Sunday, July 12, 2015

Percubaan SPM 2015 - 9



Perlis 2013
Bahagian A [30 markah][Masa dicadangkan : 45 minit]
AMALAN NILAI MURNI
Menghormati Ibu bapa 
Keprihatinan terhadap warga tua 
Tanggungjawab membantu guru

Ketinggian peribadi jadi amalan.
Ketelusan hati jadi bekalan.
Kekuatan sifat baik hati.
Bertimbang rasa dan bersimpati.
          Gurindam Tonggak 12 di atas mentakrifkan bahawa amalan mahmudah merupakan terapi jiwa dan pengikat ukhwah antara komuniti. Sesungguhnya, amalan ini seyogianya ditelusuri turun-temurun lantaran keindahan budi dan kemolekan bahasa sinomin dengan lambang warisan tradisi nenek moyang kita dan perlu dilestarikan agar tidak luput dalam kenangan generasi akan datang, bak pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. 
          Memetik sepotong hadis dalam Riwayat al Bukhari dan Muslim, ”anak dilahirkan secara fitrah, ibu bapalah yang mencorakkannya menjadi Majusi, Yahudi atau Nasrani.” Bahawasanya, anak merupakan penyeri dan penyambung zuriat kedua-dua insan yang bergelar ibu bapa. Tanpa keserian rumah tangga yang ditunjangi oleh anak soleh atau solehah, keluarga ini bagai musafir yang dahagakan air. Budaya menghormati dan menyayangi ibu bapa merupakan tuntutan semua agama. Kata-kata pujangga, ” syurga di bawah telapak ibu”, ” tangan yang menggerakkan buaian mampu menggegarkan dunia.” ” sayang ibu dibawa ke syurga, kasih ayah sampai ke mati” memanifestasikan bahawa betapa mulianya kedua-dua insan yang mampu melahirkan dan menbesarkan anak tanpa mengenal pahit maung dan penat lelah. Tanpa kesinambungan kasih sayang dalam rumah tangga, pembangunan bangsa di buana ini akan sampai ke penghujung. Bagi ibu bapa, sebusuk-busuk daging dikincah, dimakan juga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Keredaan Allah ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya.” (Hadis riwayat al-Tabrani) Sebagai anak mithali, perlu bersemat di hati bahawa setiap manusia sentiasa mendambakan kehidupan bahagia apatah lagi ketika usia senja. Alangkah nikmatnya kehidupan hari tua di samping orang tersayang selepas puas membanting tulang membesarkan zuriat pada usia muda.


                   Kajian mendapati, peratus warga tua akan terus meningkat kepada 9.5 peratus menjelang 2020. Pada 2020, jangka hayat lelaki diunjurkan 75.4 tahun dan wanita 80.4 tahun. Berbuat baik dan berbakti kepada orang tua adalah amalan mulia. Jiwa seorang warga tua dilihat lebih sensitif daripada kanak-kanak kecil. Hati mereka mudah tersentuh dan tersinggung jika hasrat mereka tidak dipenuhi anak-anak. Keadaan ini fitrah manusia yang boleh dilihat seolah-olah kembali ke zaman kanak-kanak apabila usia lanjut.  Keprihatinan terhadap kebajikan mereka dari segi keperluan asas, kasih sayang, dan penghormatan amatlah dituntut dan berasaskan teori Classer dan Hirarki Keperluan Maslow. Dalam sepotong hadis Rasulullah yang bermaksud: “Amalan yang paling utama ialah bersembahyang pada waktunya. Kedua, berbakti kepada kedua-dua orang tua. Ketiga, berjuang pada jalan Allah.” Sebagai makhluk yang diberkati dan direda Tuhan, ingatlah bahawa setiap jalan telah ditakdirkan oleh Tuhan, dan setiap pembangunan telah dijejaki oleh warga tua yang banyak berjasa. Tanpa yang lama, di manakah golongan yang baharu?Kenangan terhadap budi mereka bukanlah sekadar pelafazan secara lahiriah, tetapi keikhlasan yang mendalam seperti yang tersirat dalam pantun di bawah;

Pulau Pandan jauh di tengah;
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah;
Budi baik dikenang juga.

          Sasterawan Negara Usman Awang dalam sajak ’Guru, Oh Guru’ melafazkan pengiktirafan kepada guru yang sanggup membakar dian demi menerangi orang lain tanpa menagih sebarang balasan. Sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Tuhan, setiap manusia perlulah merendah diri terhadap ilmu dan guru, menurut perintah guru dan mentaati bimbingan guru selagi hayat dikandung badan.  Anak didik perlulah memandang guru dengan perasaan penuh takzim serta mempercayai kepakarannya dalam bidang perguruan. Imam Syafie sejak pertemuan dengan guru iaitu Imam Malik, hampir tidak pernah meninggalkan gurunya sehingga gurunya wafat. Tanpa kelahiran tanggungjawab untuk berkhidmat kepada insan yang pernah berbakti kepada kita, rahmat dan kesejahteraan dalam hidup tidak akan dilimpahi dalam kehidupan kita. Menuntut ilmu ialah amalan ibadat dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Rasulullah bersabda:“Barang siapa mencari ilmu untuk bertengkar akan masuk neraka.Pintu Syurga akan terbuka kepada sesiapa yang membaca” Mukhtasarnya, teraplah budaya berterima kasih kepada guru atas segala tunjuk ajar dan tegurannya sementelahan mengganggap keprihatinan guru itu sebagai rahmat dan kurniaan yang tak terhingga.
               

        Akhirul karam, hidup di dunia ini ibarat roda, hari ini di atas, kemungkinan esok di bawah. Maka, sifat tawaduk dan bertawakal akan mendekatkan diri kepada keberkatan Tuhan yang Maha Esa. Amalan mulia merupakan tuntutan agama yang semata-mata menjadi azimat mujarab untuk melindungi diri dan sekali gus memastikan pintu syurga terbuka di akhirat nanti.

Saturday, July 11, 2015

spm percubaan 2015 - 8



Soalan 1. Semangat patriotik perlu ada dalam diri generasi muda pada hari ini kerana mereka bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh remaja untuk memupuk patriotisme dalam diri mereka.

          Tanggal 31 Ogos 1957, laungan merdeka telah menggegarkan rakyat Tanah Melayu untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajah asing yang diibaratkan lintah yang menghisap darah. Dasar pecah dan perintah  yang diamalkan oleh penjajah British gagal membantutkan semangat nasionalis dalam kalangan anak Melayu yang berpatriotik padu . (I) Walakin begitu, selepas menghela nafas kemerdekaan selama 58 tahun, kita mendabik dada untuk mencapai status negara yang berdaya maju, namun semangat patriotik untuk bertapak di bumi yang bertuah ini nampaknya semakin luput dalam kalangan anak watan pewaris bangsa. (K) Walhal, rombakan sistem pendidikan dengan usaha melahirkan generasi pelapis yang beridentiti nasional dan berpatriotik telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lagi, antara lainnya PLKN, program RIMUP, Dasar Perpaduan Nasional, Akta Hasutan ISA dan sebagainya, namun dalam dasar benak setiap lapaisan marhaen, tertanya-tanya akan sejauh manakah modus operandi ini berjaya menganjak paradigma muda-mudi tentang betapa pentingnya patriotisme dalam memastikan kelangsungan nusa dan bangsa? (K)

          Dalam perkataan bahasa Arab, sejarah bermaksud syajaratun, iaitu pokok atau peristiwa yang berdasarkan fakta yang sahih serta berkaitan dengan kesan dan akibat perbuatan manusia. KPM mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai teras pelajaran dan syarat kelulusan dalam peperiksaan SPM sebenarnya telah menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat amnya. Sebagai pewaris negara, kefahaman yang mendalam tentang salasilah sesebuah negara, masyarakat dan keluarga akan membangkitkan kesedaran untuk menjejaki susur galur golongan leluhur. Kata pujangga, tiada lama, tidak akan ada yang baharu. Sesungguhnya, sejarah merupakan iktibar yang perlu diambil oleh generasi baharu,  perjuangan wira negara untuk menegakkan kedaulatan negara telah menyedarkan generasi muda bahawa jatuh bangun sesebuah negara bergantung pada komitmen dan patriotisme mendalam dalam kalangan rakyat jelata. Memetik kata Tun Dr Mahathir Mohammad,” tidak mengulangi kesalahan jika memahami sejarah.” , remaja perlulah didedahkan tentang pengorbanan yang telah ditaburkan oleh golongan lelulur demi membangunkan Tanah Melayu. Tanpa mengenal pahit maung dan jerih perih, mereka meneroka hutan di nusantara sehingga tersergamlah bangunan pencakar langit yang mengagumkan penduduk jagatraya. Tegasnya, ilmu Sejarah bukan untuk penghafalan semata-mata namun perlulah diselit dengan perasaan patriotisme yang mendalam supaya melahirkan generasi muda yang berbangga dengan setiap darah yang ditumpah oleh para tokoh negara.

          Dalam sudut lain, semangat patriotik merupakan teras kekuatan masyarakat dan sendi ikatan kesatuan antara individu dengan komuniti yang multiagama, multibudaya dan multietnik. Walhal, kasih sayang merupakan sifat Tuhan yang menjadi anutan manusia. Sifat tersebut merupakan limpahan rahmat-Nya kepada setiap makhluk di buana ini untuk memperjuangkan kelangsungan bangsa dan nusa. Sesungguhnya, sebagai generasi pelapis, kita mesti memahami bahawa mencintai nusantara merupakan sebahagian daripada keimanan.Secara fitrahnya, setiap insan memerlukan tempat berteduh dan memerlukan kasih sayang yang mendalam, sama ada terhadap negara, manusia mahupun alam sekitar. Hubungan dengan kasih sayang terhadap negara ibarat lagu dengan irama yang saling bergantungan dan hidup secara simbiosis demi menghasilkan tempo yang syahdu. Tanpa sifat mahmudah ini, perasaan salah faham, dendam kesumat yang berpaksikan hukum bersultan di hati, beraja di mata   akan mengaburi akal budi manusia. Amsalnya, pada tahun 13 Mei 1969, rusuhan kaum telah tercetus lantaran  salah faham dan hasutan yang tidak diselesaikan melalui muafakat dan perundingan. Darurat ini telah menyebabkan kebakaran pawagam Odeon di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sekitar Chow Kit. Remaja pada zaman pascamerdeka mestilah mengambil iktibar ini supaya memahami semangat patriotik mampu mewujudkan kemersaan, muhibah, mawaddah antara kaum yang heterogen, bak pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

          Tun Dr Mahathir telah melancarkan Kempen Beli barangan Tempatan pada tahun 1984 dan dijenamakan semula pada tahun 1998. Kempen Belilah Barangan Tempatan baru-baru ini dilancarkan semula oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Sebagai pelapis negara, nilai patriotisme dapat disuntikkan melalui penyemaian tentang kepentingan membeli produk tempatan dan diperkenalkan jenama yang dapat melambangkan kecanggihan teknologi negara. Sebagai contohnya, rantaian francais seperti Merry Brown, Oldtown, Ayamas dapat dipasarkan di seantero pelosok dunia, produk tempatan makin bertempat di hati penduduk global dan lokal. Produk pakaian seperti PADINI, BONIA dan kasut berjenama BATA semakin terkenal di negara luar sebagai produk yang berkualiti tinggi. Logo Buatan Malaysia bukan sahaja menunjukkan kebanggaan rakyat Malaysia malahan menggembleng kudrat rakyat tempatan yang padu untuk menjenamakan produk dan nama negara di peringkat antarabangsa. Lebih-lebih lagi, teknologi semikonduktor hasilan negara Malaysia memanglah bertempat di pasaran global, inikan pula produk automotif seperti PROTON dan motor enjin Formula1 yang mampu mengungguli produk keluaran negara lain. Sudah tepat pada masanya, barisan remaja diasuh untuk mengamalkan budaya kreativiti dan inovatif supaya menghasilkan produk atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan. Dasar Pandang ke Timur menunjukkan kesungguhan dan kebijaksanaan Tun Dr Mahathir untuk menonjolkan negara Jepun dan Korea yang selalu berbangga dengan teknologi sendiri. Kini, jenama Korea dan Jepun telah melambak dalam pasaran global, satu hari nanti, kita berharap agar kejayaan yang ternanti-nanti di negara kita yang mampu melahirkan produk yang berlogo buatan Malaysia dan mengibar-ngibarkan bendera Malaysia di setiap acara temasya sukan antarabangsa.
         
          Dalam buku “Malaysia hilang di dunia’ oleh Khalid Malek, sifat empunya dan kekitaan yang mengurang akan menyebabkan krisis identiti dan kecelaruan minda dalam kalangan remaja. Dalam konteks ini, Gagasan 1Malaysia yang diuar-uarkan sejak tahun 2009 perlulah diperkukuh agar meneguhkan jati diri dalam kalangan remaja. Prof Dr Naquid Al-Attas menegaskan bahawa kenipisan keimanan menyebabkan krisis identiti dalam generasi muda. Amsalnya, generasi muda sanggup menghinakan kedaulatan sistem diraja dan Perlembagaan Persekutuan demi mengagung-agungkan budaya kebaratan yang ditinggalkan oleh penjajah asing. Selepas dijajah selama 446 tahun, penularan fahaman mereka telah melanda kehidupan kita secara tidak disedari. Maka, peneguhan jati diri tidak wajar ditangguhkan lagi. Sifat keterbukaan untuk mengakulturasi dan mengadaptasi  terhadap setiap perbezaan dan ketidaksefahaman tentang adat resam, pantang larang, warisan tradisi yang heterogan akan merapatkan ikatan pepaduan sekali gus melakukan perkongsian etos untuk memacu pembangunan ekonomi negara. Ijmalnya, tanpa jati diri bangsa, generasi muda akan terperangkap dalam konflik perkauman dan pidana yang merosakkan negara tanpa segan silu. Kini, remaja kita tidak wajar terhanyut dalam dunia fata morgana lagi tanpa memikirkan nilai patriotisme untuk hidup dengan merdeka baik dari segi kenegaraan mahupun dari sudut mentaliti rakyat jelata. Laungan lagu negaraku patutlah dihidupsuburkan dalam setiap majlis perasmian negara.


          Akhirnya dan tidak kurang penting ialah remaja perlulah didedahkan dengan cerita pengorbanan dan jasa yang telah ditaburkan oleh para ikon kenegaraan. Demi memperjuangkan kemerdekaan, Rosli Dolby sanggup bersenjatakan pisau untuk melukakan penjajah British Sir Duncan Stewerd di Bumi Kenyalang. Keberanian Rosli Dolby telah memahamkan generasi muda bahawa yang kecil sangat disangkakan anak, yang besar jangan disangkakan bapa. Pada zaman penjajahan asing, ikon kebangsaan negara seperti Datuk Bahaman, Tuk Janggut, Dol Said, Datuk Maharajalele dan sebagainya telah berkorban demi membebaskan negara daripada belenggu asing yang menagih kekayaan dari negara kita. Kita perlu menghayati maksud yang tersirat dalam peribahasa biar putih tulang, jangan putih mata. Hidup di negara yang berdaulat akan melahirkan anak watan yang betul-betul berdikari dan mampu berkhidmat kepada negara tanpa mengenal jemu. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Sekali lagi, kata orang tua-tua ini memanifestasikan hidup pokok biar berkayu, hidup manusia biar berjasa. Tanpa hidup dengan bermaruah tinggi dan mendabik dada sebagai rakyat yang bernilai tinggi, kita akan mengulangi penganiayaan yang berlaku pada pelari mangsa Rohingya yang hdup tanpa bermaruah  bagai melukut di tepi gantang atau hidup segan mati tidak mahu. Kejayaan Jimmy Choo untuk menakluki bidang fesyen di London sehingga dianugerahi oleh Ratu Elizeberth menandakan rakyat Malaysia berpotensi besar untuk bermaju ke hadapan lagi.

Akhirul kalam, tanpa negara, di manalah kita yang kerdil? Memetik kata presiden John Kennedy, “ jangan tanya apa yang akan diberi oleh negara, tetapi apakah yang boleh disumbang kepada negara.” Hidup manusia kini dipenuhi dengan nikmat anugerah Tuhan sehingga kealpaan untuk mensyukuri nikmat yang telah dilimpahi. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sayang seribu kali sayang, rata-rata generasi kini sanggup meninggalkan kampung halaman dan berkhidmat di luar negara sedangkan mereka ditawarkan bantuan biasiswa JPA, tanpa barisan generasi muda yang berintelektual tinggi, negara kita akan ketinggalan dan kejumudan tanpa sebarang kemajuan. Ingatlah, setinggi-tinggi bangau terbang, akhirnya hinggap di belakang kerbau jua. Janganlah kita sekali-kali membelakangkan tanggar amanat golongan leluhur tetapi hidup bertunjangkan doktrin Rukun Negara, iaitu
Kepercayaan kepada Tuhan
kesetiaan kepada raja dan negara
Kesopanan dan kesusilaan
Kedaulatan undang-undang
Keluhuran perlembagaan
Sebagai penutup bicara, pemuda-pemudi aset negara, janganlah harapkan pagar pagar makan padi, ikutlah pesanan dalam lagu rasmi,
Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup,
Bersatu dan maju,
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,

Thursday, July 9, 2015

SPM Percubaan 2015 7



Kes salah laku disiplin seperti vandalisme, buli dan tidak menghormati guru kerap berlaku di sekolah belakangan ini. Situasi ini menggambarkan amalan budaya penyayang semakin luntur dalam kalangan pelajar.Sebagai seorang pelajar yang bertanggungjawab jelaskan peranan anda dalam memupuk budaya penyayang di sekolah.
       Budaya penyayang selaras dengan aspirasi yang tertera dalam Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad. Pada tahun 2003, Sekolah Penyayang telah ditubuhkan oleh KPM yang bertujuan untuk menangani masalah kes salah laku disiplin dalam kalangan pelajar. (I) Menurut statistik yang dikeluarkan oleh KPM bahawa dari Jan hingga Jun 2014, sebanyak 13359 kes salah laku pelajar telah dilaporkan, antara lain ialah jenayah berat, jenayah indeks dan jenayah jalanan. MCPF (Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia ) mengesan jenayah pelajar tercicir sekolah turut meningkat iaitu daripada 849 orang pada tahun 2012 kepada 2,011 orang (2013). (K) Memandangkan keseriusan tahap disiplin yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar, PPPM( 2013-2025) telah menyasarkan 6 aspirasi yang perlu dilengkapi oleh anak bangsa, iaitu mempunyai kemahiran berfikrah, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa di samping berilmu, beridentiti nasional dan beretika. (U) Menurut kata mantan Presiden Indonesia, Surkarno bahawa ingin meramalkan masa depan sesebuah negara memandanglah keadaan remaja pada hari ini. Persoalannya,sejauh manakah saya sebagai peneraju tampuk kepimpinan negara menggalas obligasi mutlak untuk menyemarakkan budaya penyayang di sekolah?
Ks-situama, hi kiki ja fit – PBS – hubungan - MMM
       Memanglah tepatnya teori Hieraki Maslow dan Glasser bahawa keperluan asas manusia ialah kasih sayang. Secara fitrahnya, kasih sayang sinonim dengan kehidupan hakiki manusia yang tidak dapat hidup bersendirian. Dari segi keagamaan, nilai kasih sayang merupakan sifat Tuhan yang menjadi anutan manusia. Sifat tersebut merupakan limpahan rahmat-Nya kepada makhluk di buana ini, sebagai amsalnya, Imam Ghazali menegaskan anak sebagai kain putih, terpulanglah corak didikan daripada orang tua. Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Nabi Muhammad pernah menegaskan bahawa orang yang tidak mengasihi kanak-kanak tidak akan diberkati atau menyalahi perundangan Islam. Maka, saya sebagai hamba-Nya, mestilah saya memahami bahawa nilai kasih sayang ialah terapi jiwa dan perawat segala konflik semasa mengendalikan bahtera di tengah samudera. Tanpa kasih sayang, perasaan salah faham, dendam kesumat yang berpaksikan hukum beraja di mata, bersultan di hati yang akan mengaburi pertimbangan dan akal budi seseorang. Pada tahun 2009, Mohd Hadzrin Mohamad telah dibelasah sehingga koma 8 hari sebelum menemui ajal ekoran berebut kasih di sekolah berhampiran Cheras. Kes ini telah membangkitkan kesedaran warga sekolah dan masyarakat setempat tentang perlunya nilai kasih sayang dalam kehidupan seharian khasnya di sekolah.

Kera sir di padang sar AIA
       Sementara itu, saya juga akan menerapkan konsep Kepimpinan Melalui Teladan yang telah dipelopori oleh Tun Dr Mahathir Muhammad sejak tahun 1983. Sekolah Penyayang meliputi 5 eleman maslahat iaitu persekitaran, pengurusan, warga sekolah, ibu bapa, dan komuniti. Dalam konteks ini, saya sebagai pemimpin pelajar, mestilah memanfaatkan setiap projek yang dijalankan di bawah seliaan barisan pentadbir sekolah. Contohnya, saya akan menggunakan platform yang disediakan untuk mengerahkan dan merangsang rakan seperjuangan saya untuk menjayakan projek yang berkaitan dengan kelestarian persekitaran seperti sekolah lestari,taman botani, kelasku rumahku, pertandingan tandas berbintang lima, Program Indahnya sekolah dan sebagainya.Sebagai pemimpin pelajar sama ada selaku pengawas atau penggerak aktiviti, saya akan menyumbangkan idea atau memberikan penghargaan kepada setiap penyumbang idea semasa melaksanakan setiap projek yang berdaya upaya untuk mewujudkan persekitaran  kondusif di alma mater.  Mukhtasarnya, konsep ini perlu difahami sehingga akar umbinya kerana serasi dengan falsafah keislaman yang terkenal dengan prinsip beribadat, berakidah dan berakhlak supaya disenangi dan disegani oleh semua orang seperti gurindam di bawah;
Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadi sempadan.
Menjadi kewajipan menjalankan tugas,
Kesederhanaan tetapi penuh tegas.

IKON – guru/ program/ rakan
       Sekolah penyayang juga berkonsepkan kemesraan, muhibah dan mawaddah antara warga sekolah. Hubungan dengan kasih sayang ibarat lagu dengan irama yang diilhamkan oleh Allahyarham Seniman P Ramlee. Maka, saya mestilah menaburkan kasih sayang yang sejati kepada para warga pendidik yg sanggup membakarkan diri untuk menerangi orang lain. Usman Awang( Sasterawan Negara) pernah menukilkan bahawa perdana menteri, ulama, penulis, doktor, penguam, raja dan sebagainya dididik oleh seorang manusia yang bergelar sebagai guru. Guru memanglah perlu dimartabatkan supaya semua anak didik mensyukuri setiap pengorbanan dan jasa mereka yang tanpa mengenal jemu. Justifikasinya, untuk mewujudkan pembelajaran yang kondusif, masalah kes salah laku dalam kalangan pelajar mestilah ditangani melalui Kelab Pencegahan Jenayah, Pembimbing Rakan Sebaya, dan Lembaga Disiplin Pelajar. Saya seyogianya mengaktifkan diri untuk berkecimpung dalam aktiviti yang berkaitan dengan perkembangan sahsiah diri seperti kursus tatasusila, kaunseling dan pembina kerjaya, program motivasi dan sebagainya. Tegasnya, memetik kata pujangga bahawa kawan baik seperti penjual minyak wangi dan kawan buruk seperti penukul besi. Jauhilah perbuatan seperti setitik nila rosak susu sebelangga, seekor kerbau membawa lumpur terpalitlah semuanya, ibarat telur sesangkak, pecah satu pecah semuanya yang akan menyebabkan pidana halimun terserap ke dalam persekolahan saya tanpa disedari. Maka, saya mestilah pandai memilih rakan seperaliran dan berikhtiar untuk mewujudkan budaya penyayang di alma mater selagi hayat terkandung di badan.
BB=getukacara migaul, BB-SMK, BB-tekuma seisa, BB=jahusi ihudada BB-MPK

       Dalam kaca mata etiket sosial, budi pekerti pakaian peribadi, akal fikiran pakaian insani. Budi pekerti merupakan tunjang utama untuk memangkinkan aura pembelajaran yang selesa dan dilingkari dengan perasaan yang saling menghormati, saling menyayang, dan budaya bekerjasama. Menurut Datuk Dr Jais Yatim, generasi kini semakin ketandusan bahasa dan budaya ekoran ledakan sains dan teknologi. Impaknya, jurang antara warga sekolah, atau kerenggangan wasilah antara alumni dengan PIBG menatijahkan kesusahan untuk menjayakan perkongsian etos dan budaya sekolah. Antaranya, Program Mentor Mantee yang diadakan selama 2 minggu sekali di bawah seliaan Pusat Kaunseling dan Bimbingan seakan-akan menemui  skeptikal tentang keberkesanannya lantaran kekangan masa dan sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan akademik. Walakin begitu, saya meyakini bahawa budi pekerti merupakan teras kekuatan masyarakat dan sendi ikatan kesatuan antara individu. Warisan tradisi ini perlulah dilahirkan melalui setiap gerak laku, tutur kata, cara hidup, perasaan, pemikiran dan cara pergaulan harian dalam kehidupan berkhalayak. Sebagai pelajar yang beretika syumul, saya bukan sahaja  perlu memiliki kemurahan hati malahan keluhuran peribadi dengan menampilkan perwatakan yang menyenangkan setiap warga sekolah. “Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”(Riwayat Al-Bukhari). Walhal setiap manusia adalah hidup saling bergantungan dan hidup secara simbiosis, saya yakin bahawa setiap perlakuan saya yang kerdil tetap akan menimbulkan tempias terhadap kawan di sekeliling saya. Seperti yang termaksud dalam gurindam di bawah
Ketelusan hati menjadi bekalan,
Ketinggian peribadi jadi amalan.
Kekuatan bersifat baik hati
Bertimbang rasa dan bersimpati.
      
       Ilmu+kemahiran(pi da sai mai kua lin gaul)
       Pendeta Za’ba pernah menukilkan bahawa ilmu lautan tanpa bertepi, hamparan saujana tanpa tepian. Bahawasanya, ilmu dan kemahiran merupakan prasyarat untuk memartabatkan prestij sesebuah sekolah ke peringkat nasional. SMK Tinggi BM tersohor lantaran terlahirnya bapa demokrasi Tun Abdullah Badawi, SMK Aminuddin Baki terkenal kerana terwujudnya Bapa Pendidikan Malaysia yang berjasa, SMK Berapit tersohor namanya di arena pendidikan kerana terlahirlah Datuk Lee Chung Wei dan tidak terperinya nama-nama sekolah lain yang masyhur di negara kita kerana kejayaan mentarbiah insan yang berguna. Memanglah saya memahami bahawa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kejayaan sesebuah sekolah memerlukan komitmen dan sinergi yang bersepadu antara banyak pihak, projek tanpa sumbangan yang berbentuk multilateral  mustahilnya membuahkan hasil yang diidamkan. Seyogianya, saya perlu mengasah bakat yang terpendam dalam aktiviti kokurikulum dan pertandingan koakademik demi membawa diri ke peringkat jagatraya. Sesungguhnya, kerajaan berusaha untuk melahirkan modal insan yang berimpak tinggi, banyak projek yang dilaksanakan memerlukan generasi pelapis seperti saya yang diibaratkan aset negara yang tidak ternilai harganya. Ijmalnya, sekolah penyayang bukan sahaja bertujuan untuk melahirkan insan yang berkemahiran tinggi, berintelektual malahan mempunyai wawasan tinggi untuk menjadikan sekolahku, syurgaku.
Jati diri –identiti nasional, an wa ma ke baba, jati diri bangsa= SSS, JD=sifat empunya, kekitaan, x JD=1, x sifat malu- tradisi, 2. X sifat hormat – warga tua 3. Agung budaya barat 4. Imej suram 5. Hala tuju suram 6.
       Akhir sekali, rasa patriotisme dan kekentalan jati diri terhadap tanah tumpah akan melahirkan kecintaan yang mendalam terhadap sekolah jua. Tanpa sekolah, tanpalah modal insan yang mampu berbakti kepada nusa dan bangsa. Pengalaman di sekolah dibayangkan dalam sajak di bawah;
Tempat bermain lagi dikenang,
Inikan pula tempat belajar.
Menurut kata Naquid Al-Attas, generasi muda kini menghadapi kecelaruan minda dan krisis identiti ekoran kenipisan dalam keimanan. Anak muda seperti saya pada zaman ini memanglah berhadapan dengan cabaran global yang paling sengit dan hanyalah keteguhan jati diri bangsa akan menepis segala tohmahan, konflik dan percanggahan dalam diri saya. Tanpa sifat empunya dan semangat kekitaan untuk menjadikan sekolah sebagai tempat menimba ilmu dan pembina sahsiah yang unggul, sekolah penyayang mustahillah wujud dalam sanubari setiap warga sekolah. Sebagai srikandi atau anak solehah, saya akan berikhtiar dan menggembleng kudrat bagai patah kapak gantikan beliung supaya merealisasikan cabaran dalam Wawasan 2020 justeru melahirkan persekitaran sekolah yang kehijauan, kemesraan, dan keselamatan tanpa gangguan sebarang parasit halimun yang bukan sahaja meranapkan barisan anak watan malahan membantutkan perkembangan sesebuah sekolah yang berprestasi tinggi.
RCAH 
       Akhirul kalam, tiada kusut tidak dapat diselesaikan. Segala prakarsa hanyalah menjadi fatamorgana sekiranya tanpa anjakan paradigma dalam kalangan masyarakat. Memang sukar disangkal bahawa institusi pendidikan merupakan cerucuk fundamental untuk melahirkan modal insan yang syumul. Sebagai pemangkin aspirasi negara, saya bukan sahaja perlu melengkapkan diri menjadi pelajar yang berintelektual dan berkemahiran tinggi, malahan bersahsiah ampuh, dan yang dominannya menjadi anak Adam yang sanggup memperjuangkan kedaulatan negara dan kecemerlangan sekolah. Sekolah penyayang merupakan keperluan pada zaman atom yang dikatakan kecanggihan dalam teknologi namun kejahilan dalam akal budi. Walhasil, saya akhiri bicara ini dengan serangkap gurindam seperti di bawah;
Jika pelajar mengaji teliti
Di Sungai cabaran tersedia titi.
Ilmu kembang tegap wibawa,
Sekolah penyayang pasti terbawa.