Tuesday, August 11, 2015

sample karangan A+



BAHAGIAN A (SPM 2011) Bahan Rangsangan - Gambar ilustrasi TUGASAN / ISU : FAEDAH-FAEDAH BELAJAR SECARA BERKUMPULAN
CONTOH 1 : (CEMERLAN G= 27 MARKAH)
            Tamadun Yunani mentakrifkan manusia yang seimbang sebagai insan yang cemerlang dalam aspek rohani dan jasmani. Masyarakat Athens pada masa dahulu telah pun memberikan perhatian dalam aspek pendidikan untuk melahirkan manusia cemerlang yang berupaya memberikan sumbangan kepada masyarakat. Dalam meniti kehidupan marcapada, pendidikan amat penting dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, usaha-usaha seperti belajar secara berkumpulan atau menghadiri kelas tuisyen telah diperkenalkan untuk melahirkan golongan intelektual. Hal ini demikian kerana aktiviti belajar secara berkumpulan mempunyai pelbagai kemaslahatan.

                      Antara manfaatnya adalah untuk mewujudkan suasana belajar yang menyeronokkan. Semasa belajar secara berkumpulan, pelajar dapat berjenaka dan berbincang mengenai subjek yang dipelajari. Hal ini dapat mengelakkan kebosanan yang dialami semasa belajar bersendirian. Tambahan pula, suasana belajar tersebut yang kondusif dapat meringankan tekanan yang dihadapi oleh pelajar semasa mengulang kaji pelajaran. Sebagai contoh, pelajar tidak akan mengalami ketegangan jiwa dan dapat menenangkan minda mereka untuk menimba ilmu pengetahuan semasa belajar secara berkumpulan. Dengan itu, nota yang dibincangkan oleh pelajar semasa belajar secara berkumpulan dapat difahami dengan lebih cepat dan izhar.

                    Selain itu, belajar secara berkumpulan juga memainkan peranan dalam perkongsian ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan membawa kemajuan dalam kehidupan bertepatan dengan ungkapan, ilmu pelita hidup. Melalui belajar secara berkumpulan, pelajar-pelajar dapat bertukar-tukar pendapat dan secara langsung dapat menimba ilmu pengetahuan dan maklumat yang baharu. Dengan berkongsi ilmu, pelajar dapat mempercepat pembelajaran mereka dan tidak menghadapi masalah pembelajaran semasa guru mengajar. Sebagai contohnya, seseorang pelajar boleh memberitahu ahli kumpulannya tentang nota-nota penting dalam subjek Kimia dan mengajar mereka tentangnya. Tegasnya, pelajar yang belajar secara berkumpulan dapat menimba ilmu pengetahuan baharu walaupun guru belum mengejarnya.

Di samping itu, belajar secara berkumpulan dapat memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan ukhuwah pelajar. Dengan belajar secara berkumpulan, pelajar dapat mempelajari nilai saling membantu dan bekerjasama serta menyedari kemaslahatan semangat kerjasama. Oleh itu, mereka akan berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan kemelut dalam pembelajaran mereka. Mereka akan berusaha bersungguh-sungguh bersama-sama dan memberikan bantuan kepada rakannya yang menghadapi masalah dalam pembelajaran. Jelaslah bahawa sikap nafsi atau individualistik bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dapat dielakkan dalam kalangan pelajar.

                Seterusnya, pelajar dapat belajar secara berkumpulan dengan mencari masa terluang dan duduk bersama untuk berbincang dan berkongsi informasi. Dengan itu, pelajar dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah  seperti belajar secara berkumpulan dan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam gejala sosial seperti vandalisme, gengsterisme dan jenayah. Gejala negatif tersebut mampu meruntuhkan akhlak para pelajar dan memusnahkan masa depan pelajar. Deduksinya, aktiviti belajar secara berkumpulan dapat menjamin keperibadian pelajar yang mulia.
                  Secara tuntasnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa belajar secara berkumpulan membawa banyak faedah kepada para pelajar. Dalam erti kata yang lain, para pelajar harus sedar tentang faedah aktiviti tersebut dan melibatkan diri untuk memperkembang potensi diri mereka secara menyeluruh serta merealisasikan Wawasan 2020 dan Gagasan lMalaysia.

BAHAGIAN A (SPM 2011) Bahan Rangsangan - Gambar ilustrasi TUGASAN / ISU : FAEDAH-FAEDAH BELAJAR SECARA BERKUMPULAN

CONTOH 2 : (CEMERLANG = 26 MARKAH)
            Pada musim peperiksaan kita dapat melihat sekumpulan pelajar sekolah akan belajar bersama-sama. Kebiasaannya, situasi ini dapat dilihat di kedai-kedai makan, sekolah, perpustakaan dan taman rekreasi. Kadang kala kita terfikir mengapa mereka memilih untuk belajar secara berkumpulan daripada belajar secara bersendirian? Ada juga sesetengah masyarakat yang kolot akan berfikir bahawa belajar secara berkumpulan hanya sia-sia ibarat menabur garam ke laut. Sebenarnya, terdapat banyak faedah belajar secara berkumpulan.

            Pertama sekali, dengan belajar secara berkumpulan kita dapat menimbulkan suasana belajar yang menyeronokkan. Tahukah anda bahawa otak terbahagi kepada dua bahagian? Untuk menelaah tarbiah anda digalakkan untuk menggunakan kedua-dua belah otak kita. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Cara yang paling mudah adalah dengan belajar berkumpulan kerana apabila ada suasana belajar yang menyeronokkan, kedua-dua belah otak kita akan dirangsang dan mampu menyimpan sesuatu maklumat dengan lebih efektif. Kita juga tidak akan cepat berasa bosan dan seterusnya dapat belajar untuk tempoh yang lebih lama. Oleh sebab yang demikian, saya percaya bahawa kaedah belajar secara berkumpulan mampu melahirkan suasana belajar yang menyeronokkan dan sererusnya meningkatkan pencapaian pelajar dalam akademik.

            Setelah itu, kebaikan belajar secara berkumpulan ialah pelajar dapat berkongsi ilmu. Ilmu boleh diibaratkan sebagai laut yang luas. Betapapun kita mencedok ilmu pasti tidak akan habis seperti yang terungkap dalam sajak ‘Di Perpustakaan’ yang menjadi teks KOMSAS pelajar tingkatan lima. Ekoran daripada itu, kita haruslah sentiasa berkongsi ilmu, memberi dan menerima ilmu supaya penuh ilmu di dada. Para pelajar bolehlah berkongsi cara-cara untuk menyelesaikan sesuatu soalan apabila ada banyak orang, maka banyaklah idea bernas yang boleh dijana. Tegasnya kaedah belajar secara berkumpulan merupakan suatu kaedah yang efektif, pragmatis dan proaktif dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar.

            Cara belajar secara berkumpulan merupakan wahana yang telah telah terbukti keberkesanannya dalam memupuk kerjasama dalam kalangan pelajar. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Hal ini kerana apabila pelajar belajar secara berkumpulan, pelajar terdorong untuk membantu membetulkan kesilapan orang lain dan membetulkan kesilapan sendiri. Dengan ini bermulalah bibit-bibit semangat permuafakatan dan saling menolong yang boleh membawa kepada persahabatan yang erat.

            Kebanyakan ibu bapa tidak jemu-jemu menghantar anak mereka ke kelas tambahan siang dan malam sehingga pelajar tersebut tiada keinginan lagi untuk menimba ilmu. Golongan ibu bapa harus sedar setiap anak mempunyai cara belajar yang berbeza, bak kata peribahasa rambut sama hitam hati lain-lain. Oleh itu, belajar secara berkumpulan merupakan alternatif kepada pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka. Negara-negara atas angin juga banyak menggalakkan pelajar mereka untuk belajar secara berkumpulan. Jika kita menciplak pelbagai rancangan televisyen realiti yang berunsurkan hiburan dari negara mereka, tidak salahnya jika kita menciplak idea yang bernas itu.

            Akhir kalam, semua pihak harus bersatu padu menggembleng tenaga supaya pelajar negara kita sedar akan faedah-faedah belajar secara berkumpulan dan mula mengimplimentasikannya. Hal ini merupakan cara yang paling afdal dalam melahirkan modal insan yang berkualiti untuk menerajui pucuk pimpinan negara kelak. Hal ini akan selaras dengan cabaran keenam Wawasan 2020 dalam usaha kerajaan membina masyarakat yang maju dan saintifik.

BAHAGIAN A (SPM 2011) Bahan Rangsangan - Gambar ilustrasi TUGASAN / ISU : FAEDAH-FAEDAH BELAJAR SECARA BERKUMPULAN
CONTOH 3 : (CEMERLAN G= 28 MARKAH)

            Dasawarsa ini, lantaran terlalu dihidangkan dengan pelbagai pembangunan bertaraf dunia,kita sering lupa dan alpa kepada tanggungjawab kita. Semakin hari kita melihat budaya belajar secara berkumpulan semakin berkurangan dalam kalangan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah mahupun pelajar universiti. Padahal umum mengetahui banyak faedah yang boleh diambil dan memberikan manfaat kepada setiap pelajar. Mereka tidak mengerti dan memandang enteng kepada cara belajar berkumpulan ini.

            Antara faedah belajar secara berkumpulan ini adalah menyediakan suasana belajar yang kondusif dan menyeronokkan. Pada pelajar tidak akan merasa kesunyian apabila belajar dalam kumpulan. Pelajar akan lebih mudah untuk belajar kerana pelajar tidak akan mengantuk berbanding belajar secara berseorangan. Tambahan pula, suasana ini akan menjadikan ilmu mudah untuk masuk ke dalam otak dan senang diingati. Kebiasaannya, pelajar akan melakukan aktiviti ini selepas waktu pembelajaran pada waktu petang. Pembelajaran yang optimum akan terhasil sekiranya kumpulan itu tidak melebihi empat orang. Kaedah yang biasa dipraktikkan adalah melalui musyawarah atau perbincangan tentang sesuatu mata pelajaran. Oleh sebab itu, kaedah belajar secara berkumpulan ini penting dalam menuntut ilmu.

            Di samping itu, faedah yang dapat dilihat melalui kaedah belajar secara berkumpulan adalah para pelajar dapat berkongsi ilmu dengan pelajar lain. Ilmu itu umpama titisan air yang berada di lautan dan tidak akan habis walaupun diambil terlalu banyak. Secara amnya, belajar secara berkumpulan ini memerlukan perbincangan dan diskusi tentang sesuatu mata pelajaran. Seorang pelajar akan membentangkannya atau menghuraikan topik tersebut. Sekiranya, ada kesilapan ataupun kekurangan maklumat, pelajar lain boleh menambah dan menjelaskan semula hal tersebut. Secara tidak langsung, perkara yang dibincang akan menambahkan ilmu para pelajar. Selain itu, pelajar yang kurang faham akan bab tersebut boleh bertanya kepada rakan sekumpulan dengannya tanpa perlu menyusahkan diri untuk mencarinya dalam buku rujukan. Hal ini akan memudahkan lagi proses pembelajaran yang berlaku.Semua orang tahu bahawa bukan semua ilmu itu dapat diketahui oleh seseorang yang pandai. Malahan, orang yang pandai juga kadangkala memerlukan pertolongan. Kesimpulannya, jelaslah bahawa kaedah yang dipraktikkan ini memberikan faedah kepada pelajar.

Selain itu, belajar secara berkumpulan ini boleh memupuk semangat kerjasama antara satu kumpulannya. Ibarat aur dengan tebing, kerjasama akan terhasil apabila adanya pertolongan dan saling membantu antara kumpulan tersebut. Masyarakat yang berada di Malaysia bukannya seperti masyarakat yang berada di negara lain. Masyarakat yang berbilang kaum sudah tentu menampakkan pelbagai ragam kerana banyak udang, banyak garam ; banyak orang, banyak ragam. Semangat kerjasama yang dipupuk dalam aktiviti seperti ini boleh mengelakkan persengketaan antara rakan. Kebanyakan pelajar yang berada di sekolah terdiri daripada pelbagai bangsa. Sebagai contoh, terdapat pelbagai kaum yang bersekolah di sekolah menengah kebangsaan. Mereka akan membentuk kumpulan yang terdiri daripada kaum Cina, Melayu dan India serta bumiputra yang lain. Hal ini akan menjadikan mereka lebih intim sebagai rakyat Malaysia. Mereka berbincang bersama-sama dan tolong-menolong antara satu sama lain untuk menempa kejayaan pada masa akan datang. Oleh sebab itu, kaedah belajar berkumpulan perlu dipraktikkan dalam kehidupan seseorang pelajar agar seiring dengan matlamat Wawasan 2020.

Tuntasnya, pelbagai langkah yang drastik dan sistematik perlu diambil oleh semua pihak untuk memastikan amalan ini berkembang kerana anak-anak warisan negara ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara. Jangan biarkan amalan ini ditelan arus permodenan supaya aktiviti ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

BAHAGIAN B (SPM 2011)
TUGASAN / ISU : USAHA-USAHA UNTUK MEREALISASIKAN CITA-CITA CONTOH 1 : (CEMERLANG = 88 MARKAH)

Setiap individu perlu mempunyai wawasan untuk mencapai cita- citanya. Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk merealisasikan cita-cita anda.

            Pada zaman globalisasi yang semakin moden dan canggih ini, pasti semua orang mempunyai cita-cita yang tersendiri. Ada dalam kalangan kita yang ingin menceburi bidang sains untuk menjadi seorang saintis yang pakar dalam teknologi ataupun seorang yang mencipta barangan yang lebih inovatif, efisien dan juga moden, atau pekerjaan lain yang berkaitan dengan bidang tersebut. Ada dalam kalangan pelajar dewasa ini yang ingin menceburi bidang baru seperti kejuruteraan biokimia, kejuruteraan biomarin, kejuruteraan genetik dan lain-lain. Pada pendapat saya, semua penghuni di dunia ini mempunyai cita-cita yang ingin dicapai oleh mereka. Persoalannya, adakah mereka sanggup berusaha untuk mencapai cita-cita mereka? Semua orang harus berusaha untuk mencapai cita-cita walaupun menghadapi beribu-ribu halangan kerana pepatah Melayu pernah berkata bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sebagai seorang anak tunggal kepada sebuah keluarga yang hidup dalam kesusahan, saya berazam untuk mencapai cita-cita saya tanpa pernah mengalah. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera automobil dan selepas beberapa tahun saya ingin menyambung pelajaran untuk menjadi pereka automobil pula. Oleh itu, saya mengambil beberapa langkah untuk mencapai impian tersebut.

            Antara prakarsa yang telah saya laksanakan adalah dengan membuat persediaan awal. Saya sudah pun mula mempelajari kemahiran-kemahiran tertentu seperti melukis gambar rajah dua dimensi dan tiga dimensi. Hal ini demikian kerana dengan menguasai kemahiran tersebut saya mempunyai ‘bonus’ apabila saya memohon untuk memasuki universiti dalam jurusan reka cipta automobil. Tamsilnya, dengan kemahiran ini, saya akan dapat bersaing dengan semua pelajar yang memohon ke universiti yang sama terutama universiti ternama di luar negara seperti di Universiti Oxford atau Universiti Cambridge. Hal ini juga akan memberikan saya satu kelebihan kerana masa yang akan saya perlukan untuk menyempurnakan kemahiran tersebut akan lebih singkat berbanding dengan pelajar yang lain. Saya juga telah mula mempelajari bahasa Jerman, bahasa Jepun dan bahasa Perancis kerana ketiga-tiga bahasa tersebut merupakan bahasa pertuturan negara tempat syarikat kereta yang terkenal bertapak. Penguasaan bahasa-bahasa ini melayakkan saya untuk menjadi seorang pereka cipta kereta berbanding para graduan yang tidak mengetahui bahasa tersebut. Jelaslah bahawa, persediaan awal dapat memberikan kelebihan apabila saya memohon untuk menyambung pelajaran ke menara gading dan seterusnya mendapatkan pekerjaan sebagai pereka cipta kereta di syarikat-syarikat pengeluar kereta yang terkenal.

Selain itu, saya juga akan belajar dengan bersungguh- sungguh. Hal ini demikian kerana dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, saya akan dapat meneruskan pelajaran ke universiti yang terbaik di luar negara. Semasa di menara gading tersebut, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar yang cemerlang di universiti itu. Tamsilnya, saya akan menyediakan jadual waktu khas untuk menentukan masa revisi, rekreasi dan juga membolehkan saya mempunyai waktu senggang untuk saya meneroka ilmu pengetahuan yang lain. Hal ini demikian kerana dengan pengurusan masa yang cekap, saya akan dapat menjalani hidup tanpa berasa stres dan lebih tenang. Saya juga akan dapat menikmati keseronokan usia remaja saya. Di samping itu, saya juga akan mencari kawan yang baik untuk melaksanakan pembelajaran secara berkumpulan. Hal ini demikian kerana melalui cara ini, saya akan menjimatkan masa untuk mempelajari topik yang sukar kerana tajuk-tajuk yang sukar tersebut telah diagihkan antara rakan-rakan dalam kumpulan dan jika saya tidak memahami sesuatu konsep, kawan-kawan akan menolong saya untuk memahami konsep tersebut kerana bapa saya pernah berkata, “Jikalau anda mengajar seseorang, ilmu, anda juga akan lebih dikuasai kerana anda lebih memahami ilmu yang ditelaah itu”. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, pembelajaran yang bersungguh-sungguh dan secara berkumpulan, menjadikan saya semakin menghampiri impian saya untuk merealisasikan cita-cita saya sebagai seorang jurutera automobil dan seterusnya menjadi seorang pereka cipta kereta.

Seterusnya, saya akan menerokai bidang lain yang berkaitan dengan cita-cita saya walaupun tidak termasuk dalam skop pembelajaran di menara gading tersebut. Hal ini demikian kerana maklumat tersebut sudah pasti berfaedah kepada saya pada suatu hari nanti. Tamsilnya, saya akan pergi melihat pameran kereta apabila pameran tersebut diadakan. Saya berkesempatan untuk melihat pameran kereta yang sering kali diadakan di Kuala Lumpur. Selain itu, saya juga sudah membeli pelbagai majalah yang berkaitan dengan kereta pada setiap bulan. Hal ini kerana, saya tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung yang hanya mengetahui ilmu akademik semata-mata. Saya harus mengetahui bidang pendawaian elektrik dalam pembuatan kereta . Hal ini akan memberikan saya kelebihan apabila menjalani temu duga untuk menyertai syarikat automobil yang terkenal. Jelaslah bahawa, dengan prakarsa menelaah ilmu yang banyak dan sentiasa membaca berita terkini akan menjadikan saya seorang jutera yang terbaik di dunia ini pada hari muka.

Akhirnya, saya akan mengambil langkah-langkah untuk membetulkan diri saya dengan menelaah ilmu pendidikan moral dan agama serta mendengar nasihat daripada ibu bapa kerana hal inilah yang akan menjadi panduan kepada saya supaya tidak melakukan perkara yang tidak baik seperti merompak, mencuri, membunuh dan terlibat gejala negatif yang lain. Saya juga akan memotivasikan diri pada setiap hari apabila saya hendak tidur dan bangun dari tidur. Saya juga akan mengkaji perancangan hidup saya. Saya akan mengkaji sejauh manakah tindakan yang telah saya lakukan agar menepati perancangan yang telah dibuat. Jelaslah bahawa dengan melaksanakan prakarsa ini, iaitu menelaah ilmu agama dapat mencapai matlamat hidup saya untuk menjadi seorang jurutera automobil dan seterusnya seorang pereka cipta kereta dunia pada masa hadapan. Di samping itu, berkat restu daripada ibu bapa serta memotivasikan diri pada setiap hari, pasti saya akan dapat mencapai cita-cita saya.

Akhirul kalam, dengan melaksanakan usaha-usaha tersebut, saya yakin impian untuk menjadi seorang jurutera automobil yang efisien dan seterusnya pereka kereta yang unggul untuk syarikat- syarikat automobil yang terkenal seperti Aston Martin, Ferrari dan Bavarian Motor Works atau BMW akan tercapai. Selepas memanisfestasikan cita-cita, saya merancang untuk pulang ke tanah air untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Pereka Cipta di Proton. Hal ini demikian kerana saya ingin menjadikan Proton jenama kereta nasional Malaysia sebagai jenama kereta yang amat unggul yang diminati ramai seperti Mercedes Benz, Honda dan Toyota. Akhir sekali dengan segala usaha yang saya lakukan, sudah pastilah saya dapat merealisasikan cita-cita yang saya impikan.

BAHAGIAN B (SPM 2011)
TUGASAN / ISU : PERANAN KELUARGA BAGI MENANGANI PERLAKUAN NEGATIF REMAJA
CONTOH 2 : (CEMERLANG = 84 MARKAH)
Perlakuan negatif seperti pergaulan bebas, merokok dan melepak dalam kalangan remaja semakin membimbangkan semua pihak.
Huraikan peranan keluarga bagi menangani masalah ini.

Perlakuan negatif boleh ditafsirkan sebagai sesuatu perbuatan yang melanggar undang-undang atau syarak serta perbuatan yang mendatangkan kesan buruk kepada pelakunya. Secara literal, perlakuan negatif membawa maksud perbuatan tidak elok.Perbuatan negatif seperti pergaulan bebas, merokok dan melepak dalam kalangan remaja semakin hari semakin hangat diperkatakan di dada-dada akhbar dan dilaporkan di dalam media massa seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Masalah sosial dan jenayah yang melibatkan kes juvana semakin meningkat dalam era yang serba moden ini. Remaja merupakan aset negara yang harus dipelihara agar dapat menyumbangkan kepada kemajuan negara pada masa akan datang. Namun keruntuhan akhlak remaja pada masa ini sudah menjadi semakin kritikal dan membimbangkan semua pihak. 

Bagi mengatasi masalah ini banyak pihak seharusnya memainkan peranan mereka khususnya keluarga Keluarga merupakan orang yang paling rapat dan akrab dengan seseorang. Anggota keluarga khususnya ibu dan bapa bertanggungjawab dalam memberikan didikan kepada anak-anak. Remaja kini menghadapi pelbagai cabaran dalam menempuh kehidupan akan datang. Jika mereka tersilap langkah dalam menilai atau menentukan sesuatu perkara maka hancur berkecailah masa depan mereka. Ibu bapa dan ahli keluarga perlu memberi bimbingan dan didikan kepada seseorang remaja untuk mempersiapkan diri dalam menempuh cabaran kehidupan. Ibu bapa perlu menasihati anak-anak mereka untuk melakukan kebaikan dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara negatif. Didikan dari segi intelek dan ilmu pengetahuan semata-mata adalah tidak cukup kerana didikan dari segi perbuatan dan tingkah laku juga perlu diutamakan. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak untuk melakukan perkara yang baik seperti menasihati mereka untuk melakukan kerja amal, membantu orang lain serta melarang mereka daripada melakukan perkara sia- sia. Jika ahli keluarga bijak dalam mendidik anak-anak mereka, nescaya anak-anak mereka akan menjadi individu yang baik dan berketerampilan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Sikap mengambil berat adalah sangat penting dalam sesebuah keluarga. Ahli keluarga khususnya ibu dan bapa perlu mengambil berat dan memamntau setiap perkara yang dilakukan oleh anak-anak. Perasaan bimbang dan khuatir adalah wajar untuk dirasakan oleh ahli keluarga terhadap anak yang sedang meningkat remaja kerana marcapada pelbagai perkara negatif boleh berlaku. Ibu dan bapa perlu tahu akan setiap perkara yang dilakukan oelh anak mereka. Hal ini tidak boleh dipandang enteng oleh anggota keluarga. Anggota keluarga tidak boleh lalai dalam memantau anak-anak mereka dan seharusnya anggota keluarga perlu menjadi kawan kepada anak dan bukan lawan mereka. Sebagai contoh, ibu dan bapa perlu memastikan bahawa anak-anak mereka tidak melakukan perkara negatif seperti merokok, merempit, melepak dan sebagainya. Anggota keluarga perlu mengenali rakan-rakan anak mereka dan memastikan bahawa anak mereka berkawan dengan golongan rakan sebaya yang baik. Akhbar pernah melaporkan sekumpulan remaja lelaki yang dicekup sedang menagih dadah di sebuah rumah kosong berdekatan sekolah mereka. Lebih menyedihkan, mereka yang lengkap berpakaian sekolah ketika serbuan mengaku bahawa ibu bapa mereka tidak pernah tahu akan perbuatan mereka itu. Hal ini menunjukkan bahawa peranan keluarga dalam memantau perbuatan anak-anak mereka sangat penting.

Kasih sayang serta perhatian merupakan suatu perkara yang dapat melembutkan hati remaja untuk melakukan perbuatan yang baik serta menghindari perbuatan negatif Anggota keluarga perlulah member kasih sayang serta tidak mengabaikan anak-anak mereka. Ibu bapa tidak boleh bersikap pilih kasih atau melebih- lebihkan anak yang lain. Hal ini akan mendorong hati remaja yang rapuh mencari perhatian di tempat lain dengan mengamalkan pergaulan bebas. Anggota keluarga perlulah menjadikan abak-anak mereka berasa diri mereka dikasihi sehingga tidak sampai hati melukakan hati ahli keluarga mereka dengan melakukan perbuatan negatif. Perhatian yang diberikan oleh ahli keluarga akan mematahkan niat anak-anak untuk mencari keseronokan di luar. Tamsilnya, ahli keluarga boleh melakukan aktiviti bersama-sama di samping dapat meluangkan masa untuk anggota keluarga yang lain. Aktiviti seperti bercuti, berkelah dan berkebun boleh dilakukan dengan kekerapan yang konsisten dan bukan setahun sekali. Didikan agama juga merupakan salah satu aspek penting yang harus diajarkan kepada anak-anak supaya mereka menjadi individu yang lebih baik. Setiap agama mengajarkan penganutnya supaya melakukan kebaikan. Jika utuh agama seseorang itu, nescaya utuh juga hatinya dan perbuatan negatif dapat dihindari.Solat merupakan tiang agama dan agama merupakan pegangan hidup. Ibu bapa perlu menitikberatkan soal agama dan member didikan agama yang cukup kepada anak-anak mereka. Mereka perlu dididik sejak kecil supaya pegangan agama dan prinsip mereka akan berkekalan sampai bila-bila seperti kata pepatah , melentur buluh biarlah dari rebungnya. Berbekalkan agama yang kukuh, remaja akan tetap terus memegang prinsipnya dan tidak sesekali terpengaruh dengan budaya negatif pada masa ini.

Anggota keluarga juga perlu menunjukkan contoh serta teladan yang baik kepada anak-anak. Kita sering mendengar peribahasa mengatakan, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Peribahasa ini jelas menggambarkan bahawa perlakuan anak- anak dipengaruhi oleh ibu bapa serta anggota keluarga yang lain. Anggota keluarga perlulah bersikap positif dan tidak menunjukkan sikap negatif terutamanya di hadapan anak-anak. Sebagai contoh, apabila seorang bapa merokok di hadapan anaknya, hal ini demikian dapat meningkatkan keinginan anak untuk mencuba dan meniru apa-apa yang dilakukan oleh bapanya. Pada awalnya, mungkin perbuatan itu sekadar ingin dicuba dan semakin hari perbuatan itu sudah menjadi kebiasaan dan akhirnya anak-anak menjerumuskan diri dalam penagihan dadah.

Peranan ahli keluarga yang seterusnya dalam menangani isu ini adalah dengan memberikan sokongan moral kepada anggota keluarga yang lain. Sokongan harus diberikan kepada apa-apa jua bidang atau perkara baik yang ingin dilakukan oleh remaja. Hal ini demikian dapat meningkatkan jati diri serta nilai murni yang terdapat dalam diri seseorang remaja. Sebagai anggota keluarga, kita mestilah memberikan sokongan yang penuh kepada ahli keluarga kita yang lain supaya mereka tahu bahawa mereka sepatutnya melakukan kebaikan, bukan kejahatan.

Sebagai pengitlakan, banyak pihak berperanan dalam menangani masalah gejala negatif remaja pada masa ini. Namun demikian, peranan dan tanggungjawab keluarga merupakan perkara yang paling penting dan harus diutamakan bagi mengatasi kekangan ini. Institusi keluarga yang kukuh akan mempengaruhi pemikiran serta perlakuan anak-anak khususnya anak yang sedang meningkat remaja. Anggota keluarga perlu mengambil berat dan memainkan peranan serta tanggungjawab agar negara dapat menghasilkan generasi yang berkualiti dan bebas daripada perbuatan negatif.


BAHAGIAN B (SPM 2011)
TUGASAN / ISU : PERPADUAN RAKYAT ASAS KEMAJUAN DAN KEMAKMURAN NEGARA
CONTOH 3 : (CEMERLANG = 86 MARKAH)
Anda telah menyertai pertandingan syarahan di sekolah anda. Tajuk syarahan anda ialah ‘Perpaduan Rakyat Asas Kemajuan dan Kemakmuran Negara’.Tulis teks syarahan anda itu selengkapnya.

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Yang Berusaha Tuan Pengetua, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Berdirinya saya di sini, pada pagi yang mulia ini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk "Perpaduan Rakyat Asas Kemajuan dan Kemakmuran Negara."

 Para hadirin yang dihormati sekalian,
Sebelum melangkah lebih jauh, terlebih dahulu izinkan saya mendefinisikan beberapa kata kunci yang terdapat dalam tajuk syarahan saya pada pagi ini. Maklumat yang diperoleh daripada Kamus Dewan mendefinisikan 'perpaduan rakyat' sebagai penggabungan entiti masyarakat di sesebuah negara . "Asas” pula didefinisikan sebagai teras atau syarat utama , "Kemajuan" diertikan sebagai perihal maju, manakala kemakmuran merujuk kepada keadaan mewah dan sejahtera. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa penggabungan entiti masyarakat menjadi prasyarat utama kemajuan dan kemakmuran di sesebuah negara.

Hadirin sekalian,
Lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang. Zaman ini ialah zaman globalisasi yang berpaksikan sains dan teknologi. Rakyat Malaysia yang kini bernaung di bawah langit Malaysia yang berdaulat sentiasa berusaha untuk memajukan Malaysia supaya duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju di seluruh pelosok dunia. Namun begitu, isu-isu rakyat yang mempersendakan undang-undang dan mencabar kedaulatan negara sering menghiasi dada akhbar dan menggemparkan rakyat. Rakyat berasa jengkel apabila terdengar isu-isu tersebut. Lantaran itu, ura-ura dan polemik tentang peranan rakyat Malaysia dalam menjamin kesejahteraan negara semakin hangat diperkatakan dari parlimen sampailah ke kedai kopi. Persoalannya, apakah peranan rakyat Malaysia tersebut?

Hadirin yang saya hormati,
Slogan ‘bersekutu bertambah mutu’, sering bermain-main di bibir rakyat. Oleh itu, rakyat haruslah menterjemahkan atau memanifestasikan slogan kosong ke tindakan konkrit. Rakyat pascamerdeka mestilah bersatu padu dan memiliki semangat sandar- menyandar seperti aur dengan tebing. Menerusi semangat perpaduan rakyat pada zaman penjajahan Inggeris, akhirnya negara kita mencapai kemerdekaan dan sebuah Malaysia yang berdaulat dapat dibangunkan. Mutakhir ini, rakyat dibelenggu oleh kehidupan yang pincang dan jarang dapat bersua dengan masyarakat sekeliling. Ibu bapa yang bersikap materialistik dan bertuhankan kebendaan pula sibuk bekerja dan tidak bertegur sapa dengan jiran walaupun mereka hanya tinggal bersebelahan. Perkara yang menyulitkan perpaduan rakyat lagi ialah sikap hambar segelintir rakyat. Sikap mereka yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing mestilah dihindari demi kesejahteraan negara. Lantaran itu, dapatlah dirumuskan bahawa perpaduan dalam kalangan rakyat akan menjamin kesejahteraan negara.

Hadirin-hadirat sekalian,
Laungan ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!’ pada hari kemerdekaan sering dapat didengar sama ada dalam media elektronik ataupun daripada rakyat Malaysia sendiri. Laungan yang amat bermakna tersebut berkumandang di sanubari setiap rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Mengapakah laungan ini dihayati oleh semua rakyat? Hal ini demikian kerana rakyat harus bersyukur dengan apa-apa yang dimiliki terutamanya kemerdekaan negara yang telah dikurniai Tuhan. Setiap rakyat tanpa mengira usia dan jantina haruslah menghargai jasa tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan dahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Dato’ Onn Jaafar. Tanpa mereka, rakyat marcapada mingkin masih hidup dalam kemelaratan dan kejahilan dibuai kebobrokan negara. Selaras dengan itu, setiap rakyat harus meneladani semangat tokoh-tokoh tersebut agar dapat berjasa kepada negara kerana peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa hidup kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa. Tegasnya, kesyukuran yang bersarang di sanubari rakyat akan menjamin kesejahteraan negara.

Hadirin yang saya hormati,
Rakyat berperanan untuk mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara. Semangat rakyat yang ampuh lagi bersepadu ini merupakan rencah maslahat untuk menjamin kesejahteraan negara. Sekiranya rakyat memiliki semangat taat setia, mereka akan berusaha untuk membangunkan negara ini melalui kerjasama yang jitu dan keiltizaman yang kental. Mereka berganding bahu untuk mengeluarkan Malaysia daripada kepompong kemunduran ke arah negara maju agar dapat bersaing dengan negara- negara gergasi lain di seantero dunia. Rakyat yang taat setia akan mengelakkan diri mereka daripada terjerat dengan anasir-anasir subversif yang boleh memporak-perandakan negara tercinta ini. Deduksinya, rakyat sebagai anak watan Malaysia hendaklah membentengi sikap bagai kacang lupakan kulit yang boleh memudaratkan diri dan negara.

Sidang hadirin yang saya kasihi,
Jika kita renung sejenak, zaman ini merupakan zaman globalisasi yang ditunjangi K-Ekonomi. Banyak bangunan pencakar langit yang tersergam indah dan kemudahan infrastruktur moden kini dapat dinikmati di Malaysia. Segala kurnian Tuhan di nusa ini tidak akan terhasil tanpa usaha rakyat itu sendiri. Rentetan itu, rakyat berperanan penting untuk memajukan diri dan memperlengkap diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Strategi pragmatik yang boleh mencambahkan masyarakat celik huruf ialah sistem pendidikan yang menepati kehendak arus globalisi. Setiap rakyat harus mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat sehingga ke liang lahad. Kempen kesedaran tentang kepentingan pembelajaran sepanjang hayat harus diperbanyak dan tidak bermusim sekadar hangat-hangat tahi ayam. Rombakan dalam sistem pendidikan juga boleh dilaksanakan untuk menjana modal insan yang holistik dan seterusnya menjamin kesejahteraan negara. Sejajar dengan itu, rakyat harus belajar bersungguh-sungguh dan melaksanakan anjakan paradigma dalam gaya hidup mereka agar dapat menongkah arus globalisi dan seterusnya menempa kejayaan dalam pembangunan negara.

Hadirin sekalian,
Berdasarkan hujah-hujah yang telah saya sampaikan tadi, maka tidak dapat dinafikan bahawa setiap rakyat watan Malaysia berperanan penting dalam menjamin kesejahteraan negara. Oleh itu, pelbagai langkah drastik, proaktif dan dan konstruktif harus dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut. Rakyat Malaysia merupakan aset negara dan bakal menerajui tampuk kepimpinan negara di persada dunia. Semua rakyat hendaklah menggembleng tenaga walaupun terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak dan duri ini. Peganglah kata-kata keramat yang berbunyi “ kita mesti sampai ke pantai jaya apabila berperahukan kemahuan besi dan waja dalam mengharunginya”. Semoga berkat keiltizaman kental daripada rakyat Malaysia, sebuah negara yang sejahtera dan bebas daripada kepincangan dapat diwujudkan.
Saya sudahi syarahan saya dengan lafaz yang mulia wabilahittaufik Walhidayah Wassalamualikum Warahmatullahi wabarakatuh.


BAHAGIAN B (SPM 2011) 
TUGASAN / ISU : MANFAAT ICT KEPADA MASYARAKAT DUNIA
CONTOH 4 : (CEMERLANG = 88 MARKAH)      

Kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) membolehkan masyarakat dunia kini berkomunikasi dan memperoleh pelbagai maklumat dengan mudah, cepat dan murah. Bincangkan.
Dalam usaha Negara kita merealisasikan Wawasan 2020, sama ada kita sedar atau tidak, kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di negara kita tidak dapat dinafikan lagi. Hal ini demikian kerana, negara kita telah memiliki teknologi yang bertaraf dunia dan digunakan dalam pelbagai bidang seperti bidang pendidikan, penyiaran, pengurusan dan dalam urusan kewangan. Penggunaan teknologi seperti komputer elektronik, papan interaktif dan persembahan multimedia dalam bidang pendidikan sudah lama dipraktikkan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi. Fenomena penggunaan teknologi dalam pelbagai bidang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Pelbagai faedah dapat diperoleh daripada kemajuan teknologi seperti ini.

Dasawarsa ini, penggunaan teknologi maklumat telah menjimatkan masa pengurusan sesuatu perkara. Urusan-urusan penyimpanan dan pengeluaran wang dapat dilakukan di seluruh dunia dengan hanya menggunakan mesin pengeluaran wang automatik. Mereka tidak perlu lagi berurusan di kaunter-kaunter bank dengan menunggu giliran sebelum dapat berurusan dengan pihak bank yang biasanya mengambil masa yang lama. Tamsilnya, urusan pembayaran pinjaman perumahan dan insurans kereta dapat dilakukan dengan lebih pantas dan mudah. Keadaan ini membolehkan masyarakat pada masa ini melakukan tugas-tugas lain dengan segera. Kesibukan para pekerja tidak menghalang mereka untuk berurusan dengan pihak bank. Tuntasnya, penggunaan teknologi dalam masyarakat dunia dapat mengatasi kekangan masa yang dihadapi oleh mereka.

Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) juga dapat mengurangkan kos pentadbiran. Maklumat-maklumat dapat diakses dengan mudah dan murah apabila diperlukan oleh masyarakat. Amsalnya, majikan sesuatu syarikat tidak perlu lagi mengarahkan pembantu peribadinya menghantar dokumen- dokumen menggunakan perkhidmatan pos sebaliknya hanya menggunakan mel elektronik atau e-mel. Teknologi ini bukan sahaja murah dan menjimatkan kos malahan dijamin sampai kepada penerima dengan selamat. Hal ini memberikan kebaikan kepada kedudukan kewangan sesuatu syarikat dan berupaya memajukan syarikat tersebut apabila kos pengeluaran dapat disalurkan ke bahagian yang lebih penting. Jadi kemajuan teknologi berupaya menjimatkan kos pentadbiran sesuatu bidang.

Seterusnya, kemajuan ICT juga membolehkan masyarakat madani pada zaman globalisasi ini berkomunikasi dengan seseorang di negara lain dengan mudah dan tidak perlu bersua muka. Mereka dapat menghubungi orang tersayang seperti keluarga, isteri dan rakan-rakan dengan mudah dan tanpa sempadan. Kemajuan teknologi seperti telefon pintar, komputer riba dan kamera web membolehkan masyarakat seantero dunia membuat panggilan audio dan lebih canggih lagi ialah panggilan video. Mereka dapat berkomunikasi secara bersemuka antara satu sama lain dengan menggunakan kecanggihan teknologi yang terdapat pada zaman ini iaitu zaman era langit terbuka ini. Antara golongan yang menggunakan teknologi ini ialah para pelajar yang berada di perantauan dan menggunakan nya untuk berkomunikasi dengan insan yang berada di tanah air. Sesungguhnya, kemajuan ICT telah mewujudkan fenomena dunia tanpa sempadan dalam sistem komunikasi.

Di samping itu, produktiviti sesuatu barangan juga dapat ditingkatkan dengan kemajuan ICT. Penggunaan teknologi juga berupaya meningkatkan kualiti sesuatu barangan yang dihasilkan apabila sistem yang digunakan dalam menyiapkan sesuatu barangan dapat mengawal kualiti dan kuantitinya. Sebagai contohnya, pada zaman dahulu kerja-kerja pemasangan kereta dilakukan secara manual dan menggunakan tenaga manusia tetapi dengan kemajuan ICT, pemasangan kereta dilakukan oleh robot. Hal ini akan mengurangkan tenaga kerja dan meningkatkan kualiti sesuatu produk yang bakal dipasarkan kepada orang ramai. Tuntasnya, kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah meningkatkan produktiviti sesuatu produk dan akan membawa durian runtuh kepada individu yang memasarkannya.

Kemajuan teknologi maklumat juga dapat mewujudkan suasana kerja tanpa kertas. Bahan-bahan rujukan dapat diakses dengan mudah dan lebih berkesan. Tamsilnya, kita tidak perlu lagi membeli akhbar, majalah, buku-buku rujukan yang tebal di kedai tetapi hanya mengaksesnya di internet. Teknologi yang disediakan seperti akhbar dalam talian dapat dilanggan daripada syarikat penerbitan. Hal ini bukan sahaja berupaya mengurangkan permintaan terhadap kertas bagi tujuan mencetak akhbar-akhbar tersebut, malahan aktiviti penebangan pokok-pokok yang bernilai tinggi dapat dikurangkan. Pencemaran juga dapat dielakkan natijah daripada wujudnya suasana tanpa kertas. Jadi, kita akan hidup dalam keadaan yang selesa apabila bebas daripada pencemaran yang wujud akibat kertas yang tidak diurus dengan baik.

Berdasarkan percambahan minda yang telah dibincangkan tentang faedah-faedah kemajauan ICT, dapatlah disimpulkan bahawa masyarakat di seluruh dunia kini boleh berkomunikasi dan memperoleh pelbagai maklumat dengan cepat, murah dan mudah. Kemajuan ICT pada masa ini haruslah dikekalkan dan ditambah baik agar negara kita dapat bergerak seiring dengan negara-negara maju dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020 yang telah diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad iaitu mantan Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu, masyarakat haruslah berusaha untuk keluar dari kepompong penjajahan minda dan bersikap terbuka untuk menggunakan teknologi yang kian pesat ini.

BAHAGIAN B (SPM 2011)
TUGASAN / ISU : CIRI - CIRI SAHABAT YANG BAIK CONTOH 5 : (CEMERLANG = 85 MARKAH)
Cari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.
Cari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiakawan.
Petikan gurindam di atas menjelaskan kepentingan memilih sahabat. Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri sahabat yang baik.

Orang bijak pandai ada mengatakan bahawa kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar dicari. Secara amnya, sahabat merupakan insan yang paling rapat dengan kita terutamanya dalam aspek emosi. Merekalah yang menjadi tempat kita meluahkan perasaan khasnya apabila kita berhadapan dengan cabaran alam keremajaan. Sebagai remaja, kita lebih rapat dengan sahabat-sahabat jika dibandingkan dengan ibu bapa. Sekiranya kita bergaul dengan rakan yang baik, maka bertuahlah kita tetapi betapa malangnya nasib kita jika kita berkawan dengan mereka yang berperilaku negatif. Oleh itu, kita haruslah berfikir secara rasional dan bergaul dengan sahabat-sahabat yang baik. Sebenarnya, terdapat beberapa ciri sahabat yang baik yang boleh dijadikan panduan semasa memilih rakan.

Pertama sekali, seorang rakan mestilah mempunyai pegangan agama yang kukuh. Agama merupakan pelita hidup kita dan ajaran agama mestilah dijadikan sebagai pedoman hidup. Setiap agama menyeru umatnya untuk berbuat baik dan meninggalkan amalan yang negatif. Seseorang yang berpegang dengan pegangan agama yang kukuh akan mempunyai sifat peribadi yang unggul dan akhlak yang baik. Mereka juga mempunyai jati diri yang utuh dan tidak mudah digoda oleh syaitan untuk melakukan perkara mungkar. Biarpun kita telah berdosa dan melakukan perkara yang sukar untuk dimaafkan, mereka akan mendorong kita untuk bertaubat dan mengakui kesilapan kita. Sememangnya, rakan atau sahabat yang warak sukar dicari dalam dunia yang fana ini tetapi tidak bermakna mereka tidak wujud. Oleh hal yang demikian, insan yang menjalani kehidupannya seiring dengan seruan agama merupakan ciri sahabat yang baik.

Seterusnya, kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum juga merupakan ciri yang penting. Hal ini adalah kerana terdapat kajian saintifik yang menyatakan bahawa tahap Intelligent Quotient (IQ) kita akan meningkat jikalau kita bergaul dengan golongan cerdik yang gigih menuntut ilmu dalam pelbagai aspek kehidupan. Kecemerlangan mereka bukan sahaja mendorong kita untuk mencapai kemajuan yang serupa, malah, akan wujud persaingan yang sihat antara kita dengan sahabat kita. Perkongsian ilmu juga akan berlaku. Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik mestilah diiringi dengan penglibatan aktif dalam bidang kokurikulum kerana tiada gunanya jika kita hanya bijak dalam akademik tetapi tidak menguasai kemahiran-kemahiran yang lain. Intihanya, seorang sahabat yang baik seharusnya seorang yang menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira, di samping bergiat aktif dalam bidang pembelajaran di luar kelas.

Waktu kita dilanda masalah dan ditimpa musibah merupakan masa yang sebenar untuk menguji keperibadian rakan-rakan kita. Keraguan segelintir sahabat untuk membantu kita akan menimbulkan pelbagai persoalan dalam minda kita. Sebaliknya, kesanggupan orang lain untuk menolong kita akan membuktikan bahawa merekalah sahabat yang baik. Sahabat yang baik merupakan mereka yang akan menemani kita sewaktu kita menghadapi pancaroba kehidupan. Mereka akan membantu kita mengatasi kemelut tersebut. Tiada gunanya jikalau kita mempunyai ramai sahabat tetapi tiada satupun yang sanggup menolong kita tatkala kita ditimpa masalah. Sahabat yang unggul peribadinya akan membangkitkan semangat kita dan menghulurkan bantuan yang diperlukan pada setiap masa, bak kata pepatah bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Maka, kesanggupan dan kesediaan untuk membantu orang lain merupakan antara ciri sahabat yang baik.

Golongan inteligensia di Amerika Syarikat menyatakan bahawa tingkah laku dan gaya pemikiran kita merupakan cerminan tingkah laku dan mentaliti masyarakat sekeliling kita. Maka, sahabat yang baik seawajarnya bersikap positif dan optimistik dalam apa-apa jua keadaan supaya kita juga akan menjadi insan yang tidak pesimistik. Dalam jangka masa yang panjang, kita akan memiliki pandangan hidup yang bukan sahaja optimistik tetapi juga positif. Tambahan pula, sikap sebegini amat penting sebagai suntikan semangat dan keyakinan kita . Mereka yang bersikap negatif sehingga tidak akan menggapai kecemerlangan. Tambahan pula, penulis buku “The Secret” yang termasyhur ada mengatakan bahawa orang yang berfikiran positif akan berjaya dalam bidang yang diceburinya. Sikap dan perangai yang optimistik merupakan elemen yang penting dalam memacu pembangunan kemanusiaan khasnya pada era globalisasi ini.

Akhir kalam, sahabat dan taulan kita amat berpengaruh dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana, secara tidak langsung, mereka akan mempengaruhi segala tindakan serta percakapan kita. Oleh yang demikian, kita sewajarnya bijak memilih rakan atau sahabat yang memiliki ciri-ciri yang wajar disanjungi. Ibu bapa pula haruslah memantau aktiviti sosial anak-anak khasnya hubungan mereka dengan sahabat mereka agar anak-anak tidak akan rosak mindanya. Kita mestilah mengenali sifat sebenar rakan-rakan kita agar sifat unggul mereka boleh kita jadikan sebagai teladan. Melalui bersahabat dengan sahabat yang baik dan berketerampilan modal insan dan intelek negara boleh dilahirkan selaras dengan aspirasi negara.

Wajib lulus mata pelajaran Sejarah mampu meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Bahaskan.
Tema / Isu : Semangat patriotik
Tugasan soalan : Membahas pernyataan yang diberi

Dasawarsa ini, isu semangat patriotik yang semakin luntur dalam atma rohani generasi akar umbi kerap menjadi perbincangan dalam kalangan marhaen di Malaysia. Dari segi konsepnya, semangat patriotik boleh didefinisikan sebagai semangat cinta akan tanah air dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara tercinta. Biasanya, golongan remaja yang tidak menyedari kepentingan sejarah silam tidak memiliki semangat patriotik. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Menurut Tun Dr Mahathir, tiada bangsa di dunia yang tidak mencintai tanah airnya sendiri. Natijahnya, negara akan menjadi mundur, masa depan negara kabur jika generasi pelapis luntur semangat patriotiknya. Oleh itu, langkah kerajaan yang akan mewajibkan pelajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus mata pelajaran Sejarah merupakan langkah yangpragmatik untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan belia.

Antara sebab kerajaan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Sejarah adalah kerana sifat menyeluruh isi kandungan mata pelajaran Sejarah. Hal ini kerana peristiwa dan tarikh yang tercatat dalam sejarah tidak boleh dipesongkan kerana faktanya tepat dan tidak terseleweng. Justeru, peristiwa 31 Ogos 1957 dan 13 Mei 1963 wajar dijadikan iktibar agar generasi muda lebih menghargai dan menyedari kepentingan sejarah silam. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, manusia tanpa sejarah, melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Sekiranya mata pelajaran Sejarah bersifat menyeluruh dipelajari dan dihayati oleh generasi pelajar, maka pastinya semangat patriotik akan lebih membara dalam jiwa mereka.

Selain itu, tiada cara lain yang lebih berkesan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam diri pelajar selain daripada mata pelajaran Sejarah. Hal ini kerana, mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik tidak membantu secara langsung pemupukan semangat patriotik. Menurut kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia, mendapati mata pelajaran Sejarah memberikan pendedahan kepada golongan pelajar untuk memahami dan menghayati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Menurut Abraham Lincoln, semangat patriotik merupakan asas pembentukan sebuah negara bangsa. Sekiranya segenap lapisan marhaen di Malaysia menghayati sejarah negara, maka Malaysia akan menjadi sebuah negara maju, aman dan harmonis.

Dalam pada itu, semangat patriotik yang semakin luntur dalam kalangan remaja hari demi hari menyebabkan mata pelajaran Sejarah perlu diwajibkan untuk lulus. Hal ini demikian kerana terdapat banyak insiden tidak bermoral seperti menjadikan Jalur Gemilang sebagai kain basahan dan sikap kurang ajar Namawee yang menukar lirik lagu Negaraku ke Negarakuku. Justeru, mata pelajaran Sejarah perlu disuntik secara paksa dan lebih mendalam dengan cara wajib lulus. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Sekiranya pelajar sedar dan percaya akan kepentingan wajib lulus mata pelajaran Sejarah, maka pastinya hasrat mahu melihat generasi muda lebih bersemangat patriotik akan tercapai.

Selain itu , antara kekuatan mata pelajaran Sejarah ialah pengungkapan perjuangan tokoh- tokoh yang berjuang demi kemerdekaan negara. Kita dapat melihat betapa murninya perjuangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Hussein Onn dalam merungkai penjajahan British di Tanah Melayu. Bukan itu sahaja, detik pembangunan negara juga terungkap dalam mata pelajaran Sejarah. Dalam konteks ini, generasi muda dapat menghayati semangat yang terkandung dalam tinta buku teks Sejarah. Natijahnya, negara Malaysia akan dihuni oleh rakyat yang sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara. Sekiranya, segenap lapisan masyarakat negara ini sedar dan percaya akan semangat yang tercatat dalam catatan sejarah, maka negara kita dapat menggapai mimpi nirmala iaitu Wawasan 2020, tepat pada masanya.

Seyogia mata pelajaran Sejarah yang bakal diwajibkan lulus pada peringkat SPM mulai tahun 2013 mampu menimbulkan kesedaran dalam diri pelajar. Kita sering menonton televisyen tentang insiden yang memalitkan calar hitam pada imej Malaysia. Hal ini seolah-olah menggambarkan rendahnya jati diri rakyat Malaysia di kaca mata dunia. Mudah-mudahan dengan mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah, maka generasi muda akan tersedar daripada lena serta bangkit menyusun saf memperkasakan semangat patriotik yang sudah lama luntur dalam diri. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan.

Akhir kalam, isu semangat patriotik yang semakin luntur kerap menjadi polemik dalam kalangan rakyat Malaysia. Sememangnya, semangat patriotik dalam diri rakyat Malaysia kini berada pada tahap yang rendah dan tidak boleh dibanggakan. Semoga api semangat patriotik terus berkobar-kobar dan bernyala dalam diri setiap insan. Oleh itu, kita perlu bersinergi supaya semangat patriotik dalam kalangan marhaen lebih baik. Sekiranya, semangat patriotik kita tinggi, maka negara kita menjadi lebih utuh dan kukuh seperti negara-negara atas angin.


Gejala buli semakin berleluasa dalam kalangan remaja.
Bincangkan peranan pelbagaipihak dalam menangani gejala buli di sekolah.
Tema / Isu : Gejala buli Tugasan : peranan pelbagai pihak

            Belakangan ini, isu gejala buli sering meniti dari bibir ke bibir golongan marhaen di negara ini. Dari segi konsepsinya, gejala buli boleh ditakrifkan sebagai perbuatan memeras ugut pelajar lain hingga mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa. Biasanya, murid sekolah menengah yang bermasalah terlibat dalam gejala buli ini. Keadaan pembuli dan masanya bertepatan dengan peribahasa, bagai anjing dengan kucing. Oleh itu, terdapat pelbagai strategi untuk mengatasi gejala buli di sekolah.

            Antara prakarsa yang pragmatik dan berkesan untuk menangani gejala buli ialah remaja seharusnya bijak memilih rakan sebaya. Hal ini demikian dapat mengelakkan remaja daripada terlibat dalam gejala negatif. Justeru, remaja perlu mencari rakan yang Islamik, taat kepada kedua ibu bapa dan mempunyai budi pekerti mulia sebagai rakan akrab. Natijahnya, remaja boleh menghindarkan diri daripada terlibat dalam gejala buli serta perlakuan negatif yang lain. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Arab, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan berbau wangi dan jika berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya. Rakan yang baik boleh dianalogikan seperti bunga ros yang sentiasa mekar dan harum baunya. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, orang yang cemerlang dan hebat dalam pergaulan bermula daripada cetusan aura apabila dikelilingi rakan-rakan yang hebat. Sekiranya remaja Malaysia bijak dalam bersahabat, maka pastinya gejala buli dapat dikurangkan.

            Selain itu, langkah seterusnya ialah ibu bapa bertanggungjawab memantau tingkah laku anak-anak mereka. Hal ini demikian, ibu bapa boleh mengesan sebarang perlakuan aneh anak- anak mereka. Justeru, ibu bapa seharusnya mengetahui keberadaan anak-anak mereka dengan sentiasa berhubung melalui telefon bimbit. Natijahnya, ibu bapa boleh menghindarkan anak-anak mereka daripada sebarang perlakuan songsang terutamanya buli. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa pencoraknya. Pemantauan berkesan oleh ibu bapa dalam menangani gejala buli boleh dianalogikan seperti selimut yang menutup tubuh ketika kesejukan. Sekiranya, ibu bapa peka dengan tingkah laku anak-anak maka statistik masalah buli dalam kalangan remaja di sekolah akan berkurangan.

            Sudah terang lagi bersuluh, pihak sekolah turut memainkan peranan dalam menangani gejala buli.Sebagaimana yang kita ketahui, pihak sekolah melalui Unit Kaunseling dan Badan Disiplin sekolah merupakan pihak yang bertanggungjawab mencegah dan memulihkan semula pembuli dan mangsa buli. Umum mengetahui bahawa tindakan tegas pihak sekolah merupakan satu-satunya cara paling berkesan dalam menangani masalah buli. Pencegahan melalui tindakan tegas pihak sekolah bertepatan dengan peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati. Mudah-mudahan masalah buli dapat diatasi secara hikmah dan bijaksana tanpa melukakan hati mana-mana pihak jika tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihak sekolah.

            Selain itu, pihak kerajaan boleh menjenamakan semula kempen antibuli yang selama ini saban tahun diadakan di sekolah. Hal ini kerana kempen antibuli yang berteraskan ceramah dan pameran agak kurang berkesan dalam hati para pelajar. Pihak sekolah melalui Unit Disiplin Sekolah boleh menukar strategi kempen yang proaktif dan provokatif bagi tujuan menakut- nakutkan bakal pembuli.Pihak sekolah umpamanya boleh meminta kerjasama pihak Jabatan Penjara Malaysia atau Polis Diraja Malaysia bagi memastikan kempen antibuli menjadi lebih berkesan. Kerjasama pelbagai pihak dalam menangani gejala buli boleh diumpamakan seperti ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sekiranya, kempen antibuli berjaya meresapi nurani pelajar maka pastinya sekolah menjadi tempat yang lebih selamat untuk semua pelajar.

            Sungguhpun demikian, media massa turut berperanan dalam menangani gejala buli ini. Dalam konteks ini hebahan siaran tentang kesan buli kepada pembuli dan mangsa buli dapat diuar- uarkan ke seluruh pelosok negara. Suatu hal yang tidak boleh dikesampingkan ialah rasa takut dan benci terhadap gejala ini dapat ditanam dalam jiwa pelajar sekolah. Oleh sebab itu, televisyen boleh menayangkan dokumentari atau filem yang berkaitan dengan kesan buruk gejala buli. Jika semua pihak berganding bahu, ibarat ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni insya-Allah gejala buli dapat kita kurangkan sedikit demi sedikit sehingga menjadi sifar.

            Sebagai pengitlakan, gejala buli yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat pelajar di negara ini perlu ditangani segera. Sememangnya gejala buli masih wujud namun banyak kes terpencil disensasikan oleh media massa di negara ini. Semoga gejala buli dapat ditangani secara bijaksana oleh pihak berkuasa dengan kerjasama pihak sekolah. Oleh itu, kita perlu bersinergi dalam memastikan gejala buli dapat dilenyapkan di bumi bertuah ini. sekiranya gejala buli tidak wujud, maka Malaysia mampu berdiri gah di persada dunia dan mendabik dada kerana generasi mudanya bertaraf dunia


Masyarakat Malaysia perlu menjadikan amalan membaca sebagai budaya yang mampu merubah masa depan rakyat Malaysia.
Bincangkan peranan ibu bapa dalam memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak di rumah .
Tema/ Isu : Amalan Membaca
Tugasan : Peranan ibu bapa dalam memupuk minat membaca

            Dasawarsa ini, isu masyarakat Malaysia yang dikatakan antara masyarakat yang malas membaca menjadi polemik dalam kalangan marhaen di Malaysia. Dari segi konsepsinya, membaca dapat ditakrifkan sebagai amalan mulia yang boleh mencambah biak ilmu pengetahuan. Melalui amalan membaca, kita dapat mengetahui isu-isu semasa sama ada di dalam ataupun di luar negara. Biasanya, golongan pelajar perlu lebih kerap membaca kerana mereka berada dalam lingkungan dunia pendidikan. Amalan membaca bertepatan dengan cogan kata, Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya. Oleh itu, terdapat banyak prakarsa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak di rumah.

Kita dapat menyaksikan pelbagai usaha telah dijalankan bagi memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak terutamanya oleh ibu bapa. Tamsilnya, pihak kerajaan dan swasta sering kali mengadakan pameran buku ilmiah pada setiap tahun. Malangnya, usaha tersebut bagai melukut di tepi gantang apabila hanya dihadiri oleh sebahagian kecil penggemar buku. Bagi sesetengah orang, gejala hedonisme yang mencengkam telah menyebabkan mereka lupa tanggungjawab untuk menambah ilmu pengetahuan.Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah sama-sama kita menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup masyarakat Malaysia.

Prakarsa perdana yang boleh diimplementasikan oleh ibu bapa dalam memupuk amalan membaca ialah membeli bahan bacaan secara berkala. Hal ini demikian kerana anak- anak akan sentiasa membaca bagi menambahkan ilmu pengetahuan serta menjadi insan berguna pada masa hadapan.Ibu bapa perlu memperuntukkan wang sebanyak RM50 sebulan bagi membeli bahan bacaan. Biasanya , ibu bapa yang prihatin dan mementingkan masa depan anak-anak akan membeli banyak bahan bacaan khusus untuk anak-anak. Implikasinya, anak-anak yang didedahkan dengan bahan bacaan meluas dapat berfikir secara rasional dalam semua bidang bagi memenuhi tuntutan membangunkan negara ke persada antarabangsa. Anak-anak yang didedahkan dengan bahan bacaan sejak kecil bertepatan dengan peribahasa, belakang parang jika diasah lagikan tajam.Ibu bapa yang sentiasa membelikan anak-anak bahan bacaan setiap bulan boleh dianalogikan seperti pelukis handal yang mencorakkan dinding yang buruk. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah kamsah, ibu bapa merupakan pencorak budaya membaca dalam jiwa anak- anak. Sekiranya, semua ibu bapa di negara kita mengamalkan sikap murah hati dalam membelikan bahan bacaan untuk anak-anak, maka generasi yang lahir nanti dapat bersaing dan duduk sama rendah dengan generasi maju di negara Barat.

Sementelahan pula, prakarsa afdal yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk memupuk amalan membaca di rumah adalah dengan menyediakan suatu ruangan sebagai perpustakaan mini di rumah. Dalam konteks ini, mengapa perlunya perpustakaan mini di rumah? Hal ini demikian, kerana apabila ada perpustakaan mini di rumah, anak-anak tidak akan membuang masa menyertai aktiviti yang tidak sihat di luar rumah. Seperti yang dinyatakan, ibu bapa haruslah menyediakan suatu ruang kecil atau pun bilik kecil di rumah bagi menempatkan bahan bacaan supaya anak-anak berasa selesa sewaktu membaca. Biasanya ibu bapa yang berkemampuan serta memiliki rumah yang besar, mampu menyediakan perpustakaan mini di rumah. Natijahnya, anak- anak yang memiliki budaya membaca dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, sambil menyelam minum air. Sekiranya ibu bapa berjaya menwujudkan perpustakaan mini di rumah, nescaya anak mereka akan menjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan.

Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke ekspo atau pameran buku. Lazimnya dalam keadaan ini, ibu bapa boleh memberikan kebebasan kepada anak-anak memilih bahan bacaan sendiri. Dalam zaman yang serba canggih ini, kebanyakan ibu bapa gemar membelikan permainan untuk anak-anak mereka justeru, dengan membawa anak-anak ke pameran buku dapat memantapkan pengetahuan sedia ada anak-anak mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat mendidik jiwa dan melahirkan rasa cinta akan buku dalam diri anak-anak. Sebagai amsalnya, Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan pada bulan November setiap tahun boleh menjadi medan terbaik oleh ibu bapa dalam melazimkan tabiat membaca kepada anak-anak. Hal ini bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa perlu menggalakkan anak- anak menyertai pertandingan kebahasaan. Sebagai amsalnya, aktiviti NILAM menggalakkan pemurnian jiwa anak-anak dalam menelaah bahan bacaan ilmiah. Bukan itu sahaja, galakan ibu bapa terhadap anak-anak mampu membina minda glokal dalam merencana masa hadapan yang cerah.Natijahnya, generasi muda kita tidak berani melakukan pidana kerana sibuk menyertai pertandingan kebahasaan. Pertandingan Pidato Piala Diraja, Pertandingan Bahas Ala Parlimen, Pertandingan Forum Remaja DBP dan Pertandingan Deklamasi 1 Malaysia merupakan pertandingan bahasa yang boleh disertai oleh para pelajar. Kendatipun demikian, kita masih boleh menyertai pertandingan kebahasaan peringkat sekolah atau peringkat daerah jika tidak berpeluang menyertai pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan. Bertitik tolak daripada hal itu, penyertaan pelajar dalam aktiviti kebahasaan mampu membantu peningkatan markah kokurikulum pelajar di sekolah. Hal ini membuktikan akan kepentingan aktiviti membaca dalam kehidupan seseorang pelajar.

Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi. Oleh itu, ibu bapa boleh memberi hadiah berupa buku ketika sambutan hari kebesaran anggota keluarga. Amsalnya, ibu bapa boleh memberikan buku sebagai hadiah hari lahir atau hadiah kecemerlangan anak-anak dalam peperiksaan. Lazimnya dalam keadaan ini, anak-anak pastinya berasa teruja apabila mendapat hadiah buku daripada orang yang tersayang. .Bagi sesetengah orang buku mungkin tiada nilainya, namun untuk jangka masa panjang, buku menyimpan seribu khazanah yang tidak ternilai harganya. Sekiranya, semua ibu bapa di negara ini menghadiahkan buku ilmiah untuk anak-anak mereka sewaktu menyambut hari kebesaran maka pastinya masyarakat Malaysia menjadi masyarakat kelas pertama.

Akhirul kalam, rakyat Malaysia dikatakan antara masyarakat yang malas membaca. Semoga amalan membaca dapat dapat diteruskan sepanjang masa. Oleh itu, kita perlu bersinergi bersama- sama dengan ibu bapa, pihak swasta dan kerajaan untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa hadapan. Sekiranya amalan membaca berjaya dipupuk sejak peringkat akar umbi oleh ibu bapa, maka bangsa Malaysia akan menjadi lebih cemerlang serta mampu bersaing seperti kata peribahasa Melayu, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju di dunia.

Contoh 4 :
Amalan menabungperlu digalakkan sejak kecil lagi. Jelaskan kebaikan amalan menabung.
Tema : Amalan menabung Tugasan : Kebaikan

            Pada era globalisasi, isu menabung kerap menjadi polemik dalam kalangan marhaen di Malaysia. Dari segi konsepsinya,menabung boleh ditakrifkan sebagai amalan menyimpan wang ke dalam tabung untuk diguna pakai pada masa hadapan. Biasanya, kanak-kanak menabung seawal usia 5 tahun. Amalan menabung bertepatan dengan peribahasa,sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Oleh itu, terdapat banyak kebaikan yang dapat saya peroleh hasil daripada amalan menabung.

            Antara kebaikan menabung ialah dapat menggunakan wang yang ditabung untuk menyambung pelajaran. Hal ini demikian, dapat meringankan beban yang ditanggung oleh ibu bapa. Seyogia, kita mestilah menabung dalam jumlah yang konsisten setiap bulan. Natijahnya, ibu bapa kita tidak perlu bergolok bergadai untuk membiayai kos pelajaran anak-anak. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sekiranya, ibu bapa memikirkan kemaslahatan masa depan anak-anak dengan menabung sejak awal lagi, maka pastinya masa depan anak-anak akan cerah.

            Selain itu, kemaslahatan menabung ialah wang yang disimpan dapat digunakan pada waktu kecemasan. Hal ini demikian, wang tersebut dapat digunakan untuk membayar hutang dan membayar kos perubatan luar jangka. Sementelahan, kita mestilah menabung agar memudahkan kita pada kemudian hari. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, sediakan payung sebelum hujan. Sekiranya, kita bersedia menghadapi saat-saat kecemasan sejak awal lagi maka, kita tidak akan mengalami kesusahan.

            Kemaslahatan amalan menabung seterusnya ialah dapat mengelakkan sikap suka berhutang dalam kalangan masyarakat. Umum mengetahui bahawa orang yang sering mengalami kesempitan wang tidak berhemat dalam berbelanja. Kebobrokan sikap boros berbelanja sepatutnya diganti dengan didikan dan amalan menabung. Dengan adanya wang simpanan, maka hutang yang ada dapat dilangsaikan dan hidup kita tidak terbeban. Seyogia kita dapat mengelakkan diburu pemiutang atau diisytiharkan muflis apabila gagal membayar hutang. Akhirnya kulasentana sakinah dapat diwujudkan dalam menirmalakan sebuah keluarga bahagia.

Seyogia, faedah amalan menabung yang seterusnya ialah dapat membeli barangan mewah yang dihajati. Dalam konteks ini, barangan mewah dan berkualiti mampu kita miliki hasil amalan menabung. Biasanya, barangan mewah diimpikan oleh golongan berpendapatan sederhana dan berpendapatan rendah. Natijahnya, mereka tidak perlu berhutang walaupun memiliki barangan eksklusif dan mewah. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sekiranya, semua pelajar mengamalkan amalan menabung sejak kecil lagi, maka mereka dapat membeli pelbagai barangan tanpa menyusahkan kedua-dua ibu bapa mereka.

Kita dapat menyaksikan kesan jangka panjang yang mewarnai hidup orang yang mengamalkan amalan menabung. Pada realitinya, memang tidak dinafikan bahawa masa depan kita lebih terjamin apabila menabung. Hal ini demikian kerana, kehidupan akan menjadi lebih selesa apabila tiada masalah kewangan yang memberat dipundak jikiran. Aforisme yang menjadi amalan orang yang berusaha menabung ialah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Sekiranya wang yang ditabung mampu menjamin kestabilan hidup kita di dunia, maka kemaslahatan diri dan keluarga akan terpelihara.

Tuntasnya, isu menabung yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat perlu diberikan perhatian oleh golongan pelajar. Semoga, amalan menabung dapat disubur biak dari peringkat akar umbi lagi. Sememangnya amalan menabung memberikan pelbagai kemaslahatan kepada umat manusia. Oleh itu, kita perlu bersinergi untuk memastikan amalan menabung dapat menjadi amalan masyarakat Malaysia. Ingatlah bahawa sesungguhnya peribahasa bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian akan memayungi hidup golongan yang suka menabung.

Sebagai wartawan sebuah majalah sukan, anda ditugaskan untuk menulis rencana yang bertajuk “Peranan Masyarakat untuk Meningkatkan Mutu Sukan Negara ”.Tulis rencana itu selengkapnya.

            Kemenangan tipis pasukan Malaysia kepada Hong Kong 3 - 2 dalam Piala Thomas dan kekalahan pasukan bola sepak Malaysia dalam kelayakan Olimpik baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Hal ini belum lagi mengambil kira prestasi atlet olahraga, berbasikal, tinju, bola keranjang dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding, sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Persoalannya, apakah masalah sebenar atlet kita dalam mencapai kecemerlangan? Ataupun adakah atlet kita tidak bermotivasi dan lebih memikirkan pulangan wang semata-mata? Walau apa-apa pun pertikaiannya, prakarsa konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita mengembalikan kegemilangan silam sukan Negara kita. Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.

            Sebagaimana yang kita maklumi, merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan merupakan uslub perdana yang perlu kita lakukan dalam membuat transformasi. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh pemimpin politik. Hari ini, kita dapat melihat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dinaungi oleh orang politik. Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara demokrasi ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk meneruskan kelangsungan politik mereka. Keghairahan mereka memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah dianaktirikan. Pengetahuan mereka tentang bidang sukan serta kegagalan memahami transformasi yang berlaku, menyebabkan pencapaian para atlet kita masih di takuk lama. Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi pernah mengingatkan agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan dipimpin oleh individu yang berkelayakan. Kita mengakui hakikat sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara.

            Di samping itu, pihak berkenaan perlu menjenamakan semula program-program pembangunan atlet dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang bertaraf dunia. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya perlu diberi perhatian serius dalam mengatur program yang dirancang. Suatu perkara yang menjadi tanda tanya ialah, kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Hal ini menyebabkan kegagalan demi kegagalan terus dicipta oleh atlet Malaysia yang bertanding di luar negara. Sebagai contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya “gandingan emas”, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Piala Thomas menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan penggemblengan minhaj dan iltizam daripada semua pihak, pastinya masih ada sinar yang dapat dijelmakan untuk mengangkat martabat sukan negara kita berada di mercu kecemerlangan.

            Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak Negara Harimau Muda contohnya dihantar menyertai Liga S di Singapura. Pastinya pemain yang mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza dapat diuji oleh pemain muda Negara kita.Pencapaian ratu squasy negara, Nicole Ann David dan Datuk Lee Chong Wei membolehkan mereka berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar kerana yang bulat tidak datang bergolek , yang pipih tidak datang melayang.

            Pada masa yang sama, syarikat korporat perlu menaja atlet yang berpotensi memperoleh pingat bagi menyokong kemajuan sukan negara Malaysia. Bertitik tolak daripada itu, syarikat korporat boleh menaja bagi membantu membiayai kos latihan atlet di dalam dan di luar negara. Natijahnya, atlet negara akan menikmati kemudahan sukan bertaraf dunia. Sementelahan itu, peralatan sukan yang terbaik mampu dimiliki oleh atlet bagi meningkatkan prestasi mereka ke tahap terbaik. Kesemua ini menyumbang peningkatan imej dan lonjakan semangat atlet yang bakal bertanding dalam kejohanan antarabangsa. Tamsilnya, Datuk Nicol Ann David ditaja oleh CIMB Berhad sebanyak RM380,000 setahun bagi membiayai latihan dan peralatan. Mudah- mudahan perkara ini terus berlanjutan bagi meneruskan legasi atlet bertaraf dunia.

Pelbagai langkah yang efektif dan drastik perlu dilakukan dengan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini. Oleh itu, sokongan moral daripada peminat sukan cukup diperlukan dalam memastikan aura semangat terus membara. Sebagai amsalnya, peminat bola sepak Malaysia menubuhkan kelab penyokong Ultras Malaya bagi memberikan sokongan kepada pasukan Harimau Muda. Kita dapat menyaksikan setiap kali pasukan Harimau Malaya turun beraksi, penyokong Malaysia pasti turun memberikan sokongan padu. Keadaan ini seharusnya boleh menaikkan semangat atlet yang telah berputus asa untuk terus berjuang di gelanggang. Sekiranya penyokong Malaysia turun memberikan sokongan kepada atlet yang bertanding maka pastinya semangat membara yang terjana mampu menghasilkan kejayaan yang membanggakan negara.

Konklusinya, kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan. Sememangnya kemerosotan mutu sukan di negara kita masih berada pada tahap yang boleh diperbaik. Semoga mutu sukan negara akan terus ke puncak dengan syarat semua pihak bersinergi dan tidak kenal putus asa. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara- negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Oleh itu, kejayaan Safee Sali yang kini bermain di Indonesia dan memperoleh kontrak RM2 juta menjadi ikutan atlet muda yang lain. Sekiranya mutu sukan kita meningkat, maka secara automatiknya martabat negara kita turut melonjak naik.

Tema kesihatan 2015 - 6 penyakit berjangkit

Penyakit berjangkit
Penyakit berjangkit bawaan vektor dan virus sering berlaku disebabkan tindakan serta kelalaian manusia sendiri. Justeru, langkah-langkah yang berkesan adalah perlu untuk mengawal pembiakan penyakit berjangkit tersebut. Bincangkan.


Sebab-sebab

1. Tidak menjaga kebersihan

• Dalam dan luar kawasan rumah
• Membiarkan pasu bunga bertakung air di dalam rumah lama dan tidak diganti sehingga menggalakkan pembiakan lava nyamuk
• Persekitaran rumah yang semak samun, longkang yang tersumbat, sampah sarap terutamanya tin atau botol kosong yang tidak dibuang dengan betul atau tidak ditanam

2. Pengurusan ladang yang tidak sistematik
• Ladang terutamanya ladang khinzir yang tidak dijaga kebersihannya
• Sisa-sisa najis yang tidak dirawat
• Tidak menggunakan peralatan atau pakaian yang selamat dan sesuai

3. Peningkatan kawasan pembinaaan
• Tapak-tapak pembinaan yang selalunya mempunyai kawasan yang boleh menakung air
• Contoh: lopak air, tin-tin kosong dan longkang
• Tapak perumahan yang terbengkalai menyediakan habitat bagi nyamuk membiak

4. Pertambahan kawasan setinggan
• Kawasan setinggan tidak mempunyai sistem pembetungan dan pembuangan sampah yang sistematik
• Sampah sarap dibuang secara berselerak dan sistem perparitan yang tersumbat boleh menakung air

Langkah-langkah

5. Semburan kabus/ Foging
• Dijalankan secara berkala, berjadual dan berterusan terutama di kawasan berisiko tinggi
• Pada musim hujan

6. Menjaga kebersihan dalam dan luar kawasan rumah/ ladang
• Sentiasa menggantikan perhiasan rumah yang ada menggunakan takungan air (pasu bunga, kaki almari, kolam air dll)
• Membuang secara bersistematik atau menanam sampah yang mudah menakung air.

Kitar semula

7. Kawalan biologi
• Terutama di kawasan ladang
• Memelihara haiwan peliharaan seperti katak atau ikan gapi yang boleh memakan lava nyamuk
• Kawasan ladang akan bebas dari ancaman nyamuk culex dan penyakit JE



8. Ubat jentik-jentik
• Memasukkan ubat jentik-jentik dalam takungan air seperti dalam kolam atau tangki rumah/ kawasan ladang atau tapak pembinaan
• Menggunakan sukatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan
• Dapat membunuh lava nyamuk agar nyamuk tidak dapat membiak

Membuat kesimpulan

Dalam bahagian penutup, pelajar perlu menegaskan /menyatakan harapan dan menekankan usaha/langkah semua pihak yangbertanggungjawab/terbabit.



Pelajar boleh menyatakan pada masa akan datang dengan menyatakan satu bentuk pernyataan positif yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan.

skema : 2 sebab + 2 langkah-langkah CERAMAH - CARA-CARA MENANGANI PENYAKIT BERJANGKIT (TAJUK ULBS)

Soalan

Sebagai pegawai kesihatan anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di sebuah sekolah tentang cara-cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

Karangan contoh:-

Yang mulia tuan pengerusi majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, guru-guru, dan murid-murid sekalian. Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis pada pagi ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana pihak sekolah sudi menjemput saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Cara-cara untuk Mengawal Penularan Penyakit Berjangkit”.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Penularan penyakit berjangkit merupakan satu isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak akhir-akhir ini. Penularan penyakit berjangkit ini umpama duri dalam daging dan telah menyebabkan masyarakat dunia amnya dan masyarakat Malaysia khususnya berada dalam kebimbangan yang berterusan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk mengawal penularan penyakit berjangkit terutama yang dapat menyebabkan kematian. Namun demikian, penularan penyakit masih lagi berlaku dari semasa ke semasa. Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan oleh masyarakat untuk memastikan gejala penularan penyakit dapat dibendung.

Satu daripada cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan memastikan penjagaan kesihatan yang teratur dalam kalangan masyarakat Malaysia. Penjagaan kesihatan merupakan satu amalan yang berterusan. Sebagai contohnya, setiap anggota masyarakat hendaklah menjaga kebersihan diri sepanjang masa. Kebersihan diri ialah asas yang akan mengelakkan tubuh dihinggapi penyakit. Penjagaan kesihatan juga melibatkan aktiviti senaman dan riadah yang sistematik. Masyarakat Malaysia hari ini terdedah pada pelbagai risiko penyakit jika tidak menjaga kesihatan. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini pelbagai jenis penyakit dikesan wujud di negara kita. Contohnya penyakit selesema burung yang bermula di luar negara telah menjangkiti penduduk negara ini. Oleh hal yang demikian penjagaan kesihatan yang teratur merupakan satu cara yang berkesan untuk mengawal penularan penyakit berjangkit, bak kata peribahasa mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Hadirin sekalian,

Selain itu, pihak berkuasa mesti mengetatkan syarat kemasukan pelancong dari luar negara. Pihak jabatan imigresen dan juga jabatan kastam perlu menguatkuasakan kawalan yang ketat terhadap orang yang masuk ke negara ini. Jabatan kastam umpamanya, mestilah memastikan haiwan-haiwan yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada jangkitan sebarang penyakit berbahaya. Tidak kira sama ada haiwan tersebut diimport untuk dijadikan makanan atau haiwan peliharaan. Jika haiwan tersebut dijangkiti, pihak jabatan kastam hendaklah menyita dan memastikan haiwan tersebut tidak dibawa masuk. Dalam hal ini tumpuan khusus hendaklah diberikan pada pelancong dan haiwan dari negara-negara yang diketahui telah dijangkiti penyakit berjangkit berkenaan. Misalnya suatu ketika dahulu negara China telah diserang penyakit selesema burung yang serius. Oleh itu pelancong dan barangan import yang berasaskan haiwan hendaklah diperiksa dengan lebih terperinci agar negara kita bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Jadi, pihak berkuasa hendaklah mengetatkan syarat kemasukan pelancongan dan barangan dari luar negara untuk mengelakkan penularan penyakit berjangkit, jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Langkah untuk mengawal penularan penyakit berjangkit yang berikutnya ialah pihak kerajaan hendaklah melupuskan haiwan atau pembawa yang telah dijangkiti penyakit berjangkit dengan kadar segera. Tindakan tegas ini mestilah dilaksanakan tanpa mengira bantahan dan kritikan masyarakat. Kerajaan harus menjalankan tindakan ini kerana penyakit berjangkit biasanya merebak dengan pantas apabila pembawanya tidak dihapuskan, bak kata peribahasa biar titik jangan tumpah. Misalnya dalam kes penularan penyakit Selesema Burung, setiap unggas sama ada yang dipelihara atau yang hidup bebas perlu dilupuskan. Walaupun tindakan ini agak kejam sifatnya, kita tidak boleh pilih bulu atau berkompromi apabila kesihatan masyarakat awam terancam seperti kata peribahasa biar titik jangan tumpah. Kerugian akibat kematian haiwan peliharaan adalah lebih baik berbanding kehilangan nyawa manusia akibat diserang penyakit berjangkit. Tindakan tersebut juga hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera. Pihak berwajib tidak harus menanti keputusan majoriti kerana penularan penyakit tidak akan berhenti jika tidak dibendung. Tindakan yang lambat akan mendatangkan kesan buruk apabila penyakit berkenaan tidak lagi dapat dikawal dengan menyeluruh. Oleh itu, pelupusan haiwan atau pembawa penyakit hendaklah disegerakan untuk memastikan penularannya dapat dikawal.

Tuan-tuan yang dihormati,

Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang wajar dilaksanakan untuk memastikan penyakit berjangkit dalam dibendung penularannya. Dalam hal ini, semua anggota masyarakat perlulah bekerjasama ibarat aur dengan tebing agar penyakit berjangkit dapat ditangani dengan berkesan. Kita tidak mahu menyesal akibat kelekaan kita mendatangkan kesan buruk kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Kerjasama semua pihak sudah pasti akan melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyusun jari sepuluh, memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang tidak disengajakan. Sekian, terima kasih.

[692 perkataan]

Wabak penyakit berjangkit yang merebak di seluruh dunia pada masa ini disebabkan kurangnya kesedaran masyarakat mengamalkan gaya hidup yang sihat. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini?

Fenomena penyakit berjangkit sudah biasa dalam kalangan masyarakat masa kini. Di Malaysia khususnya, fenomena penyakit berjangkit ini sering diuar-uarkan di media cetak, elektronik dan sebagainya. Namun begitu, masyarakat kini kurang mengambil berat terhadap amalan gaya hidp yang sihat. Oleh hal yang demikian, masyarakat akan mudah untuk dijangkiti penyakit terutamanya penyakit berjangkit yang semakin menular kebelakangan ini seperti penyakit selesema H1N1. Oleh itu, tindakan segera perlu diambil oleh masyarakat untuk mengelakkan masyarakat daripada dijangkiti penyakit berjangkit. Hal ini demikian kerana, penyakit berjangkit ini semakin menular disebabkan amalan yang kurang sihat.

Masyarakat yang tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang akan mudah untuk dijangkiti penyakit berjangkit. Hal ini demikian kerana, pemakanan yang seimbang akan mendatangkan pelbagai jenis sumber tenaga di dalam tubuh badan kita. Sekiranya kita tidak mengamalkannya, antibodi yang terdapat di dalam badan akan menjadi lemah, kurangnya zat di dalam tubuh badan dan sebagainya. Hal yang sedemikian akan menyebabkan kita mudah untuk dijangkiti penyakit berjangkit disebabkan antibodi atau ketahanan diri yang lemah untuk melawan penyakit tersebut. Oleh hal yang demikian, langkah yang proaktif perlulah diambil oleh masyarakat untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit ini daripada dijangkiti, bak kata pepatah, "Mencegah lebih baik daripada mengubati".

Selain itu, masyarakat juga kurang menjaga kebersihan diri dan juga persekitaran. Hal yang sedemikian akan menyebabkan seseorang itu mudah untuk dijangkiti oleh penyakit berjangkit ini. Dengan persekitaran yang kotor, seseorang akan mudah dijangkiti oleh penyakit berjangkit ini. Sebagai contohnya, apabila seseorang itu memegang tombol pintu, kemudian tanpa membasuh tangan lalu makan, sudah tentu seseorang itu akan mendapat penyakit kerana tombol pintu tersebut mengandungi kuman yang dibawa oleh orang lain. Oleh hal yang demikian, langkah untuk membasuh tangan perlulah dipraktikkan oleh semua anggota masyarakat untuk mengelakkannya daripada djangkiti oleh penyakit. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, "Jangan sudah terhantuk baru nak tengadah".

Hubungan sosial tanpa sekatan turut juga menyumbang kepada penularan fenomena penyakit berjangkit yang berteraskan kurangnya amalan gaya hidup sihat. Hubungan seks yang dilakukan oleh segelintir masyarakat akan menyebabkan viris HIV tersebar. Hal ini berlaku demikian kerana, tanpa pemakaian alat pencegahan seperti kondom, virus tersebut akan tersebar melalui alat sulit mereka. Hal yang sama juga berlaku seperti penggunaan atau perkongsian jarum suntikan untuk dadah. Amalan tersebut akan menyebabkan seseorang itu akan dijangkiti virus HIV dan seterusnya menghidap AIDS. Oleh itu, langkah yang bijak perlulah diambil oleh semua anggota masyarakat supaya dapat mengatasinya, bak kata pepatah, "Sediakan payung sebelum hujan".

Selain itu, kurang kesedaran daripada masyarakat turut menyebabkan penularan fenomena ini. Masyarakat pada masa kini terlalu mengejar kemewahan dengan mengumpul harta dunia sehingga kurang mengambil tahu terhadap isu semasa pada masa ini. Masyarakat jenis ini terlalu mementingkan diri mereka sendiri serta hidup di dalam dunianya sendiri. Kebanyakan daripada mereka ini tidak mengetahui isu semasa yang berkaitan dengan virus H1N1 yang mementingkan penjagaan kebersihan diri dan mengelakkan mereka daripada pergi ke luar negara untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti oleh virus tersebut.Namun begitu, segelintir daripada mereka terlalu mementingkan diri sendiri sehingga melanggar larangan tersebut. Apabila sudah dijangkiti barulah hendak menyesal, bak kata pepatah, ”Nasi sudah menjadi bubur".

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyarankan supaya sesiapa yang disyaki dijangkiti penyakit virus H1N1 supaya dikuarantin bagi mengelakkan virus tersebut daripada merebak. Namun begitu, masyarakat kini keras kepala sehingga mengancam nyawa orang lain. Perbuatan yang sedemikian telah membantu penyebaran virus tersebut sehingga sukar untuk dikawal oleh pihak berkuasa kesihatan. Langkah yang diambil seperti mengadakan kuarantin seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa bertujuan untuk menjaga kepentingan orang lain serta mengawal mereka daripada terus menyebarkan virus tersebut dengan lebih cepat.

Oleh hal yang demikian, penularan wabak penyakit berjangkit ini memang disebabkan oleh kurangnya amalan gaya hidup yang sihat oleh masyarakat. Jadi, langkah yang proaktif perlulah diambil oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan dengan cara yang lebih efektif seperti mempertingkat kempen-kempen kesedaran. Selain itu, pihak sekolah juga turut memainkan peranan yang penting untuk memberikan input mengenai penyakit berjangkit ini kepada para pelajar. Sekiranya langkah ini tidak diambil, nescaya masyarakat akan menjadi mangsa kepada ancaman penyakit berjangkit ini. Oleh itu, kita perlulah bersiap sedia untuk menghadapinya dan hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, ”Sediakan payung sebelum hujan”.

Tema kesihatan 2015 - 5

cara-cara meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysiac

pendahuluan:
sedasawarsa ini, taraf kesihatan tidak lekang di bibir ahli masyarakat. Peningkatan kadar menghidap penyakit kronik semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Pelbagai penyebab penyakit kronik dan penyakit berjangkit telah dikenal pasti melalui kajian daripada pihak berkenaan. Namun, kesedaran masyarakatan tentang bahayanya penyakit kronik dalam kalangan masyarakat masih berada pada takuk yang rendah. Persis kata pujangga, "mencegah lebih baik daripada mengubati", sering ternging-nging di telinga kita bahawa pelbagai usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak, tetapi, persoalannya, sejauh manakah pendekatan untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat ini berkesan? Tepuklah dada tanya selera. Oleh itu, sebelum kuman menjadi barah, taraf kesihatan mestilah ditingkatkan sejajar dengan aspirasi negara, yakni "badan sihat otak cerdas".

memang tidak dapat disangkalkan lagi bahawa media massa mestilah memainkan peranan sebagai penyebar maklumat signifikan untuk meningkatkan taraf kesihatan dalam kalangan masyarkat yag berbilang kaum. Hal ini dibuktikan bahawa arus perdana ini merupakan wadah paling berkesan untuk menganjak paradigma generasi muda dan golongan tua tentang pentingnya gaya hidup dalam dunia mayapada ini. Secara implisit, rancangan motivasi dan khidmat nasihat melalui pelbagai media massa dapat mendominasi minda mereka daripada terhanyut dalam dunia hedonisme yang alpa tentang kesihatan diri. Cotohnya, rancangan kesihatan, forum, iklan , dan dokumentasi yang ditayangkan mampu menyedarkan masyarakat di seantero ceruk negara tentang kesihatan melambangkan kebahagiaan. Sudah terng lagi bersuluh bahawa Lembaga Filem Negara mestilah menapis rancangan yang mengagung-agungkan budaya hedonisme dan kebaratan yang hanya akan memudaratkan kesihatan diri.

Peranan kerajaan memanglah tidak dapat dikesisikan lagi. Umum mengetahui bahawa kesihatan mencerminkan citra masyarakat yang maju dan bertamadun, Semakin tinggi kadar kematian semakin mundurlah masyarakat ini. Pihak kerajaan yang mewara-warakan slogan "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" memanglah menunjukkan integriti dan komitmen untuk membangunkan negara kita, waima dari segi lahiriah mahupun dari segi batinian. Produk 1 Malaysia telah berjaya membantu berjuta-juta msyarakat marhaen yang mungkin serba daif dan kesesakan hidup. Oleh itu, peruntukan yang berterusan dalam bentuk subsidi, pengecuaian cukai, dan insentif semasa pembelian alatan kesukanan atau rawatan terapi emerupakan satu modus operandi yang amatlah digalakkan. Contohnya, sebanyak 200 buah klinik 1 Malaysia yang terbina di kawasan luar bandar dengan bayaran hanya RM1 telah membantu rakyat yang terbelenggu dengan kemiskinan dan kejahilan. Sudah bersuluh di tengah hari, kerajaan mestilah berpegang pada prinsip, berkuah sama menghirup, bersambal sama mencolek supaya taraf dan kualiti hidup dapat dirapatkan.

Selain itu, peranan penyelidikan dan pembangunan juga mesti dipergiat oleh pihak kerajaan supaya taraf kesihatan dapat dimartabatkan. Hal ini memanglah wajar kerana teknologi perubatan bukan sekadar omong-omong kosong, tetapi mestilah secara praktik dengan penyelidikan yang berterusan. Sebagai analogi, penceburan pihak kerajaan dalam penyelidikan dan pembangunan herba semakin diiktirafkan. Penyakit kronik seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis mestilah dirawati sehingga akar umbinya. Sesungguhnya, kata pujangga" tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata" , herba dan perubatan tradisional yang telah digunakan sejak zaman leluhur menjamin bahawa taraf kesihatan akan dimartabatkan sekiranya setiap individu mengutamakan gaya hidup sihat.

Umum diketahui bahawa sukan menjana kesihatan yang tidak terhingga. Maka, pihak kerajaan seyogianya mengorak langkah untuk memberikan peruntuk kepada pemaju perumahan supaya membina taman rekreasi sejajar dengan peribahasa hati gajah sama dilapah, hati kuman dicecah. Hal ini memanglah patut kerana kemudahan di negara kita masih jauh ketinggalan sekiranya berbanding dengan negara maju seperti Singapura. Kemudahan yang disediakan masih menunjukkkan kedaifan dan kekurangan yang terserlah. Sekiraya negara kita ingin meraih kejayaan menjelang ambang 2020, kemudahan kesihatan seperti velodrom, pusat gimnasium, stadium, gelanggang serba guna mestilah dinaik taraf supaya segenap lapisan masyarakat marhaen berpeluang menikmati kemudahan yang disediakan. Persoalannya, mengapakah hanya golongan berada berpeluang untuk bersantai-santai di pusat gimnasium, gelanggang renang, gelanggang golf? Tepuk dahi fikirlah minda? Peruntukan berjuta-juta tidak wajarlah sekadar bagai mencurahkan garam ke laut, namun implementasi yang menyeluruh wajiblah sejajar dengan aspirasi negara, yakni 1 Malaysia.

Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, kerajaan mestilah melabur berjuta-juta ringgit lagi untuk menaik taraf hospital negara kita. Latihan, dan kursus perubatan mestilah diberikan supaya menggarap lebih tenaga mahir dan panel doktor supaya membangunkan modal insan yang seimbang. Pakar perubatan ini tidak semestiny abersikap enau dalam belukar melepaskan pucuk masingmasing. Walhasil, merekalah mesti ebrsikap pasrah dan berdedikasi untuk berkhidmat kepada pesakit di kawasan luar bandar. Hospital di negara kita masih jauh ketinggalan. Kos perubatan yang tinggi telah menyebabkan pesakit menunggu-nunggu giliran untuk menjalani pembedahan dan rawatan di hospital kerajaan. Persis kata mutiara. " bergelanggang di mata orag banyak", sekiranya rakyat menghadapi masalah kesempitan kewangan, segala harapannya hanyalah bertukar kosong kerana terbelenggu oleh kemiskinan dan kesakitan. Sememangnya, peruntukan dan subsidi yang berterusan daripada kerajaan mestilah menunjukkan kesungguhan supaya barisan pamel perubatan mestlah diltih atau diimport dari negara maju supaya kesihatan di negara kita mencerminkan peningkatan yang melonjakkan.

Kesimpulannya, sekiranya komitmen dan integriti dipamerkan oleh semua pengusaha, taraf kesihatan di negara kita akan sejajar dengan pembangunan fizikal di negara kita. Kesihatan asas kebahagiaan, hanyalah dengan jiwa raga yang sihat, hidup kita akan menerobos sempadan kecemerlangan. Janganlah biarkan ajal melambai-lambaikan tangan barulah kita insaf kerana terlajak perahu masih boleh berundur, tetapi kesakitan tidak akan terubat jika sudah membarah. Ayuhlah kita menghayati bahawa kesihatan bukanlah perkara yang boleh diperlekeh, slogan" kesihatan menjamin kejayaan", inilah pedoman kita sepanjang hayat sehingga ke hari akhirat.

Sunday, August 9, 2015

Percubaan SPM 2015 - 14 bandar selamat

Soalan ini dipetik daripada soalan peperiksaan pertengahan tahun T5 MRSM 2015


Inisiatif mewujudkan konsep Bandar Selamat seperti pemasangan kamera litar tertutup, rondaan keselamatan, Rukun Tetangga dan laluan khas pejalan kaki antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah dan risiko bencana. Huraikan kebaikan-kebaikan mewujudkan Bandar Selamat kepada masyarakat di negara ini.

          Program Bandar Selamat telah dilancarkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2010. (I) Sejak Dato’ Sri Najib Tun Razak menerajui tampuk kepimpinan negara, peratusan indeks jenayah negara menunjukkan penurunan yang dapat meyakinkan masyarakat.  Hal ini dibuktikan oleh keberkesanan NKRA( Bidang Keberhasilan Utama Nasional) yang menyasarkan pengurangkan jenayah dan meningkatkan taraf hidup isi rumah di negara kita.  Statistik menunjukkan sepanjang tahun 2010, berlakunya pengurangan sebanyak 5 peratus bagi jenayah indeks dan 20 peratus bagi jenayah jalanan di seluruh negara. (I) Namun, keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti pihak berkuasa tempatan dan PDRM semakin merosot.  (K) Lantaran itu, Program BS dan Program My Beautiful Neighbourhood telah digarapkan oleh pelbagai agensi supaya mewujudkan persekitaran kondusif  dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat murba. (U) Persoalannya, sejauh manakah prakarsa ini berjaya mengurangkan kes jenayah jalanan dan indeks jalanan  di negara kita? Apakah pula kebaikan-kebaikan mewujudkan Bandar Selamat kepada masyarakat di negara ini?

Sesungguhnya, konsep BS berasaskan kebebasan daripada keganasan, kemerosotan sosial dan akhlak, bencana alam dan kemalangan di luar atau di dalam bangunan. Dalam konteks ini, program ini berkeupayaan membantu membanteras Indeks Jenayah yang semakin menghantui masyarakat metropolitan, khasnya di kawasan hots spot atau kawasan sasaran jeneyah. (A) Pihak polis mengkategorikan statistik jenayah kepada dua bahagian iaitu jenayah bukan indeks dan jenayah indeks. Bagi statistik jenayah indeks pula dibahagikan kepada dua bahagian iaitu jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.(M) Pendek kata, bandar selamat direka cipta mengikut konsep ‘Reka Bentuk Persekitaran Fizikal’(CPTED) untuk memastikan keselamatan penghuni dan meningkatkan kualiti hidup rakyat murba di negara kita. (K) Sebagai contohnya, pemasangan kamera litar tertutup di 50 kawasan panas di empat buah negeri yang telah dikenal pasti telah berjaya untuk mengesan setiap gerak geri penjenayah yang berpotensi. © Begitu juga dengan pemasangan alat pemetaan GIS(sistem maklumat Geografik) jenayah bandar menunjukkan komitmen kerajaan untuk meyakinkan masyarakat tentang keselamatan diri dan keluarga.(C) Tegasnya, persekitaran fizikal yang selamat merupakan penekanan dan sasaran dalam Rancangan Malaysia ke-10 supaya membanteras jenayah indeks dan jenayah jalanan sehingga akar umbinya.(P)

Selain itu, perancangan bandar mengikut piawaian Bandar Selamat berjaya meningkatkan kualiti hidup di kawasan petempatan yang pernah dikenal pasti sebagai kawasan sasaran penjenayah. (A) Sedia kita maklum bahawa segala jenayah disebabkan kekurangan sokongan dan tindakan padu daripada masyarakat sekelilingnya. (M) Antara lainnya penghisap dadah tegar telah menyumbang kepada peningkatan jenayah dalam masyarakat kita, khasnya di kawasan yang menjadi lubuk dadah gengsterisme. (C) Maka, selain memperkasakan persekitaran fizikal dengan pemasangan penggera keselamatan dan sinergi antara agensi kerajaan dengan pengawal keselamatan swasta, Pusat Pemulihan Penagih Narkotik dan Pusat Serenti amatlah penting untuk memastikan penjenayah baharu atau penjenayah juvenil dapat dibimbing ke lorong akidah. (C) Dalam konteks ini, masyarakat akan mengembalikan keyakinan terhadap keselamatan negara dan generasi pelapis yang berpotensi untuk terjebak dalam kancah pidana akan kembali ke pangkal jalan sekiranya terwujudlah pendidikan kerohanian yang berjaya menginsafkan si penjenayah. (K) Tegasnya, memperkasakan kawasan panas dengan komitmen dan kesungguhan daripada semua pihak, nescayalah keselamatan negara akan terjamin, justeru mengangkat nama negara di mercu kegemilangan jagatraya. (P)

Selain mereka bentuk persekitaran fizikal dan pemerkasaan kawasan sasaran jenayah, konsep bandar selamat juga melibatkan penyertaan komuniti dan kesedaran awam tentang keselamatan negara. Sekiranya pelaksanaan bandar selamat berhasil,  pertumbuhan ekonomi negara akan terjamin lantaran pelbagai aktiviti sosioekonomi dapat berlangsung tanpa sebarang gangguan. (A) Malangnya, laporan indeks Unisys Security 2014 telah menyenaraikan Malaysia di tangga kedua antara 12 buah negara yang dikaji mengenai isu keselamatan termasuk keselamatan negara, keselamatan kewangan, jalur lebar dan keselamatan peribadi.(C) Statistik ini cukup merimaskan seantero strata komuniti. Menurut senarai yang dibentangkan dalam kabinet pada tahun 2014, purata dua orang dibunuh setiap hari dan lapan orang dirogol setiap hari di negara kita. (C) Jelaslah bahawa tanpa kesedaran awam daripada semua peringkat tanpa mengira latar belakang, memanglah susah untuk memastikan negara kita terlepas daripada keganasan dan sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi terus gemilang di puncak jagatraya. Walhal, kita bukan berhasrat untuk menjadi negara maju dari segi iktisad namun kita mahu negara kita disanjung tinggi ekoran ketinggian peribadi dan keluhuran akhlak.

Bahawasanya, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak berombak. Negara kita tidak pernah terlepas daripada bencana alam akibat perubahan cuaca dan sikap manusia yang tidak mengendahkan keseimbangan pembangunan fizikal dengan kelestarian alam sekitar yang mapan. Jadi, konsep bandar selamat yang bermotifkan kebebasan daripada kemalangan dan malapetaka dapat mengurangkan kos penyelenggaran kerajaan sekali gus memastikan nyawa penghuni bumi pertiwi tidak terancam. (A) Sebagai iktibar daripada banjir yang terburuk dalam sejarah banjir di Malaysia, Kelantan pada tahun 2014. Tragedi tanah runtuh Hulu Langat 2011 di Batu 14 Jalan Cheras, Hulu Langat, Selangor dan banjir kilat yang teruk di Kuala Lumpur pada tahun 2007. Bencana alam ini semakin melanda negara kita seakan-akan tanpa sebarang amaran. (C) Maka, bandar selamat yang direka cipta dan dirancang mestilah dipantau oleh Jabatan Meteorologi. Sebagai bukti komitmen kerajaan, Rmke-11, projek Rancangan Tebatan Banjir telah dilaksanakan di kawasan yang terdedah kepada masalah malapetaka. (C) Mukhtasarnya, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau. Konsep bandar selamat mestilah diimplementasikan agar memastikan nyawa dan harta benda dipelihara daripada dugaan musibah.

Akhirnya, lonjakan industri pelancongan merupakan sasaran utama penyumbang kepada KDNK. Sasaran sebanyak 30 juta kehadiran pelancong asing menjelang tahun 2020 mestahillah berhasil sekiranya kawasan pelancongan terus dijadikan kawasan jenayah ragut. Dalam konteks ini, bandar selamat yang berkonsepkan keseimbangan pembangunan mapan dengan pembinaan taman poket dan kawasan landskap dapat menjanakan kekayaan kepada pengusaha dan penghuni bandar. Pembangunan landskap dan pokok renek yang warna-warni dapat meningkatkan nilai estetika dan nilai visual di hutan bandar atau dikenali sebagai taman bandar. Izharnya, perancangan bandar dengan pembinaan gazebo dan pengasingan laluan pejalan kaki dengan rel penghadang dan ‘bollard’ bukan sahaja dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya malahan dapat mengurangkan jenayah jalanan seperti samun berkawan tanpa bersenjata, samun tanpa bersenjata, rogol dan curi ragut. Dalam hal ini, pelancong akan berasa selesa dengan suasana yang aman damai, sekali gus menyebarkan kehijauan dan keharmonian negara ke peringkat global. Walhasil, kemalangan dan penculikan pelancong asing di negara kita bukan kes yang berasingan lagi. Tanpa komitmen bersama yang jitu, segala aspirasi dan Pelan Transformasi Kerajaan hanya akan menjadi fata morgana kerana segala usaha mestilah bermula daripada langkah yang pertama.

Akhirulkalam, maklumat statistik Indeks Jenayah yang dikeluarkan sehingga April 2014, purata 10 orang dibunuh dan sekurang-kurangnya 45 kes rogol direkodkan seminggu. Selain itu, sebanyak 300 kes samun berkawan tanpa senjata dan sebanyak 68 samun tanpa senjata api telah direkodkan di seluruh negara pada setiap minggu. Maka, program bandar selamat perlulah dikuatkuasakan secepat mungkin melalui kodifikasi akta jenayah dan akta alam sekitar yang berkenaan. Kita perlu mengakui bahawa tanpa anjakan paradigma daripada seantero strata komuniti Malaysia tentang kepentingan patriotisme dan sifat empunya terhadap ibu pertiwi, segala strategi susahlah berhasil. Memetik kata mantan presiden Amerika Syarikat, John Kennedy,”Usahlah tanya apa yang boleh diberi oleh negara, tetapi tanyalah diri apa yang boleh diberi kepada negara.” Bahawasanya, keranapan hutan batu dan gerbang pintu hanyalah perlu sekelip mata, namun pembinaan tamadun dan negara memerlukan gabungan rakyat murba  yang sehati sejiwa. Ijmalnya, Konsep Bandar Selamat perlulah dibina agar mewujudkan masyarakat yang utopia dan terus mekar di puncak global.