Wednesday, August 5, 2015

tema warisan budaya 2015 - 1 - kepentingan warisan makanan tradisional di Malaysia



11. SMK SERI BINTANG UTARA
Bahagian A  [30 markah] [Masa dicadangkan : 45 minit]
Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan warisan makanan tradisional di Malaysia. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Kepentingan Makanan Tradisional dalam Pembangunan Negara.
    Malaysia terkenal dengan nama timangannya, yakni ‘syurga makanan’ di nusantara. Baik penduduk Malaysia mahupun pelancong asing yang berdarmawisata ke Malaysia semestinya akan rambang mata dengan kepelbagaian juadah khususnya makanan tradisional yang ditawarkan di negara kita. Keunikan dan keenakan makanan tradisional yang dapat kita nikmati sememangnya tiada tolok bandingannya dengan makanan-makanan yang bertaraf antarabangsa. Sebenarnya, makanan tradisional masyarakat majmuk di negara kita seperti sate, mi rebus, masalode, kuetiau goreng, roti canai, lemang, ketupat, nasi beriani dan sebagainya berdaya upaya untuk memacukan pembangunan bangsa dan negara.

            Pertama-tama, industri makanan tradisional dapat melahirkan modal insan yang berjati diri kebangsaan dan patriotik. Hal ini sedemikian kerana makanan tradisional penting dalam meneruskan adat serta warisan budaya yang diwarisi secara turun-temurun oleh nenek moyang masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam konteks masyarakat Malaysia, makanan tradisional merupakan elemen yang penting untuk melambangkan identiti dan keunikan sesuatu budaya dan bangsa. Oleh itu, jikalau anak muda di Malaysia sedar akan keunikan dan keistimewaan budaya masing-masing, maka tidak akan berlakunya kehilangan dan kepupusan budaya serta adat tradisi masyarakat berbilang kaum dalam kalangan anak muda yang lebih dikenali sebagai ‘Generasi Y’ bak kata peribahasa Melayu “biar mati anak, jangan mati adat”. 

            Selain itu, makanan tradisional tempatan juga membantu untuk memajukan industri pelancongan di dalam negara kita. Makanan tradisional seperti sate, roti canai dan nasi ayam Hainan dapat menggamit pelancong untuk datang berkunjung selain menghayati keindahan landskap Malaysia kerana cita rasa Malaysia yang istimewa dan berlainan daripada makanan-makanan di negara asing semestinya dapat menarik perhatian dan membuka selera para pelancong baik pelawat asing mahupun pelancong tempatan. Malahan, terdapat sesetengah pelancong yang melawat ke Malaysia semata-mata adalah untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan tradisional yang kaya dengan pelbagai resipi dan rempah-ratus. “Sudah terang lagi bersuluh”, makanan tradisional berperanan penting dalam usaha menarik pelancong untuk melawat ke negara kita selain pelancaran Kempen Melawat Malaysia 2014 baru-baru ini.

            Di samping itu, makanan tradisional juga mampu untuk menaiktarafkan kehidupan masyarakat khususnya penduduk luar bandar. Makanan tradisional seperti keropok lekor, budu dan kerepek pisang memainkan peranan yang amat penting dalam memajukan industri kecil-kecilan di perkampungan desa. Sebagai contoh, pihak kerajaan telah memperkenalkan “Industri Kecil dan Sederhana”(IKS) di beberapa negeri seperti Kelantan, Perak dan Terengganu yang bertujuan untuk merancakkan hub industri pemakanan tradisional sebagai input dan penjana ekonomi utama penduduk kampung dan sekitarnya. Hasilnya, penduduk luar bandar tidak semata-mata menjalankan ekonomi sara diri secara tradisional seperti menanam padi dan menangkap ikan untuk menyara hidup keluarga tetapi juga berkeupayaan untuk mendirikan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional secara kecil-kecilan sebelum dipasarkan atas bantuan modal dan teknologi oleh pihak kerajaan.

            Seterusnya, infrastruktur dan prasarana di kawasan pinggir bandar dapat dibangunkan atas penubuhan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional yang kian berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini berlaku demikian kerana pembukaan dan penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya dan kemudahan-kemudahan awam yang lain dapat memangkin dan menjana sumber pendapatan rakyat tempatan lebih-lebih lagi hasil  makanan tradisional di desa perkampungan dapat dipasarkan di bandar-bandar besar di seluruh pelosok negara melalui kecekapan sistem pengangkutan dan pemasaran. Tambahan pula, peluang pekerjaan yang banyak dapat diwujudkan hasil daripada pembinaan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional sekali gus menggalakkan penghijrahan penduduk bak kata peribahasa Melayu “di mana ada gula, di situ ada semutnya”. Kesannya, desa akan mengalami proses transformasi sehingga menjadi bandar-bandar besar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kemudahan Internet dan perkhidmatan monorel, LRT dan ETS.

            Industri makanan tradisional turut menjada pendapatan rakyat dan negara. Hal ini sedemikian kerana makanan tradisional diproses dan dibungkus sebelum dieksport ke luar negara. Usaha proaktif ini dapat membawa pulangan yang lumayan sekali gus menambahkan sumber pendapatan rakyat jelata. Makanan tradisional Malaysia seperti dodol, kuih bahulu dan kuih kapit turut dapat dipromosikan ke seluruh pelosok dunia dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat antarabangsa. Sambutan yang hangat daripada masyarakat luar negara bukan sahaja akan memajukan industri makanan tradisional tempatan bahkan juga berdaya saing untuk menjana pendapatan yang lumayan kepada rakyat dan negara.
  
            Dari perspektif yang lain pula, industri makanan tradisional juga berkemampuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan keturunan. Hal ini demikian kerana makanan tradisional suku kaum tertentu turut dapat diterima dan dinikmati bersama-sama oleh bangsa-bangsa lain di negara kita. Sebagai contoh, makanan tradisional seperti roti canai bukan sahaja digemari oleh suku kaum tertentu tetapi juga diminati oleh kaum-kaum yang lain di negara kita. Mereka dapat duduk semeja untuk menikmati makanan tradisional tersebut bertemankan secawan teh atau kopi sambil berbual-bual dalam suasana yang muhibah. Hal yang sedemikian dapat membuka laluan kepada usaha-usaha murni kerajaan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat atau masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini sekali gus memupuk dan mengukuhkan perpaduan sejajar dengan slogan keramat, yakni perpaduan asas kemajuan. 

            Tuntasnya, industri makanan tradisional memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan bangsa dan negara selain merupakan wahana yang efektif untuk mempromosikan keistimewaan dan keunikan yang dimiliki masyarakat majmuk di negara kita di pentas antarabangsa. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Oleh sebab itu, semua pihak termasuklah rakyat jelata haruslah berganding bahu untuk memajukan industri pemprosesan makanan tradisional sehingga peringkat antarabangsa. Sudah tiba masanya, rakyat berbilang ras dan agama mengambil tahu, belajar memahami dan menghargai keunikan dan keistimewaan makanan tradisional masyarakat Malaysia dalam proses pembangunan bangsa dan negara sekali gus seiring sejalan dengan kerajaan untuk merealisasikan Wawasan 2020.
 

Tema kesihatan 2015 - 3



1.MRSM 2013 2.  
Selaku pegawai kesihatan daerah, anda diminta untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Amalan Baik Penjagaan Kesihatan’ sempena Hari Kesihatan Sedunia kepada masyarakat setempat. Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,
Terima kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengerusi Badan Musyawarah Masyarakat Taman Perdana Sejahtera, Yang dihormati ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Hadirin sekalian,
                Orang tua-tua sering mengungkapkan bahawa, kesihatan itu ialah harta yang paling bernilai daripada wang ringgit dan harta benda. Sementara itu, dalam sepotong Hadith Nabi turut diungkapkan akan nilai kesihatan adalah amat bermakna, seperti sabda baginda, “Jagalah masa sihatmu sebelum tiba sakit”. Apabila diteliti daripada dua ungkapan tersebut, justeru tanggungjawab menjaga kesihatan amatlah diberi penekanan sama ada dalam bidang agama malah masyarakat. Walau bagaimanapun, dalam dunia yang penuh pancaroba dan manusia sentiasa diancam kesibukan, pelbagai ragam kehidupan telah mendatangkan pelbagai ancaman terhadap kesihatan. Oleh hal yang demikian, dengan peluang yang diberkan ini, saya ingin berkongsi maklumat dengan hadirin sekalian tentang gaya hidup yang positif berdasarkan polisi ilmu kesihatan.

Tuan-tuan dan puan yang dihormati sekalian,
                Banyak orang yang berfikir bahawa terminologi sihat itu hanya terletak kepada tubuh badan yang sihat tegap dan sasa. Sebenarnya kesihatan adalah merangkumi kesejahteraan fizikal dan rohani iaitu yang meliputi tubuh badan, mental, emosi, dan rohani. Untuk memperoleh kesihatan seumpama itu, justeru setiap individu hendaklah memberikan perhatian dalam semua aspek kesihatan. Penjagaan fizikal yang sihat seperti memperoleh makanan yang berzat dan seimbang adalah amat penting. Hal tersebut memang penting kerana minda dan emosi yang sihat adalah terjana daripada tubuh badan yang sihat.

                Prasyarat terpenting untuk memperoleh kesihatan fizikal, kita hendaklah sentiasa peka terhadap alam sekitar. Dengan kata lain, kawasan sekitar hendaklah sentiasa bersih, bebas daripada sebarang anasir penyakit. Bagi memastikan persekitaran sentiasa dalam suasana bersih, amalan menjaga kebersihan seperti sistem pembuangan sampah yang teratur hendaklah dititikberatkan. Alam sekitar perlu dijaga juga terutama dalam aspek pelesterian iaitu penjagaan alam semula jadi.

                Dalam dunia yang kaya dengan sistem maklumat dan akses maklumat yang semakin canggih pula, kita haruslah proaktif mencari info tentang  kesihatan. Maklumat sama ada yang berkaitan dengan penularan penyakit-penyakit baru, serangan wabak penyakit yang berpunca daripada bawaan seperti Selesema Burung, SARS, dan pelbagai penyakit berbahaya harus diketahui. Selain mengetahui pelbagai jenis penyakit dan bahaya penularannya, kita wajar mendalami kaedah-kaedah penjagaan penyakit. Hal ini tepat seperti pepatah Inggeris yang menyatakan mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubat. Dengan kemudahan teknologi tersebut kita mampu mengakses sumber maklumat primer untuk mengawal penyakit. Sesungguhnya tanggungjawab membendung pelbagai gejala penyakit bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa kerajaan sahaja malah tanggungjawab tersebut harus dipikul oleh individu atau organisasi terutamanya NGO.

                Aspek pemakanan turut menjadi penentu kadar serangan penyakit kepada individu. Pengambilan makanan yang tidak seimbang terutama gula dan lemak sebenarnya telah mendedahkan diri kita kepada pelbagai bahaya. Memanglah jikalau diturut ‘hukum lidah’ setiap yang manis dan lemak itu sedap dan berselera, namun kesengsaraan yang bakal ditanggung oleh badan harus difikirkan juga. Pada hari ini isu pengambilan makanan segera sedang meledak di tengah-tengah polemik masyarakat. Pelbagai pihak memberikan pelbagai reaksi yang bebeza apabila Kementerian Kesihatan tampaknya cukup tegas mahu membatalkan semua lesen pengiklanan makanan segera. Walaupun tindakan Kementerian Kesihatan itu dianggap terlalu drastik dan boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif terhadap ekonomi negara, tetapi kita harus berfikir bahawa reaksi tersebut memberi isyarat bahawa pelbagai gejala penyakit yang berpunca daripada bawaan makanan turut menjadi ancaman besar kepada kesihatan sejagat.

Hadirin sekalian
                Seperkara lagi yang wajar diberi perhatian serius oleh masyarakat adalah berkaitan dengan langkah membendung pelbagai gejala penyakit. Kita harus membuang budaya salah apabila sakit baru hendak berjumpa doktor. Doktor bukan sahaja berfungsi sebagai penyembuh penyakit, sebaliknya mereka amat profesional sebagai perunding dalam mengawal penyakit. Namun keadaan sebalik yang berlaku apabila majoriti daripada masyarakat hari ini akan hanya berjumpa doktor apabila sudah tiada harapan sembuh lagi. Ada segelintir pihak pula enggan berjumpa doktor kerana takut penyakit terpendam akan terbongkar. Daripada terpaksa memendam rasa kerana mengetahui menghidapi pelbagai masalah kesihatan, mereka berpendapat lebih baik tidak diketahui langsung. Akhirnya ramai yang menemui ajal sedangkan kemungkinan boleh diselamatkan sekiranya diketahui lebih awal. Oleh itu, kita wajar mengubah tanggapan yang salah itu dengan cara berusaha mengesan dan mengenal pasti punca penyakit yang mungkin boleh mengancam nyawa kita.

                Selain itu, tabiat merupakan bawaan sepanjang hayat oleh seseorang itu. Sekiranya dia mengamalkan tabiat yang baik, natijahnya baiklah seluruh amalan hidupnya. Sebaliknya jikalau habit yang buruk menjadi bawaan nescaya individu itu akan menanggung sengsara seumur hayat. Hal demikian amat berkait rapat dengan usaha mengubah gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pemabuk, dan makan secara membujur lalu melintang patah. Ubahlah kepada tabiat yang sihat seperti bersenam secara berjadual, mengawal emosi, dan bergaul dengan rakan-rakan yang berfikiran positif. Semua yang tersebut boleh membantu menstabilkan kesihatan kita memperoleh umur yang panjang. Ingatlah kita kepada nasihat pepatah iaitu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku bahaya padahnya.
Sekian terima kasih.

Tema kesihatan 2015 - 2




Anda telah dipilih untuk mewakili sekolah dalam suatu pertandingan pidalo anjuran Majlis Kesihatan Sedunia Malaysia. Anda telah memilih tajuk, “Rakyat Sihat Negara Sejahtera”.Tulis teks pidato anda itu selengkapnya.
            Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar, Yang Berusaha Pengetua-pengetua Daerah Kota Setar, yang bijaksana lagi adil barisan jemaah pengadil, guru-guru yang dihormati, dan seterusnya saudara saudari rakan-rakan seperjuangan.

Para hadirin yang saya muliakan,
            Berpegang pada maksud sepotong hadis, iaitu “Dapatkanlah lima perkara sebelum kamu kehilangan lima perkara.” Lima perkara tersebut ialah masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa senang sebelum susah, dan masa hidup sebelum mati . Berdasarkan kelima-lima pesanan tersebut, perihal sihat menjadi salah satu agenda utama dalam membangunkan umat yang berkualiti dan produktif. Selaras dengan seruan tersebut, saya sebagai remaja yang gagah perkasa ini bangun untuk mengupas sesuatu frasa yang menjadi tajuk pidato, iaitu “Rakyat Sihat Negara Sejahtera”. “Rakyat Sihat Negara Sejahtera” ialah frasa yang mendukungi maksud sebuah negara yang memiliki rakyat yang sihat dari aspek mental, fizikal, rohani, dan emosi. Kesihatan tersebut pula menatijahkan suatu fenomena yang positif bagi membina sebuah negara yang progresif dan dinamik dengan rakyatnya yang hidup dalam suasana yang sejahtera. Sesungguhnya, kesimpulan yang dapat saya rumuskan daripada ungkapan “Rakyat Sihat Negara Sejahtera” ialah rakyat dan negara umpama lagu dan melodi yang saling bergantungan dan saling memerlukan demi membentuk suatu tempo yang artistik serta estetik.

Rakan-rakan seperjuangan sekalian,
            Tokoh-tokoh pujangga pernah menyatakan, “Sesungguhnya nikmat sihat itu sebenarnya berada pada seseorang yang sakit”. Menelusuri maksud tersirat daripada ungkapan tersebut jelaslah bahawa kesihatan merupakan suatu modal yang amat berharga dalam hidup kita. Ingatlah bahawa kesihatan bukanlah barang dagangan yang dapat dijual beli. Kesihatan merupakan anugerah yang paling mahal daripada Tuhan. Sebagai makhluk yang dikurniai Tuhan akal fikiran yang waras, maka sudah sewajarnya kita menjaga anugerah itu. Dengan nikmat sihat, kita dapat hidup gembira, belajar, bekerja, beribadat serta berbakti kepada nusa dan bangsa.

Saudara dan saudari sekalian,
            Amalan hidup sihat merupakan penyumbang secara langsung kepada peningkatan ekonomi negara. Selain pendidikan dan pertahanan, kesihatan ialah sektor yang ketiga terbesar menerima peruntukan belanjawan negara. Hal tersebut menunjukkan bahawa kesihatan telah menjadi agenda terpenting untuk menentukan tahap maju mundurnya sesebuah negara.

            Amatlah malang bagi sesebuah negara sekiranya mutu kesihatan rakyatnya terlalu rendah. Wang negara yang sepatutnya dapat disalurkan ke sektor lain yang lebih penting terpaksa digunakan untuk mengatasi masalah kesihatan. Adakah kita sudah lupa akan peristiwa hitam yang hampir memporak-perandakan seluruh Asia pada tahun 2001 dan tahun 2002 dahulu? Peristiwa yang hampir meruntuhkan sama sekali industri pelancongan di Singapura dan China apabila wabak SARS melanda negara- negara tersebut. Demikianlah betapa besarnya pengaruh kesihatan kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Hadirin hadirat sekalian,
            Rakyat yang banyak, yang cerdik, yang sihat, dan yang kreatif lagi inovatif ialah aset negara yang tidak ternilai harganya. Dalam tangan merekalah terletak mandat委托 untuk memacu negara bagi mencapai matlamat sebuah negara maju, moden, dan tersohor menjelang tahun 2020 nanti. Kita tidak betah untuk berhadapan dengan rakyat yang daif, naif, dan tidak mempunyai apa-apa agenda untuk negara ketika panggilan dan seruan untuk memajukan negara berkumandang di sana sini. Dalam hal ini, kita tiada sebarang pilihan melainkan melaksanakan tugas untuk melahirkan rakyat yang sihat fizikalnya, cerdas mindanya, harmoni emosinya, mahir kreativitinya, dan produktif ideanya. Demi menterjemahkan kejayaan matlamat tersebut, maka kualiti kesihatan setiap rakyat perlu mencapai tahap yang optimum dengan cara menyemarakkan slogan, “Rakyat Sihat Negara Sejahtera”.

Rakan-rakan sekalian,
            Bertitik tolak daripada tiga terminologi术语 kepentingan kesihatan di atas, maka program menjana kesihatan rakyat yang berkekalan perlu dilaksanakan. Langkah utama hendaklah bermula daripada sikap dan tindak tanduk kita sendiri. Sikap yang positif dalam membentuk kerangka kesihatan yang berpanjangan hendaklah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

            Gaya hidup sihat merujuk kepada kesempurnaan sama ada dari aspek fisiologi, mental, atau emosi. Aspek fisiologi 生理学merujuk kepada sistem pengurusan biologi tubuh badan yang sihat mengikut sistem diet yang seimbang. Aspek mental pula ialah keupayaan kita memanfaatkan kekuatan minda untuk menukilkan摘录 perkara-perkara yang baik, manakala dalam konteks emosi pula kita dapat mengawal perasaan agar tidak bertindak menuruti nafsu ibarat membujur lalu melintang patah. Inilah yang dimaksudkan dengan keseimbangan dari aspek fizikal, mental, dan emosi.

Hadirin yang dihormati,
            Secara relatifnya, kehidupan kita saling bergantungan dengan faktor alam sekitar. Oleh hal yang demikian, agenda kesihatan yang amat penting ialah menjaga kesejahteraan alam sekitar daripada sebarang pencemaran dan kemusnahan. Alangkah aneh dan malang, ketika kita berbicara tentang kepentingan alam, namun satu demi satu komponen alam dimusnahkan angkara manusia yang tidak prihatin.

            Dewasa ini, kita sedang berhadapan dengan masalah sungai tercemar teruk, kawasan perairan pantai yang dicemari toksik, pembakaran terbuka, dan tanah runtuh. Sesungguhnya, fenomena ini benar-benar menuntut keinsafan kita agar kembali menjaga kebersihan seandainya kesihatan dan kesejahteraan hidup yang menjadi pilihan kila. Sebenarnya kesemua elemen pencemaran dan kemusnahan itu adalah jerangkap samar陷阱 yang pada bila-bila masa dapat memusnahkan kesejahteraan kita.

Hadirin sekalian,
            Menjejaki fasa penutup bicara saya, marilah kita bersama-sama menghayati sepotong maksud ayat al-Quran yang berbunyi, “Segala kerosakan yang akan laku sama ada di laut atau di darat adalah berpunca daripada angkara bikinan tangan manusia itu sendiri.” Demi alam yang kita miliki, demi kesihatan yang kila rasai, dan demi kehidupan yang kita nikmati, ingatlah bahawa nikmat sihal itu merupakan harta yang tidak boleh diperdagangkan. Sekian, terima kasih.