mendarah daging dengan konsep memberi dan menerima sesama masyarakat yang heterogen. Agak biasanya apabila kita menyaksikan jiran tetangga yang berbeza kepercayaan menyertai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Rukun Tetangga atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung. Contohnya, Hari Keluarga, Rumah Terbuka Kebangsaan dan pelbagai program seni dan kebudayaan telah mengumpulkan masyarakat setempat tanpa mengira bangsa dan kulit. Lebih mesra lagi, masyarakat Malaysia terkenal dengan nilai budi bahasa dan kemurahan hati sanggup membantu jiran tetangga dalam waktu kecemasan atau semasa ditimpa musibah. Hal ini dibuktikan semasa banjir berlaku di Kelantan, jiran tetangga dengan serta-merta membantu mangsa tanpa sekelumit perbandingan kulit yang berbeza.

            Lebih mengagumkan masyarakat domestik dan negara luar, ikatan kejiranan yang erat telah mengurangkan kes jenayah jalanan dan indeks jenayah sejak pelancaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan. Hal ini telah dilaporkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Indeks Jenayah Jalanan menunjukkan penurunan sejak kepimpinan YAB Najib Tun Razak. Sungguhpun jenayah demi jenayah dipaparkan dalam dada media akhbar, namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga. Nilai kejiranan pernah ditegaskan oleh Tan Sri Lee Lam Thye sebagai senjata mujarab untuk memerangi segala pidana dan kebobrokan yang melibatkan manusia. Dengan sikap berwaspada terhadap kerenah orang asing yang tidak dikenali, jiran tetangga mampu mengecam dan sekurang-kurangnya melaporkan perasaan syak wasangka ini kepada pihak berwenang. Talian kecemasan 999 dan telefon numbor balai polis berdekatan telah diedarkan kepada ahli masyarakat setempat. Maka, dalam meladeni kerenah penjenayah yang tidak berhati perut, penggemblengan kudrat dan minda sesama jiran tetangga mampu mengurangkan indeks jenayah seperti pecah rumah, ragut, penculikan dan sebagainya yang sudah lama membelenggu kehidupan masyarakat kita.

            Akhir sekali, semangat kejiranan mampu menjadi elemen untuk melonjakkan industri pelancongan desa dan ekopelancongan. Panorama yang saujana mata memandang memerlukan kerjasama masyarakat setempat dengan menyahut seruan pihak kerajaan. Sebagai contohnya, program Inap Desa mustahillah berjaya untuk menggamit pelancong asing sekiranya masyarakat setempat tidak berusaha sama untuk melestarikan kehijauan saujana dan tidak bersikap siapa lu siapa gua. Sebagai contohnya, kehijauan Australia dan kebersihan Singapura mempamerkan rakyat murba yang menjunjung kedaulatan negara dan sifat empunya terhadap negara yang menaungi mereka. Kini, sekiranya rakyat murba di setiap kawasan perumahan sanggup mendukung aspirasi kerajaan seperti menyokong program pengasingan sampah sarap, amalan bercucuk tanam dan Kempen Sepokok Serumah, nescayalah persekitaran yang membersih dan menghijau mampu merancakkan industri pelancongan negara kita. Program Mybeautiful Neighbourhood dan RTC contohnya merupakan agensi nasional untuk mempromosikan produk pelancongan desa kepada pelancong asing. Khasnya, persembahan kebudayaan dan pertunjukan seni yang ditonjolkan oleh masyarakat desa berjaya mewujudkan aura yang muhibah. Makanan tradisional kini telah menjadi lambang keunikan negara kita apabila makanan 1Malaysia yang bercirikan ala kepelbagaian kebudayaan dihidangkan kepada pelancong asing. Mukhtasarnya, kepelbagaian kebudayaan merupakan sebahagian daripada ikatan kejiranan dalam masyarakat kampung telah dijadikan sebagai produk pelancongan yang unik.  

            Tuntasnya, semangat kejiranan mendatangkan seribu satu kemaslahatan kepada nusa dan bangsa. Transformasi pembangunan sosioekonomi bukanlah satu anjakan yang mudah, memetik kata mantan Presiden Amaerika Syarikat, John F Kenneny, “ janganlah Tanya apa yang boleh diberikan oleh negara, tetapi tanyalah apa yang boleh diberikan kepada negara. “ Semasa menempuhi cabaran yang semakin sengit dan kemelesetan ekonomi yang cukup merimaskan masyarakat, masyarakat Malaysia seakan-akan masih berada dalam zon keselesaan. Kita perlu memahami bahawa ikatan ukuhwah dan nilai kemanusiaan tanpa membatasi ideologi yang berbeza merupakan penawar untuk merungkaikan masalah global ini. Ayuhlah kita kembali kepada nilai tradisi dan norma masyarakat leluhur untuk menghayati suasana musim berderau yang pernah berlaku pada zaman nenek moyang kita;
Yang buta penghembus lesung,
Yang pekak pembakar meriam,
Yang lumpuh penghalau ayam,
Yang kurap pemikul buluh.

Monday, October 5, 2015

countdown spm 5



Semangat Patriotik

           Malaysia ialah tanah tumpah darah kita. Di sini kita dilahirkan dan menjalani kehidupan bahagia dan harmoni. Kita berkongsi kehidupan dengan pelbagai bangsa dengan adat budaya dan agama berbeza, tetapi dengan matlamat yang sama, iaitu bersatu padu di bawah payung satu Malaysia.

            Sejak belakangan ini banyak isu yang menggugat kepentingan negara. Telah berlaku beberapa peristiwa tragik yang berlaku tanpa dirancang. Musibah besar yang melanda negara ialah peristiwa pencerobohan di Lahad Datu Sabah. Pada Mac 2013 pihak keselamatan melancarkan "Ops Daulat"di Sabah bagi memerangi pengganas Kiram yang menceroboh Kampung Tanduo. Banyak anggota keselamatan yang menjadi korban dan peristiwa itu menjadi momen pahit dalam sejarah negara. Pengajaran yang didapati melalui kejadian tersebut mencerminkan betapa pentingnya menjaga kedaulatan negara kita daripada diganggu gugat oleh musuh.

            Tragedi besar yang melanda negara dan mencetuskan peristiwa besar dunia adalah misteri kehilangan pesawat MH 370 pada 8 Mac 2014. Peristiwa ini dianggap luar biasa dan membingungkan arena penerbangan dunia. Pelbagai aset telah dikerah untuk mencari dengan kerahan tenaga, wang ringgit, masa namun belum berhasil. Bayangkan jika Malaysia bersendirian atau jika Malaysia sebagai"pihak tuan rumah"diwajibkan membayar kesemua kos pencarian oleh 29 buah negara lain, bayangkan apakah yang akan terjadi dengan negara ini?

            Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada Julai 2015 berisiko membawa kepada bibit-bibit rusuhan kaum di seluruh negara. Insiden yang berlaku dan disebarkan melalui media sosial sewaktu umat Islam menjalani ibadat Ramadan boleh meningkatkan sensitiviti umat Islam di negara ini. Perhimpunan Bersih 2012 atau Bersih 3.0 (juga dipanggil Duduk Bantah) ialah suatu perhimpunan tunjuk perasaan yang dianjurkan pada 28 April 2012 di pusat bandar Kuala Lumpur, Malaysia. Himpunan Bersih 4 akan diadakan selama 34 jam mulai 2 petang 29 Ogos ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, dengan menyaksikan kesungguhan rakyat Malaysia.  Namun kesemua insiden yang berlaku baru-baru ini menimbulkan kontroversi tentang keamanan negara Malaysia.
            Persoalannya terlalu banyak spekulasi dalam laman sosial seperti Facebook, Whats App dan Twitter yang membuat pelbagai teori dan tidak kurang juga dengan agensi media asing yang melaporkan berita yang tidak bertanggungjawab. Mereka hanya pandai mengkritik tetapi tidak tahu jalan penyelesaiannya, malah kadangkala lebih hebat daripada kenyataan rasmi yang disahkan oleh kerajaan.

            Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, seharusnya kita berdiri teguh di belakang kepimpinan bukannya mengeruhkan keadaan dengan menuduh kerajaan menyembunyikan maklumat sebenar. Banyak isu telah dipolitikkan termasuk serangan siber yang menghalakan api kebencian.

            Marilah mencari titik persamaan kerana sikap suka menyalahkan hanya memburukkan nama negara juga. Musuh akan mengambil kesempatan atas kebodohan kita sendiri. Bersihkan hati kita yang telah berkarat dengan berdoa ke hadrat Ilahi agar setiap musibah yang melanda negara terungkai, malah mengandungi hikmah tertentu. Siapalah kita untuk menolak takdir Tuhan seperti ujian yang telah diberikan hari ini.


countdown spm 4



Berikan komen anda akan keperluan masyarakat dunia memanfaatkan media massa dalam bidang perfileman.

            Filem pertama ditayangkan kepada umum pada 28 Disember 1895 di Paris oleh Lumiere, filem memainkan peranan besar dalam pembangunan tamadun dan pemikiran masyarakat. Di negara kita, filem tempatan pertama dipercayai diterbitkan pada tahun 1939. Sejak tahun tersebut, beribu-ribu filem diterbitkan di Malaysia. Perkembangan bidang perfileman ini semakin membesar dari tahun ke tahun seiring dengan perkembangan teknologi dalam pembikinannya.

            Penghasilan sesebuah filem merupakan rakaman tamadun, kebudayaan dan agen perubahan dalam masyarakat. Oleh itu, filem seharusnya dihasilkan seiring dengan pemikiran dan perkembangan pendidikan sesebuah masyarakat kerana tujuan mendidik penonton menjadi matlamat utama dalam penghasilan sesebuah filem.  Kini banyak filem dihasilkan dengan objektif untuk mengaut keuntungan atau dengan matlamat komersial semata-mata. Remaja akan mudah tertarik dengan elemen hiburan yang terkandung dalam filem. Aksi yang bertentangan dengan adat budaya ditonjolkan melalui filem. Dengan perkembangan teknologi komunikasi melalui bidang perfileman, semua pihak sepatutnya mengambil kesempatan menggunakan filem sebagai medium penting untuk mendidik remaja. Elemen pendidikan menjadi lebih mudah diterapkan melalui filem kerana bidang perfileman salah satu bahan hiburan bagi remaja.

            Filem merupakan karya seni dan budaya yang menggunakan audio visual sebagai media komunikasi. Peranan filem merangkumi aspek sosial, ekonomi dan juga budaya. Sesebuah filem yang baik berjaya menggabungkan elemen hiburan bersama-sama penerapan nilai kehidupan yang dapat dijadikan panduan kepada penonton. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak penerbit filem menggunakan filem sebagai medium untuk menerapkan ideologi serta nilai kepada penonton. Penerbit filem Hollywood, contohnya, banyak menggunakan filem sebagai alat penyampai nilai serta ideologi mereka. Sebagai contoh, selepas Perang Dunia Kedua penerbit filem Hollywood, yang terdiri daripada kalangan Yahudi, telah menerbitkan lebih daripada 160 buah filem yang bertemakan Yahudi dan peristiwa Holocoust, sebagai alat untuk menonjolkan kekejaman tentera Nazi terhadap orang Yahudi semasa perang tersebut.

            Dalam konteks filem tempatan, nilai kehidupan yang relevan dengan budaya dan cara hidup masyarakat setempat juga diterapkan melalui filem tempatan. Nilai kekeluargaan antara bapa dengan anak perempuan, contohnya, telah digarap dengan baiknya oleh pengarah filem Papadom. Filem ini telah diiktiraf sebagai filem terbaik pada tahun 2009 dalam Festival Filem Malaysia Ke-22. Secara umumnya, setiap filem yang dihasilkan sememangnya menerapkan pelbagai nilai yang baik kepada masyarakat. 

            Seperti karya seni yang lain, filem juga merupakan perakam aktiviti masyarakat di dunia realiti. Persoalan semasa, isu terkini, pemikiran masyarakat, serta rutin harian masyarakat difilemkan sebagai sebuah karya seni. Hal ini bermakna apa-apa yang ditonjolkan dalam filemt nenonjolkan perkara yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat, seperti slogan yang diketengahkan oleh Finas,"Filem Kita, Wajah Kita". Oleh yang demikian, nilai sesebuah bangsa dan negara itu pastinya dapat dilihat melalui penghasilan filem di negara tersebut. Bagi remaja, perkara ini lebih mudah diterima kerana isu yang dipaparkan dalam filem ialah perkara yang sama seperti di luar filem.

            Mendidik remaja melalui filem dapat disampaikan dengan gabungan kreatif semua pihak yang terlibat dalam penghasilan sesebuah filem tersebut. Filem juga mampu menyampaikan maklumat tentang sejarah ketamadunan negara. Mendidik remaja tentang sejarah negara secara konvensional mungkin membosankan mereka. Masalah tersebut dapat diatasi dengan menerapkan nilai sejarah melalui filem. Dengan tambahan unsur percintaan dan hiburan yang tersusun, aspek sejarah negara pastinya menjadi lebih menarik di layar perak. Filem Tanda Putera, contohnya, didapati berjaya menggabungkan elemen sejarah dan hiburan dengan baiknya. Filem ini juga diangkat sebagai filem terbaik di Anugerah Skrin 2014.

            Selain nilai kemanusiaan yang dikemukakan melalui filem, aspek pendidikan teknikal juga dapat diterapkan melaluinya. Pembikinan filem yang menggunakan teknologi terkini, secara tidak langsung, mampu menanam minat kepada para remaja untuk mendalami teknik teknologi komunikasi visual, seperti animasi, seperti CicakMan yang menggunakan teknik Computer Generated Imagery (CGI). Penggunaan teknik seperti ini mampu menarik minat remaja bukan sahaja untuk menonton filem tersebut, malah teruja untuk mempelajarinya.  Terdapat banyak unsur pendidikan yang dapat diterapkan melalui penghasilan sesebuah filem. Filem bukan sekadar rakaman cerita di layar perak tetapi lebih daripada sekadar hiburan semata-mata.

            Walau bagaimanapun, para remaja perlu sentiasa berhati-hati semasa memilih filem yang sesuai untuk ditonton. Hal ini dikatakan demikian kerana pemilihan filem yang tidak sesuai mampu mendedahkan remaja kepada nilai yang tidak sepatutnya dilihat oleh remaja, terutamanya filem yang berunsur lucah, ganas yang melampau, serta penerapan fahaman yang ekstrem terhadap sesuatu ideologi.

            Di Malaysia, setiap filem yang diterbitkan diberi klasifikasi tertentu berdasarkan usia penonton. Lembaga Penapisan Filem Malaysia telah menetapkan tiga kategori filem untuk tontonan, iaitu kategori umum (U), penonton berumurdi bawah 13 tahun (P13) yang memerlukan pengawasan dan bimbingan ibu bapa, dan ketiga kategori penonton berumur 18 tahun ke atas. Pengelasan mengikut kategori umur ini merupakan salah satu usaha pemerintah untuk mendidik penonton agar memilih filem yang sesuai dengan usia mereka supaya dapat memberikan pengajaran dan pendidikan yang maksimum berdasarkan kesesuaian umur mereka.

            Filem yang dihasilkan perlulah menepati nilai masyarakat setempat. Filem yang dihasilkan di Malaysia seharusnya mengemukakan isu tentang masyarakat yang dekat dengan penonton di negara ini agar elemen pendidikan yang ingin disampaikan melalui filem tersebut dapat dicerap dengan baiknya oleh penonton, terutamanya golongan remaja. Filem melambangkan dokumen tentang kehidupan, masyarakat, perkembangan ilmu, tamadun bangsa dan negara. Bagi remaja pula, mereka seharusnya sentiasa peka dengan semua perkara yang ditonjolkan melalui filem yang ditonton agar unsur pendidikan yang diterapkan itu dapat diterima dengan sebaik- baiknya. Sebaliknya, mereka perlu menghindari diri daripada menonton karya yang mengandungi unsur negatif serta bertentangan dengan budaya bangsa dan agama. Perlu diingatkan bahawa filem merupakan medium hiburan yang bermanfaat selagi para remaja menerapkan nilai positif yang difilemkan itu.